Azam untuk si ‘dungu’

3 01 2010

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

DIAM tak diam, kita telah pun melangkah masuk ke tahun baru Hijrah 1431 dan kini menikmati pula tahun baru Masihi 2010.

Sebagai Adam, apa azam kita?

Bagi kebanyakan sang Adam, tentunya azam kita antaranya tertumpu kepada beberapa perkara berikut:

  1. Kurangkan berat badan, rajin bersenam
  2. Tingkat kemahiran diri, kuasai ilmu
  3. Lebih rajin berjimat/tingkat sumber kewangan, mantap ekonomi keluarga
  4. Luang masa pererat hubungan, tingkat kasih sayang anak-isteri
  5. Tingkat bakti, perkukuh sendi masyarakat
  6. Lebih bercakap dalam bahasa Melayu dan menghargai budaya, ia cermin jiwa bangsa.

Tidak dinafikan, ada juga sang Adam kita yang begitu bersungguh-sungguh berazam mahu mendapat kerja lebih baik dengan gaji lebih tinggi berbanding yang ada sekarang. Malah, ada juga yang tidak segan silu umumkan kepada ramai, azam mereka untuk bertunang atau berkahwin pada tahun ini.

Saya tidak hairan jika ada mat-mat Melayu kita mati-mati nak bernikah pada 20 Oktober 2010 pada 20:10 malam.

Apapun azam kita, jika ia sesuatu yang baik, wajar diusahakan sampai terlaksana. Tetapi terdapat satu lagi kelompok Adam yang kalau boleh, ingin sekali saya kemukakan azam baru untuk mereka.

Apatah lagi, mereka inilah yang sering ‘buat kotor buku’ masyarakat kita. Bagi golongan ini, saya syorkan beberapa azam yang harus mereka praktikkan, biar jadinya nanti, mereka lebih bertanggungjawab – tidak menyusahkan diri sendiri dan orang-orang di sekeliling mereka.

Azam yang saya perturunkan ini juga mesti sentiasa berdengung dalam kepala otak mereka – bak azimat:

  • Apabila lakukan hubungan seks di luar nikah, mesti pakai kondom.

Jadinya, anak-anak gadis yang mereka rosakkan, taklah pula mengandung tak tentu pasal dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.

  • Sebelum lakukan seks, mesti tanya si mambang, sama ada mereka subur atau tidak, satu cara untuk bantu si mambang elak mengandung.

Kenapa semua ini perlu?

Ini kerana ramai di kalangan sang Adam kita, dalam soal seks, tidak gunakan akal yang dianugerah Tuhan.

Entah kenapa, apabila bab seks, mereka gelojoh dan rakus – mudah ‘terjun’ tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Sudahlah begitu, apabila dapat tahu mambang dah mula nak terberanak, mereka cabut lari.

Si mambang pun satu perangai, entah kenapa, dengan mudah memberi – terlentang terlungkup tak mengapa – demi cinta.

Poorah!

Saya beri saranan-saranan ini bukan bererti saya sokong remaja kita lakukan seks luar nikah. Tidak sama sekali. Malah, mereka seharusnya berhenti daripada melakukannya sehingga berumah tangga dan pada masa ini tumpukan pada pelajaran demi masa depan lebih baik.

Tetapi kerana menyedari seks itu suatu fitrah, tidak dapat tidak kita perlu menanganinya dengan cara yang lain, apatah lagi tegahan daripada sudut agama, soal halal haram sudah lama diketepikan golongan ini.

Dinasihat secara baik dan lembut dan tegas sekalipun tidak diendahkan. Didedahkan akan risiko menghidapi HIV atau Aids pun, golongan ini tak peduli. Dicakap berkali-kali, dibuat juga.

Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dan kebebalan mereka ini, masyarakat kita mulai ‘dibanjiri’ anak haram.

Disebabkan ‘kedunguan’ sekelompok Adam dan sekelompok Hawa inilah, masyarakat perlu menanggung beban mereka.

Untuk kita salahkan ibu bapa si Adam dan si Hawa ni pun tak guna kerana depan orang tua, kelompok yang harus kita sifatkan sebagai ‘dungu’ ni amat baik perilakunya.

Pijak semut tak mati beb!

Jadi sebagai seorang yang lebih senang berterus-terang, saya harap dengan azam yang syorkan ini, ia dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban yang selama ini ditanggung masyarakat kita dek perbuatan tak bertanggungjawab sang-sang Adam ini.

