Menanti peniaga kita kuak sayap

KENAPA tidak kita?

Itulah luahan isi hati tatkala mendapat kiriman e-mel mengenai epok-epok Old Chang Kee yang kini sudah menerima pensijilan halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis). Daripada kuih Melayu yang disebut kuih nyonya sehingga seri kaya dan kini epok-epok, mengapakah bukan usahawan kita?

Jadi, kita perlu kaji keistimewaan Encik William Lim, pengarah urusan Old Chang Kee dan Encik Sam Goi, pemilik syarikat pembuat kulit popiah terkemuka, Tee Yih Jia. Apakah yang menggagalkan atau menyukarkan kita untuk berjaya seperti mereka? Sate, otak-otak, nasi lemak, mi siam dan sambal goreng antara makanan Melayu yang ada nilai komersial antarabangsa.

Kecuali Jumain Satay, apakah hambatan utama peniaga kita hingga sukar mempopularkan makanan tradisi Melayu secara komersial?

Antara jawapannya ialah ilmu pengurusan, daya kreatif dan azam kental. Rumus ini masih dirasakan sebagai kekurangan besar dalam diri seseorang peniaga Melayu. Tetapi yang selalu didengar ialah soal tidak cukup modal sebagai pelaburan asas. Tetapi jangan salahkan modal saja sebagai punca gagal merebut pasaran yang sentiasa terbuka.

Dalam aspek kreativiti, kita sering mengaitkannya kepada golongan artis, pengarang dan pemuzik, walhal yang sebenarnya ia tidak terhad kepada golongan ini saja. Hakikatnya, setiap orang ada kebolehan dan keupayaan menghasilkan sesuatu yang kreatif – merubah sesuatu yang lama menjadi baru, atau mencari huraian baru bagi menembusi pasaran sedia ada.

Sebagai usahawan, anda menjadi kreatif jika berjaya mengenal pasti ruang kosong yang tidak terdapat dalam pasaran atau khidmat yang dikehendaki. Anda juga dianggap berjaya jika dapat mencari jalan mengadakan usaha sama dengan syarikat lain agar kedua-dua syarikat itu meraih keuntungan. Anda juga boleh disifatkan sebagai kreatif dan berjaya jika dapat menghasilkan keunikan pada nama syarikat atau nama produk itu. Lihat saja kejayaan yang diraih syarikat barangan sukan paling terkemuka dunia, Nike.

Anda tidak dapat elak mempelajari ilmu dan meningkatkan kreativiti menerusi pembacaan dan bertanya. Bak pepatah, segan bertanya sesat jalan. Ilmu dalam memahami trend dan selok-belok perniagaan. Ilmu dalam memahami cita rasa pengguna dan pelanggan. Ilmu dalam perakaunan. Ilmu dalam kreativiti pengiklanan dan pelbagai lagi. Pokoknya, kita perlu gigih menimba ilmu untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing kita dalam perniagaan.

Dalam pada itu, kita juga perlu berani mengorak langkah selain gigih berusaha mencari huraian dan alternatif dalam memajukan perniagaan. Kerana, keberanian itu jugalah yang turut membantu Encik Goi dalam memasarkan kulit popiah segera hingga ke peringkat antarabangsa.
Dek ilmu, kreativiti dan azam, Old Chang Kee mampu menarik ribuan pelanggan hanya menerusi sajian epok-epok. Baru Jumain Satay yang terbang sayap, tetapi saya kira ramai usahawan kita pun boleh.

Maaf, memang saya bukan peniaga.

– Berita Harian, 27 Januari 2005

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s