Negara kecil berperanan besar

NEGARA Qatar yang diperintah oleh keluarga Al-Thani sejak pertengahan 1800-an merupakan antara negara Arab yang paling pesat membangun dan kini memanfaatkan kepakaran Singapura.

Bahkan negara ini antara yang terkaya di dunia menyusuli penemuan sumber minyak dan gas di Ras Laffan pada 1971.

Ia seluas 16 kali Singapura (11,437 kilometer persegi berbanding 692.7 kilometer persegi) tetapi 97 peratus tanahnya gersang. Penduduknya 900,000 jiwa dengan 40 peratus merupakan peribumi Qatar (selebihnya pekerja asing).

Namun ia kecil-kecil cili padi dan kini berperanan besar dalam ehwal Timur Tengah – daripada stesen satelit Al-Jazeera sehinggalah membantu Palestin.

Apabila mengetahui hal itu, soalan pertama yang terdetik di hati saya ialah, mengapa Qatar?

Mengapa tidak negara Arab lain yang lebih besar dan berpengaruh memainkan peranan sedemikian?

Menganalisa keadaan semasa dan meneliti krisis tersebut dari sudut perhubungan antarabangsa dan kedudukan geo-politik Qatar, usaha yang dilakukan negara itu dapat difahami.

Ini memandangkan sejak lama Mesir masih gagal menjadi pengantara dalam menghuraikan konflik berdarah di Palestin.

Bagi Qatar pula, denyut nadi perekonomiannya bersandar kepada keamanan di rantau Teluk dan kemelut yang berpanjangan di rantau itu hanya mengancam penakatannya.

Lebih buruk lagi, kegagalan dalam mencari huraian damai akan terus menjejas teras perpaduan ummah serta melemahkan lagi keyakinan masyarakat dunia terhadap keamanan di rantau tersebut.

Selain itu, persengketaan yang berpanjangan akan hanya meningkatkan kebencian masyarakat Arab terhadap Barat dan sebaliknya, meningkatkan sikap pelampauan.

Sejak Hamas enggan mengiktiraf Israel dan menghentikan keganasannya, Barat telah menggantung bantuannya ke wilayah itu hingga menyebabkan ekonomi Palestin terus menjunam dan kakitangan awamnya tidak dapat menikmati gaji penuh sejak enam bulan lalu.

Awal bulan ini, Menteri Luar Qatar, Sheikh Hamad Jassim Jabr Al-Thani, telah ke Damsyik bagi menemui pemimpin pergerakan Hamas dalam buangan, Encik Khalid Masha’al, untuk cuba menyelesaikan pertentangan antara dua puak Palestin … Hamas dan parti Fatah.

Tidak ramai mengetahui Qatar merupakan penderma terbesar kepada pergerakan Hamas.

Dalam pertemuan itu, Qatar telah menyarankan pelan damai enam perkara.

Antara lain, negara itu menyarankan agar Hamas bersetuju terhadap pembentukan sebuah pemerintah perpaduan yang menerima “resolusi antarabangsa dan perjanjian yang ditandatangani oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO)” – termasuk mengiktiraf kewujudan Israel.

Namun Hamas enggan berganjak daripada pendiriannya.

Pelan damai Qatar juga mencadangkan pembentukan dua negara … Palestin dan Israel berdasarkan persempadanan 1967 – dalam menangani konflik tersebut.

Saranan ini berasaskan pelan damai “empat sekawan’ (quartet) … Amerika Syarikat, Russia, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Idea ini ditolak keras oleh pergerakan Hamas.

Qatar dalam pelan damainya itu turut menghendaki agar pertempuran berdarah antara Palestin dan Israel dihentikan dan mencadangkan agar PLO yang tidak berfungsi sejak awal 1990-an digerakkan semula demi menyambung semula rundingan damai dengan Israel.

Bagi Qatar, ini merupakan satu jalan keluar yang membolehkan Hamas terus kekal memerintah tetapi tidak perlu berunding secara langsung dengan sekutu Amerika itu.

Semasa pertemuan tersebut, Qatar juga cuba mendapatkan pembebasan askar Israel, Gilad Shalit, yang penculikannya menyebabkan pelanggaran besar-besaran Israel ke atas Lebanon Julai lalu.

Permintaan Qatar itu juga dibiarkan bak angin lalu.

Mengapakah usaha Qatar yang merupakan penderma terbesar kepada pergerakan Hamas menghadapi nasib serupa Mesir?

Jawapannya mudah: Hamas masih enggan berganjak dengan pendiriannya … tidak mahu mengiktiraf kewujudan Israel.

Namun Qatar atau negara Arab lain perlu terus gigih mencari huraian damai, dan segera mendapatkan kunci bagi melepaskan merpati putih yang lama mendamba keamanan.

Usaha ini tidak boleh gagal. Palestin sering diperalat sebagai antara sebab kebangkitan ‘jihadisme songsang’ yang kini telah pun menular sehingga ke Eropah dan Asia Tenggara.

Risikonya amat tinggi. – 21 Oktober 2006, Sabtu.

Penulis baru pulang dari membuat liputan kerjasama Singapura-Qatar minggu lalu.

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s