Selamat tahun baru semua!

Ekstra | Suara Adam
Berita Harian
1 Januari 2010
15 Muharram 1431H
Sabtu





Ekonomi meleset tapi wang hantaran melambung

14 11 2008

SUARA ADAM

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

EKONOMI mulai meleset tetapi nampaknya kadar wang hantaran bagi majlis perkahwinan orang kita sekarang naik melambung tinggi, mengalahkan kenaikan harga minyak!

Kalau trend ini berterusan, makin nampak kaum Adam kita kalau tak bekerja keras dari mula, tak simpan duit daripada awal, seumur hiduplah jadi bujang trang-tang-tang.

Yalah, kalau dah wang hantaran sampai $15,000 termampukah kaum Adam kita menyediakan jumlah yang sebesar itu untuk meminang si dia yang lama dipikat?

Bayangkan, kalau wang hantaran untuk anak dara yang tak masuk universiti pun dah mencecah $12,000 sekarang ini, yang dah raih ijazah tentu sahaja lebih tinggi kan?

Meremang bulu roma saya memikirkan hal ini.

Iyalah, bukannya apa… bila mengenangkan dengan nilai wang hantaran pada 1994 cuma $5,000 sahaja.

Dalam sedekad setengah, jumlah wang hantaran kini dah sampai tiga kali lipat!

Memanglah, sepanjang 14 tahun ini, taraf pendidikan anak-anak gadis kita saya akui lebih tinggi daripada kaum Adam.

Tetapi adakah itu sahaja sandaran keluarga si gadis dalam menentukan nilai wang hantaran anak mereka?

Bagaimana pula dengan kesediaan anak gadis mereka untuk masuk dapur, bolehkah hasil masakan mereka diterima sang suami?

Bagaimana pula dengan kesediaan anak-anak gadis mereka menguruskan rumah tangga?

Apakah mereka mampu mengemas rumah dan menggosok baju dengan sesempurnanya?

Seharusnya hal-hal ini turut dijadikan ukuran sebelum pihak ibu bapa menetapkan kadar wang hantaran.

Hakikatnya, ibu bapa mesti bersikap realistik dan tidak sesekali menetapkan wang hantaran berdasarkan ‘harga pasaran’.

Kasihanilah kaum Adam kita yang terpaksa berhempas pulas mengumpul wang hanya untuk mengadakan wang hantaran sebegitu banyak.

Ini belum lagi perbelanjaan yang diperlukan untuk ubah elok rumah yang bakal dibeli saat berumah tangga.

Ibu bapa kaum Adam juga janganlah bersifat ‘lebih sudu dari kuah’.

Mereka perlu mengerti dengan menawarkan wang hantaran lebih tinggi daripada yang sepatutnya untuk bakal menantu mereka, tindakan itu sebenarnya boleh merosakkan masa depan rumah tangga yang bakal dibina mempelai.

Sang menantu akan beranggapan yang bakal suaminya itu walau bergaji kecil sebenarnya mampu berbelanja besar dan tidak menyedari hakikat yang sebenarnya bakal suaminya itu mendapat ‘suntikan dana’ daripada ibu bapanya sendiri.

Jadi, semasa menjalani hidup berumah tangga, pengantin baru itu yang dari muda tidak diajar berjimat-cermat akan mudah bercakaran apabila masalah duit terjadi antara mereka.

Apatah lagi, dengan trend penggunaan kad kredit yang meluas dan tekanan sekeliling agar kita sentiasa memiliki benda terbaru, berjenama dan eksklusif, pasangan muda mudah terjerat dengan bebanan hutang.

Andai ibu bapa tidak memainkan peranan mereka dengan betul dalam membimbing dan memberi kesedaran tentang pentingnya aspek menabung, bencana akan menimpa pasangan muda.

Ingat kisah yang dibentangkan dalam filem Bujang Lapok apabila pasangan suami isteri bercakaran tentang masalah duit, salah seorang daripada mereka menyentuh tentang isu wang hantaran dan kemudiannya dengan lantang berkata:

“Ini semua mak bapak kau yang salah!”

Andai ini terjadi, ia satu tragedi yang benar-benar silap mak bapak kita! 

Berita Harian | Ekstra
14 November 2008
16 Zulkaedah 1429H
Jumaat





Nak tambat hati bakal mentua

27 09 2008

SUARA ADAM 

Si Minah pastikan kekasih pandai jaga diri dan sopan santun
apabila berdepan dengan ibu bapanya

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini

Tentunya kita semua ghairah nak sambut Syawal.

