Memuliakan jasa ahli seni yang berpulang

8 08 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

 

SEJAK setahun dua terakhir ini, agak banyak seniman dan seniwati Melayu berpulang, termasuk yang terbaru, tokoh bangsawan negara, Haji Jaffar Mohd Arif, 80 tahun.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

Terdetik kata hati:

Sejauh mana kita menilai dan menghargai sumbangan mereka yang tidak pernah sekali lelah mengembangkan seni Melayu di sini, jika tidak pun ‘menjulangnya’ pada peringkat serantau dan antarabangsa?

Hakikatnya, mereka telah mengabdikan hampir seluruh jiwa raga dalam memartabatkan seni dan budaya Melayu kita.

Antara ahli seni kita yang berpulang ialah:

  • Penulis skrip dan pelakon, Habsah Abdul Karim, 58 tahun;  
  • Pemuzik veteran, Haji Ahmad Jaafar, 89 tahun;  
  • Pelakon veteran, Abdullah Sani, 72 tahun;  
  • Penulis lirik, Rosli Khamis atau Loloq, 50 tahun;  
  • Penggubah lagu dan penulis tersohor, Salamah Basiron, 64 tahun;  
  • Penggubah lagu dan penyair, Haron Abdulmajid, 58 tahun;  
  • Penyanyi awal 1980-an, Dahlan Osman, 52 tahun;  
  • Pelakon dan pelawak, Sinin Sahat atau S. Effendy, 65 tahun;  
  • Pelukis, Mohammad Din Mohammad, 53 tahun;  
  • Pelakon drama televisyen dan pentas, Zaharah Fauzi, 60-an tahun;  
  • Penyanyi era 1960-an, Salim Ifi atau Salim I, 71 tahun;   dan,
  • Pemain kibod kumpulan rok Sweet Charity, Masrom Abdul Hamid atau Yong, 59 tahun;  
  • Saya kenal kebanyakan mereka, namun sekadar nama sahaja.

    Saya yakin, ramai juga demikian – tidak jelas akan sebesar mana sumbangan mereka.

    Benar kata pepatah, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama.

    Namun, sejauh mana kita memaparkan penghargaan kepada sumbangan para anak seni itu?

    Di sinilah letaknya peranan Taman Warisan Melayu (TWM) dalam ‘menjelmakan’ semula segala yang ditinggalkan para seniman dan seniwati ini, buat tatapan, penghargaan, rujukan dan pengertian kita dan generasi mendatang.

    Paling tidak, adakan galeri yang mengetengahkan segala khazanah penting, umpamanya skrip dan manuskrip, mesin taip dan pena yang pernah menjadi teman sejati para penulis, penyair dan penggubah lagu yang telah berpulang.

    Ataupun alat muzik, skor, piring hitam, album atau barangan peribadi yang dimiliki para penggubah lagu dan penyanyi kita ini.

    Mungkin juga kita dapat ketengahkan pakaian, bekas mekap atau alatan lakonan, yang pernah digunakan atau foto serta keratan akhbar yang dimiliki para seniman/seniwati kita semasa mereka berlakon atau bernyanyi dahulu.

    Ramai tidak mengetahui sebesar mana sumbangan Allahyarham Haji Jaffar dalam memartabatkan seni bangsawan di sini, atau jasa Allahyarham Haji Ahmad Jaafar dalam pembangunan muzik negara.

    Begitu juga dengan Allahyarhamha Zaharah Fauzi dan Allahyarham S. Wira atau nama sebenarnya Samsriwira Basri, ahli silat dan dramatis Bawean.

    Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mengetahui yang kedua-dua mereka ini gigih dalam mementaskan drama-drama Bawean?

    Saya percaya, jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

    Atas dasar itu, peranan TWM dalam hal ini cukup penting.

    Kewujudan dan peranannya dalam menzahirkan ketamadunan Melayu mestilah serius lagi dinamis. Jika ruang zahirnya tidak cukup, wujudkan muzium Melayu di ruang siber dengan kerjasama politeknik setempat – untuk menjimatkan kos.

    Usaha ini teramat penting kerana ‘pusaka’ yang ditinggalkan seniman dan seniwati kita mungkin ‘terlepas’ begitu saja.

    Ia mencerminkan darjat keilmuan dan nilai peradaban kita, bangsa Melayu di Singapura.

