Membina lejangan kemajuan ummah

SEORANG lagi anak Melayu/Islam, baru-baru ini, meraih kejayaan sebagai pelatih asing terbaik di akademi tentera terunggul Britain.

Leftenan Abubakar Abdillah Alkatib mengikut jejak Leftenan Iskandar Abdullah, mengharumkan nama negara dan bangsa menerusi kecemerlangan mereka sepanjang berada di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, di Camberley, Britain.

Kejayaan kedua-dua anak muda berusia 20 tahun ini membuktikan teras masyarakat Melayu/Islam. Iaitu, kita punya keupayaan minda, tinggi semangat juang dan daya ketahanan jasmani dalam menghadapi pelbagai cabaran getir.

Lebih penting lagi, Melayu juga kian bijak memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberi dan mampu mengatasi cabaran yang ada dengan secara lebih intelektual, rasional dan berstrategi.

Sebenarnya, pencapaian Leftenan Abubakar dan Leftenan Iskandar menggambarkan teras pemikiran dan prinsip wira masyarakat Melayu/Islam moden – berani, benar dan setia.

Tiga kekata sakti ini juga terpapar dalam teras perjuangan Kesatuan Melayu Singapura yang diasaskan oleh Mohd Eunos Abdullah. Cogan kata itu juga ada pada Rejimen Askar Melayu yang menampilkan kesatrian Leftenan Adnan Saidi dalam Perang Dunia Kedua.

Kisah kejayaan mereka mengingatkan saya kepada hujah pemikir Malaysia, Datuk Abdul Aziz Deraman, dalam satu tulisannya bertajuk ‘Pola Minda Melayu’. Katanya: ‘Kebanggaan harus ada di kalangan umat Melayu’ dan ‘Melayu mesti berjiwa besar’ dalam usaha meredah cabaran globalisasi.

Sememangnya dalam era penyejagatan, ‘rasa bangga’ dan ‘jiwa besar’ itu dua elemen penting yang mesti dijadikan sandaran masyarakat Melayu masa ini.

Dalam dunia yang serba bersaing, ‘rasa bangga’ yang harus wujud dalam diri Melayu bukanlah dari segi material atau kebendaan, tetapi lebih penting lagi, keupayaan intelektual.

Pada asasnya, untuk menembusi pasaran global, ilmu merupakan kuncinya.

Tanpa ilmu dan strategi kukuh, sepertimana yang ada pada Leftenan Abubakar dan Leftenan Iskandar, usaha kita untuk ‘bertempur’ di pentas dunia akan menjadi sia-sia.

Atas dasar itu, penting untuk kita memahami konteks Anugerah Mas yang diberikan pendeta Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad kepada empat tokoh muda Melayu pada 9 Disember lalu.

Ia bukan sekadar memastikan adanya kesinambungan pada usaha pendeta memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu tetapi menanamkan ‘rasa bangga’ dan ‘jiwa besar’ dalam nurani warga muda untuk mempertingkat dan memperkasa tahap intelektualisme Melayu itu sendiri.

Lebih penting lagi, penganugerahan ini sebenarnya mangkin dalam mengutuhkan lagi modal insan atau ‘human capital’ dalam kalangan masyarakat kita, sekali gus menjadikan Melayu kita lebih berilmu, berani dan berkeupayaan untuk bersaing dan meneroka peluang-peluang yang ada.

Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, sering kali menggesa ‘revolusi mental’ masyarakat Melayu/Islam supaya berfikiran progresif dan berpandangan global demi membolehkan masyarakat melangkah ke tahap selanjutnya.

Seruan dan gesaannya itu perlu kita fahami dan sedari kesannya, memandangkan penakatan masyarakat Melayu hari ini bergantung pada pasaran global dan tidak hanya terhad pada keperluan menyara hidup saja.

Empat Anggota Parlimen Melayu dikenal pasti sebagai peneraju bagi menjayakan misi ini, namun segalanya tidak boleh dibiarkan atas pundak mereka saja.

Dalam hal ini, barisan pemimpin dan golongan elit Melayu harus sama menyingsing lengan dalam melakar strategi bagi membolehkan masyarakat kita mengharungi gelombang penyejagatan.

Selain memahami kekuatan dan kelemahan sebenar masyarakat sendiri, mereka juga lebih terdedah kepada globalisasi dan berada di kedudukan terbaik dalam mengenal pasti peluang untuk direbut dan cabaran yang perlu diatasi.

Waimah, Melayu diakui sebagai sebuah masyarakat yang berpegang pada sendi kesatuan. Aspek inilah yang mesti dijadikan tulang belakang dalam membangkitkan daya saing, mengukuh daya juang dan keupayaan kita dalam mencapai aspirasi kecemerlangan.

Sokongan dan kerjasama pemimpin dan golongan elit Melayu – yang membentuk sekitar tiga hingga lima peratus jumlah masyarakat kita – amat penting.

Mereka tidak boleh berfungsi dalam satu sistem sosial yang tertutup. Sebaliknya, mereka harus keluar dari kepompong elitisme dan menggerakkan inisiatif bagi memacu masyarakat Melayu ke tahap lebih tinggi.

Tanpa kerjasama mereka, usaha menembusi pasaran global akan mengambil masa lebih lama.

Andai ini berlaku, ia akan meluaskan lagi jurang pemisah antara mereka dengan golongan bawahan. Ia tidak seharusnya terjadi.

– Berita Harian, 23 Disember 2006, Sabtu

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s