Jangan menang sorak, lebih penting menang undi

SETIAP kali tiba berkempen bagi pilihan raya, rapat-rapat umum yang diadakan pasti menarik perhatian ramai.

Pilihan raya kali ini juga tidak terkecuali.

Ramai datang berduyun-duyun tanpa mengira tua atau muda – sedia mendengar hujah-hujah yang disampaikan oleh para calon daripada setiap parti yang bertanding.

Yang menariknya, ada yang sanggup berdiri sehingga tiga jam untuk ‘pasang telinga’.

Sayangnya, parti-parti pembangkang tidak menggunakan sepenuhnya kesempatan tersebut bagi meyakinkan para hadirin terhadap saranan-saranan alternatif mereka berbanding dasar-dasar yang diperkenalkan parti pemerintah.

Malah, setelah menghadiri berbagai-bagai rapat umum yang diadakan saban malam sejak Jumaat lalu, kebanyakan saranan yang dilontarkan pihak pembangkang kelihatan tidak realistik.

Contohnya, pemimpin Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Encik Chiam See Tong, telah mengusulkan agar diadakan penyatuan ekonomi antara Singapura dengan Malaysia demi membolehkan rakyat negara ini menikmati peluang pekerjaan mahupun ekonomi lebih luas.

Mereka yang hadir di rapat umum itu mungkin lupa, isu tersebut bukanlah sesuatu yang baru, Encik Chiam pernah mengusulkannya sejak 2004 lagi.

Dalam satu lagi rapat umum, salah seorang calon Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Rahim Abdul Rahman, menyuarakan tentang pindaan yang dibuat ke atas Akta Pekerjaan yang disifatkannya sebagai lebih menguntungkan pihak majikan.

Huraiannya? Tiada.

Namun, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengadakan rapat umum.

Salah satu rapat umum yang diadakan baru-baru ini dihadiri tiga menteri Kabinet – Encik Lim Swee Say, Encik Lim Boon Heng dan Encik Lim Hng Kiang – yang tampil bagi memberi sokongan kepada calon PAP, Encik Gan Kim Yong, yang bertanding di kawasan undi perseorangan Chua Chu Kang.

Mesej mereka jelas dan padat – pilihan raya ini sebagai persediaan negara menghadapi masa depan lebih mencabar.

Ucapan mereka menyentuh hasrat dan nurani rakyat – memastikan kebajikan dan kesejahteraan setiap penduduk terus terjaga.

Memang saya akui, ucapan para menteri ini kurang pedas, kurang berapi. Memang, rapat umum anjuran pihak pembangkang lebih menarik. Ada tiupan terompet, ada laungan meniup semangat parti, ada jeritan atau tingkah-meningkah daripada hadirin dengan si pemidato.

Senang cakap, rapat umum mereka bersemangat dan penuh warna, penuh sindiran atau perli tajam terhadap PAP atau calon-calonnya.

Tak kisahlah kalau para pemidato gagal memberi sebarang huraian bernas bagi pelbagai isu yang dihadapi penduduk atau masyarakat umum Singapura.

Tak kisahlah kalau para pemidato tidak memberi apa-apa pun, janji keluar suara dan saban kali melaungkan “”Workers’ Party!” atau “”SDP!” ataupun “”SDA!”

Yang penting mereka menang sorak.

Terlupa, sebagai pembangkang mereka juga harus menang sabung.

Namun, apa yang lebih penting – menang sorak atau menang hati pengundi? – Berita Harian, 2 Mei 2006, Selasa

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s