    Ketiadaan wang atau kekurangan sumber tenaga tidak seharusnya dijadikan alasan. Kita perlu berfikir secara kreatif untuk menjimatkan kos dan mendapatkan tajaan korporat dan meyakinkan pemerintah.

    Masyarakat kita sering mengeluh akan kurangnya ikon seni tanah air yang boleh dibuat rujukan dan mangkin untuk kita melompat jauh dalam membina Singapura sebagai Kota Kebangkitan (Renaissance City) di Tropika.

    TWM saja mungkin tidak dapat memikul beban berat. Alangkah baik jika ada kerjasama dua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (JPMNUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (JPMNTU), serta badan Melayu yang lain.

    Dengan bantuan para pensyarah dua jabatan itu, kajian ilmiah dapat dilakukan oleh siswa mereka untuk membukukan riwayat hidup seniman dan karya mereka. Selanjutnya, hasil kerja ini boleh dimuatkan dalam laman siber TWM dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk dicanangkan ke seantero dunia.

    Badan budaya Melayu terutama Majlis Pusat perlu menggandakan usaha dan meluaskan Balai Tokoh yang ada sekarang.

    Sedang kita mengecapi kemodenan, sumbangan besar para seniman/seniwati Melayu kita sejak 50 tahun lalu jangan mudah dilupakan.

    Kita perlu menerima hakikat, mereka telah melakukan segalanya untuk menjulang seni kita ke tahap setinggi mungkin, walau betapa getir sekalipun.

    Kita sedar betapa menjadi anak seni tidak besar ganjarannya. Bahkan pernah dinista masyarakat. Tiada insurans atau Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk mereka. Namun demi cinta seni, mereka meneruskan juga. Jadi, di manakah maruah kita untuk menghargai perjuangan mereka?

    Kita akan menjadi aib jika gagal menempatkan para tokoh kita, termasuk dalam bidang seni, di tempat yang mulia. Percayalah!

    Komentar | Berita Harian
    17 Syaaban 1430H
    8 Ogos 2009
    Sabtu





    Meski uzur, Pak Samad dapat hangatkan suasana

    6 09 2008

    Belasungkawa Tan Sri Abdul Samad Ismail (1925-2008)

    Catatan Wartawan

    “Aku suka ‘reporter’ yang ‘independent’. Aku benci mereka yang sekejap-sekejap telefon ofis atau ‘mediocre’ bekerja dengan aku. Sama ada kau lulusan dari kolej mana, universiti mana, aku tak peduli. Yang penting mutu kerja kau. Itu yang aku nilai, sejauh mana kau laporkan berita itu secara ‘in-depth’.”

    – Allahyarham Pak Samad, semasa diwawancara penulis pada Disember 2006

    Oleh Chairul Fahmy Hussaini

    GENERASI muda hari ini mungkin tidak begitu mengenalinya, apatah lagi mengerti betapa besarnya sumbangan yang dihulurkan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail kepada pembangunan awal Singapura.

    Jadi, saat mendapat berita pulangnya Pak Samad ke rahmatullah petang kelmarin, dengan sendirinya diri ini mengimbau kembali pertemuan sulung (yang juga terakhir) penulis dengan pejuang nasionalis dan tokoh kewartawanan Nusantara itu, yang berlangsung hampir dua tahun lalu, atau lebih tepat lagi pada 23 Disember 2006.

    Pertemuan selama dua jam itu diatur sebagai usaha kami menjejak detik awal kelahiran Berita Harian lima dekad lalu.

    Bersama-sama Penolong Editor, Encik Puad Ibrahim, dan jurugambar, Encik Taufik A. Kader, kami mewawancara beliau di rumah adiknya di Bedok Reservoir Road, sempena kunjungan beliau ke Singapura ketika itu.

    Meskipun uzur, ‘kelantangan’ Pak Samad masih belum luntur.

    Suasana pertemuan menjadi hangat dek ‘aksi’ dan suaranya.

    Rokok, tidak sekali terlepas daripada bibirnya dan disela-sela kepulan asap, beliau mula bercerita:

    “Pada waktu itu (lebih kurang 1957) Berita Harian dimulakan sebagai akhbar versi Melayu The Straits Times. Saya telah ditugaskan untuk menubuhkan sebuah akhbar Melayu dan diberi nama Berita Harian (BH).

