Usul laluan bebas media antara tambak

UMUMNYA ramai warga kita menyedari bahawa sambutan kemerdekaan ke-41 kelak merupakan kesan perpisahan daripada Malaysia.

Ia memang penuh trauma.

Walaupun berlaku sendu antara dua negara, hakikat warga dua watan kian berbeza dalam membangun pertiwi.

Umumnya dua negara – berkat kerja keras datuk nenek dan ibu bapa kita – kini menikmati taraf kehidupan yang amat baik di rantau ini.

Di sebalik kemodenan terserlah, saya seakan terasa hubungan antara rakyat dua negara mula menjauh.

Semasa kunjungannya ke Malaysia pada April tahun lalu, Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, menyarankan agar ikatan tadi disegarkan dengan akhbar-akhbar utama dari kedua-dua negara diberi kebenaran untuk dijual di negara masing-masing.

Ertinya, Malaysia membenarkan penjualan terhad akhbar umpamanya; The Straits Times, Lianhe Zaobao dan Berita Harian di negara itu. Begitu juga sebaliknya, akhbar New Straits Times, Berita Harian Malaysia dan Nanyang Siang Pau dibenarkan dijual di negara ini.

Dalam sidang media, MM Lee berkata:

“Saya fikir lebih 30 tahun telah berlalu. Kedua-dua (masyarakat) Cina di Malaysia dan Melayu di Singapura kini merupakan generasi baru. Mereka tidak lagi membaca akhbar dari seberang dan merasakan (isu yang dipaparkan) merujuk kepada mereka. Konteks mereka kini
berlainan.”

Saya setuju akan pandangan bernas MM Lee. Larangan penjualan akhbar dibuat semasa berlakunya episod ketegangan kaum pada dekad 1960-an.

Empat dekad telah berlalu dan zaman itu tidak lagi menyelubungi sekitaran masa kini, sayangnya, saranan Encik Lee terus berlalu sepi.

Sebagai seorang lahir pada 1973, segala yang berlaku sekarang adalah harapan masa depan yang bermula dengan generasi hari ini.

Dan kesan “kejauhan’ itu tidak berhenti di situ saja.

Sebelum ini, dua saluran televisyen Malaysia, RTM2 dan TV3, dihentikan siarannya menerusi rangkaian Singapore Cable Vision (SCV) pada akhir Julai 2002.

Menurut Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Sistem Televisyen Berhad (TV3) ketika itu, tindakan itu diambil kerana berdasarkan perjanjian perlesenan mereka dengan pembekal rancangan asing. Mereka hanya boleh menyiarkan rancangan yang dibeli dari luar negara untuk tontonan
Malaysia. Yang tinggal kini saluran RTM1.

Namun semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia sepanjang Jun lalu, penonton setempat dikejutkan dengan siaran RTM1 yang “berpasir’.

Ketika itu, RTM menyatakan ia disebabkan isu hakcipta – tayangan Piala Dunia di siaran itu untuk tatapan penonton di Malaysia sahaja.

Penjelasan itu dapat difahami. Isu komersial sukar dinafikan. Namun ia tidak seharusnya menjadi penghalang dalam meningkatkan hubungan antara rakyat.

Meskipun hampir sebulan Italy memenangi Piala Dunia siaran RTM1 masih berpasir.
Penonton setempat dimaklumkan RTM kini menggunakan sistem digital bagi siarannya dan disebabkan itu SCV memerlukan kod bagi mendapatkan siaran yang jelas, jika tidak, siaran akan terus berpasir.

Usaha “menjernihkan’ siaran berpasir penting kerana Singapura sememangnya berhasrat untuk meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Atas dasar itu, MediaCorp sebagai penyiar siaran tidak “mempasirkan’ siaran percumanya, baik Channel 5, Channel 8, Suria mahupun Channel U dan Vasantham Central, yang kini dinikmati penonton dari sedekat Johor Bahru sehingga ke Melaka.

Jadi, bukankah elok sekiranya Malaysia menerusi RTM melakukan hal yang sama – memberi kelonggaran agar tayangan RTM1 bahkan RTM2 dikembalikan?

Dengan cara ini, hubungan antara rakyat dapat dipertingkatkan.

Ini memandangkan RTM1 menjadi tarikan masyarakat Melayu manakala RTM2 menjadi tarikan penonton berbangsa Cina.

Apatah lagi, televisyen sebagai media arus utama dapat memainkan peranan penting dalam mempererat hubungan rakyat dua hala – selain meningkatkan pemahaman rakyat terhadap sekitaran, kehidupan dan aspirasi jirannya, baik dalam konteks sosio-budaya atau sosio-ekonomi. – 25 Julai 2006, Selasa.

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s