Antara puji dan kritik orang kita

MENURUT pakar psikologi, antara cara memberi motivasi adalah dengan memuji seseorang yang berjaya menunjukkan kemajuan, walau sekecil mana pun.

Jadi, apabila saya terima khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang kawan, saya termenung.

Begini bunyi SMS-nya: “PM puji, menteri puji, DPM puji. Tak puji tak boleh kerja ke?”

SMS itu ekoran laporan di Berita Minggu 20 November, Timbalan PM puji pendekatan masyarakat Melayu.

Kemudian SM Goh Chok Tong memuji Mufti dan asatizah sewaktu di Sepanyol.

Kedua-dua timbalan perdana menteri, Encik Wong Kan Seng dan Profesor S. Jayakumar, juga memuji ikhtiar masyarakat kita dalam mengatasi pengganasan, meningkatkan pendidikan dan menangani masalah sosial.

Mantan Presiden Pertubuhan Antara Agama (IRO), Sister Theresa Seow, juga memuji masyarakat Melayu/Islam setempat kerana keupayaannya menonjolkan pekerti contoh dalam sebuah negara majmuk.

Jika disusur sejarah orang Melayu dengan masalahnya, ia sejauh zaman Munsyi Abdullah. Para penjajah British menyifatkan kita semula jadi malas, lemah lembut (lazy and gentle people) tanpa azam maju (malaise).

Sewaktu Encik Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri ketika Singapura berpemerintahan sendiri (1959), isu kemunduran Melayu telah dikupasnya.

Sorotan kepada masalah Melayu ketara selepas merdeka apabila masyarakat Melayu menjadi minoriti selepas Malaysia lepas tangan.

Maka timbullah istilah sindrom minoriti’ yang antara ciri-cirinya adalah lemah kuasa politik, lemah ekonomi (banyak pengangguran dan pendidikan rendah) dan dirantai masalah sosial seperti perceraian sehinggalah penagihan dadah.

Pernah orang Melayu disifatkan masyarakat jembel’ (kekata Jawa bererti kelas rendah).

Namun, kita cuba bangkit menerusi pelbagai usaha dalam bentuk seminar, kongres, pembentukan Yayasan Mendaki sehinggalah Forum Pemimpin.

Dalam hempas-pulas untuk bangkit itu, banyak kaedah kita dimanfaatkan kaum lain seperti konsep bantu diri’ (self-help).

Saban tahun, setiap kali ada Rapat Hari Kebangsaan, rekod Melayu didedahkan. Sering merah padam muka kita mendengarnya dek malu.

Kini segala banting tulang itu kian berhasil dari segi pekerjaan, pendidikan sehinggalah yang terbaru – mengatasi pengganasan.

Jadi, tiada silapnya pujian itu datang mencurah. Ingatlah, pucuk pimpinan Singapura memang berat untuk memberi pujian kecuali ia terbukti dan perlu.

Tentulah kita melakukan segala usaha tadi bukan untuk dipuji tetapi kerana membela harga diri.

Namun permasalahan sosial kita masih ada seperti yang ditonjolkan PM Lee di Rapat Umum Hari Kebangsaan lalu.

Angka penagihan dadah kita sudah menurun kerana adanya wira seperti almarhum Harun A. Ghani. Jadi wira yang sanggup berkorban demi meningkatkan harga diri masyarakatnya terus amat diperlukan.

Jadi apakah kita perlu dipuji terlebih dahulu setiap kali terlaksana sebuah jawatankuasa, atau berjaya melaksanakan sebuah program bantuan sosial atau berupaya mengurangkan serba sedikit kadar keciciran pelajar?

Apa pun halnya, pujian ikhlas memang perlu asal kena tempatnya. Ia memperteguh keyakinan.

Kita harus gembira menerimanya dan ingat di sebalik pujian ada cabaran lebih
besar untuk terus berjaya.

Kita tidak mampu gagal lagi.

– Berita Harian, Khamis, 24 November 2005

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s