    “(Tetapi) untuk menjadikan ia sebuah akhbar yang menarik dan mempunyai identiti tersendiri (bukan sekadar menyiarkan berita versi Melayu The Straits Times) adalah dengan mengambil wartawan-wartawan sambilan dari setiap negeri di Tanah Melayu termasuk di Singapura.

    “Ini menjadikan ia sebuah akhbar yang kaya dengan pelbagai berita menarik yang dapat dibaca di Tanah Melayu dan juga Singapura,’ kata beliau, yang memulakan kerjaya wartawan di Utusan Melayu di bawah asuhan Bapa Wartawan Melayu, Encik Abdul Rahim Kajai, pada 1941 dalam usia 16 tahun.”

    Namun, apa yang diceritakan Pak Samad ketika itu hanyalah sekelumit kisah perjalanan hidup beliau sepanjang lebih 60 tahun bergelumang dalam dunia politik, kewartawanan dan bahasa.

    Generasi hari ini mungkin tidak menyedari bahawa Pak Samad memainkan peranan penting dalam pembentukan landskap politik tanah air.

    Selain menjadi antara pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau jugalah yang mengenalkan rakannya, mendiang C.V. Devan Nair, kepada parti itu.

    Mendiang Nair (1923-2005) merupakan Presiden ketiga Singapura antara 1981 dengan 1985.

    Selain itu, Pak Samad yang menurut buku Paths Not Taken: Political Pluralism in Postwar Singapore, juga diketahui bertanggungjawab menarik ramai pemimpin Melayu daripada kalangan wartawan, anggota mapan kesatuan sekerja ke dalam politik.

    Ini seperti Allahyarham Yaacob Mohamed, Allahyarham Rahmat Kenap, Allahyarham Buang Omar Junid dan Encik Ariff Suradi, menyertai PAP.

    Penampilan mereka sebagai pemimpin PAP di tengah-tengah pergolakan politik nasionalisme pada tahun-tahun 1950-an telah menyebabkan PAP diterima baik masyarakat Singapura sebagai sebuah parti berbilang kaum sehingga ke hari ini.

    Pak Samad juga seorang sasterawan dan menerima Anugerah Ramon Magsaysay pada 1994.

    Antara novel karyanya ialah Patah Sayap Terbang Jua, Kail Panjang Sejengkal dan Tembok Tidak Tinggi.

    Selain berkarya, beliau juga berperanan dalam pembentukan Angkatan Sasterawan ’50 (Asas 50) dan membantu dalam pembentukan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah institusi bahasa dan sastera.

    Menghargai sumbangan Pak Samad, pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad berkata:

    “Saya begitu menghargai sumbangannya kepada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan Asas ’50 dalam usahanya mendidik masyarakat dan memperkasakan bahasa Melayu.”

    Pemergian Pak Samad sememangnya satu kehilangan besar, namun Tuhan lebih menyayanginya.

    Di Ramadan ini, semoga roh beliau dicucuri rahmat-Nya.

    Al-Fatihah.

    Berita Harian | Dalam Negeri
    Sabtu, 6 September 2008
    6 Ramadan 1429H





    cerminan

    26 08 2008

    mungkin tatkala ini
    segala kelihatan serupa
    seperti yang diceritakan

    mungkin tatkala ini
    kita asyik pandang depan
    hingga tidak perasan
    jarang sekali toleh belakang
    melihat bagaimana
    dulu dan sekarang

    ibu
    pernah sekali ninda bilang
    hidup jangan sekali tewas

    ibu
    sekali ada ninda kata
    jangan digadai kerana hutang

    ibu
    ninda ada beritahu
    jangan sekali kali menidak bangsa
    walau sekian besar pekungnya

    ibu
    ninda ada ingatkan
    mesti perkasa
    martabat Melayu

    ibu
    ninda selalu pesan
    dahulukan bangsa

    ibu
    di sini diriku
    adalah zuriat Melayumu
    benih bapa dan poyangku

    ibu
    matiku adalah
    untuk bangsa dan Melayuku…

    Alang Budiman
    Selasa, 26 Ogos 2008
    23 Syaaban 1429H
    17:57:27 ptg








    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.