Tapi sebenarnya kan, dalam bab sambut-menyambut Raya ni, golongan Mamat dan Minahlah yang saya rasa paling hepi sekali!

Bagi si Mamat terutamanya, ini kesempatan terbaik untuk mereka mengunjungi rumah sang kekasih, untuk berkenalan dengan ibu bapa si Minah.Ini kira macam minta ‘consent’ atau kebenaran untuk mereka ‘going steady’ (berpacaran) lah!

Saya tak nafikan, untuk si Mamat mengunjung rumah kekasihnya, memang tak susah.Tapi nak menangi hati Pak dan Mak si Minah tu yang susah…Jadi macamana?

Ginilah, kerana tak mahu kaum Adam kita rasa sengsara apabila berhadapan dengan bakal ‘bapak dan mak mentua’, saya perturunkan pesanan daripada anak mereka, si Minah.

Ini semua bukan apa, si Minah tak mau si Mat yang dicintainya tu terus-terusan gelabah masa datang beraya nanti. Dengan penuh ikhlas Minah tulis mesej kepada si Mat:

Ke hadapan Matku yang dicintai…

Apabila datang beraya nanti, u mesti datang sorang…

Mesti pakai baju Raya tau! Kalau pakai baju biasa, bukan raya namanya my dear…

Kalau dah tahu lengan baju kurung tu panjang, tolong singsing, jangan biarkan macam baju wayang Cina!

Lipat betul-betul… macam Smart 4.

Tolong jangan selekeh bila datang tu. Mesti kemas, segak, murah senyum, pandai bawa diri dan berbual dengan my dad.

Sebelum masuk rumah kita, u check baju rapi ke tak… rambut kena maintain tau!

Kalau rambut panjang, ikat. Rambut tak mau tercacak-cacak O.K.!

Kalau hisap rokok, makan gula-gula sebelum datang ke rumah i!

Dah tu, ambik minyak wangi spray betul-betul… nanti bapak i bau asap rokok u!

Mat, bila dah sampai depan pintu nanti, kasut letak betul-betul ya.

Jangan letak sembarangan. Tengok kat lantai tu, kasut orang lain macam mana taruk… susun sama-sama.

Kasut yang u pakai pun mesti kasut Raya eh… murah pun tak apa, tapi jangan nak pakai kasut Panda pulak.

Oh ya… tak payah nak tunjuk u ada motor. Helmet pun tak payah bawak naik ke rumah, tinggalkan aje kat motor.

Apabila dah sampai, call me tau, cakap u nak naik…

Tapi apabila dah kat pintu, cakap “Assalamualaikum!”.

Mat, u jangan lupa, i kat dapur… jadi u kena gentleman ah sikit.

Lepas tu jangan lupa salam siapa yang buka pintu… kemudian salam bapak i.

U kemudian tegurlah Mak i sekali, tanya:

“Apa khabar, Cik? Saya Mamat”.

U mesti ingat Mat, darah i berderau kat dapur tu!!!

Apabila dah duduk dengan my dad, standard, u mesti tanya khabar dia.

Dah tu, u intro yourself, kemudian tanyalah…

“Dah makan pak cik? Niari tak kerja?”

O.K.?

Mat, kalau bapak i tanya mana u kenal i, jangan cakap yang kita kenal thru chatline pulak!

Cakap kenal daripada kawan-kawan O.K.? Alah… u drop some names of the other chatters in the chatroom lah jadi credible sikit.

Kalau my dad tanya pasal tatu kat tangan, lengan dan jari u tu, cakap tatu tu dah lama buat.

Jangan pulak u nak show off satu badan tatu u tu!

Kalau my dad tanya, ‘Awak ni kenal sama anak saya, serius ke main-main?’

Cakap… u kenal dengan i baru 2/3/4 hari atau bulan atau tahun ke.

Cakap… saya serius pak cik, insya-Allah kalau panjang umur, murah rezeki ada jodoh dan direstui ibu bapa, ada jodoh kami…

Oh sebelum i lupa..!

U datang tangan kosong pun tak apa… tapi keluar tu kena salam adik-adik i.

U tau kan, i ada empat beradik. Seorang $10 tau!

Jangan lupa nasihat i ya Mat.

Sayang u.

Minah.

Berita Harian | Ekstra
27 Ramadan 1429H
27 September 2008
Sabtu








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.