Ayuh keluar dari politik kedai kopi

SEPERTI yang biasa dilakukan, pencalonan bagi pelantikan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) telah dibuka.

Namun sejak mula dihebahkan menerusi media pada 16 November lalu, penerimaan masyarakat Melayu/Islam terhadap berita itu kelihatannya masih agak suam-suam sahaja.

Saya kira wajar bagi masyarakat Melayu/Islam memberi perhatian mengenainya. Bukan apa, sudah 16 tahun (sejak Mac 1990) skim NMP dilaksanakan. Baru dua orang karyawan Melayu/Islam sahaja yang ditampilkan.

Jadi, sejauh manakah kesediaan masyarakat Melayu/Islam ingin memanfaatkan skim itu sebagai tanda nyata adanya kesungguhannya daripada masyarakat kita untuk turut sama terlibat dalam arus politik nasional?

Dalam konteks ini, saya fikir sesuai andainya seseorang individu Melayu/Islam dapat dicalonkan seperti yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu pencalonan dan penyertaan Encik Imram Mohamed dan Encik Zulkifli Baharudin sebagai NMP.

Encik Imram yang menjadi NMP selama dua penggal (1992-1996), contohnya, diingati sebagai NMP yang gigih mengemukakan isu-isu yang menyentuh warga teras, terutamanya yang menjejas masyarakat Melayu/Islam.

Encik Zulkifli yang juga dilantik selama dua penggal (1997-2001), diingati sebagai seorang NMP yang mahukan pemerintah meningkatkan sumbangan dana untuk pertubuhan-pertubuhan sivik setempat agar mereka dapat mempromosikan kerjasama antara Singapura dengan negara-negara lain dunia.

Menerusi penyertaan dalam skim NMP ini, pengalaman dan pengetahuan luas mereka dapat kita manfaatkan dan sebenarnya banyak yang boleh kita – sebagai masyarakat Melayu/Islam khususnya atau umum amnya – dapat raih menerusi penyertaan para karyawan Melayu/Islam seperti mereka, dalam skim NMP untuk penggal ini dan seterusnya.

Satu daripadanya, NMP sebagai individu yang tidak mewakili mana-mana parti politik dapat mengemukakan soalan dan memberi respons lebih khusus dan tidak terikat dengan agenda politik sesebuah parti – baik yang memerintah mahupun pembangkang.

Dan peluang inilah yang seharusnya kita rebut.

Ini memandangkan ada isu-isu yang boleh dibangkitkan seseorang NMP semasa perbahasan Parlimen – sesuai dengan respons jujur masyarakat, yang mungkin tidak boleh dikemukakan para Anggota Parlimen sesebuah parti kerana adanya batas tatatertib parti.

Berada di Parlimen membolehkan seseorang NMP Melayu menyuarakan pelbagai isu dan memberi respons membina.

Apatah lagi, dalam konteks penyejagatan dan kebangkitan politik Islam masa kini, pelbagai kesan yang timbul, terutamanya dalam menghadapi cabaran sosio-politik dan sosio-ekonomi yang perlu dihadapi dan ditangani masyarakat Singapura.

Masyarakat kita tidak terkecuali dalam hal ini.

Pemikiran, kupasan dan saranan bernas seseorang NMP Melayu/Islam dalam kedua-dua aspek ini tentu sekali dapat dimanfaatkan pemerintah untuk kesejahteraan rakyatnya, terutama sekali dalam mengukuhkan kemantapan sosial masyarakat majmuk di sini.

Lebih-lebih lagi, idea pembentukan skim NMP ini adalah untuk memberi peluang kepada warga setempat turut serta dan menyumbang kepada perbahasan di Parlimen, cuma, mereka tidak perlu mengikuti proses pilihan raya umum.

Namun sepinya pemimpin dan karyawan Melayu/Islam terhadap skim NMP menjadi satu tanda tanya.

Apakah masyarakat kita sudah begitu selesa dengan khidmat dan kegigihan para Anggota Parlimen Melayu daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang diketahui gigih dalam membantu menangani timbunan masalah yang mereka hadapi? Jadi, mereka berasa bahawa penyertaan seseorang karyawan Melayu/Islam dalam skim ini bukan lagi satu keperluan?

Atau kita mengalami kegersangan bakat sehingga merasakan tidak ada seorang pun calon yang sesuai dipilih daripada sekian ramai karyawan Melayu/Islam yang ada?

Tentu sekali tidak benar, memandangkan akhbar ini saban kali mengemukakan kisah kejayaan anak-anak Melayu/Islam dalam pelbagai bidang di arena antarabangsa – baik dalam kejuruteraan, ekonomi, sosial mahupun politik.

Pendek kata, pemimpin kita sering menyeru masyarakat agar tidak terlepas daripada merebut peluang-peluang yang diadakan pemerintah, dan skim NMP adalah satu daripada sekian banyak peluang yang harus kita manfaatkan.

Kita tidak mencalonkan seorang karyawan Melayu/Islam bagi skim NMP untuk penggal yang lalu.
Dan memandangkan tarikh tutup pencalonan adalah pada 4.30 petang, 14 Disember ini, apakah kita akan lepaskan peluang keemasan ini sekali lagi? – Berita Harian, 2 Disember 2006, Sabtu.

About chairulfahmy

A writer.
This entry was posted in Pandangan. Bookmark the permalink.

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s