Usah simpati tidak bertempat

13 11 2008

Komentar

PANDANGAN
Chairul Fahmy Hussaini

ADAKAH anda berasa selamat selepas tiga pengganas Jemaah Islamiyah (JI) yang terlibat dalam serangan bom di Bali pada 2002 menjalani hukuman ditembak mati baru-baru ini?

Amrozi Nurhasyim, 47 tahun, dan abangnya, Mukhlas (atau Ali Ghufron), 48 tahun, bersama Imam Samudra, 38 tahun, gagal dalam rayuan mereka setelah dijatuhi hukuman mati pada 2003.

Mereka didapati bersalah kerana mendalangi peristiwa bom Bali 2002 yang meragut lebih 200 jiwa.

Jika anda berasa selamat, maka tanggapan itu silap!

Ini kerana dua pengganas utama yang mendalangi Jemaah Islamiyah – Noordin Mohammad Top dan Mas Selamat Kastari – masih berleluasa dan bermaharajalela.

Meskipun pelbagai usaha dilakukan bagi memerangkap kedua-duanya, ternyata mereka masih licik.

Ketangkasan Noordin, 40 tahun, dan Mas Selamat, 47 tahun, mengelak umpan, perangkap dan jerat yang dipasang pihak berkuasa menunjukkan sikap tegar mereka untuk terus mengganas belum luntur.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan berita tentang penangkapan lima individu berserta penemuan sejumlah senjata api dan tiga kilogram bahan letupan dalam satu siri serbuan pasukan antiterorisme Indonesia yang dilakukan di Jakarta dan Bogor bulan lalu.

Sehingga kini belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia atau dari mana-mana agensi keselamatan dan risikan lainnya tentang kaitan mereka dengan Noordin atau Mas Selamat.

Namun, saya berpendapat ia ada kaitannya.

Sebabnya, kesemua lelaki itu dipercayai ada hubungan dengan Mohamed Hassan atau juga dikenali sebagai Fajar Taslim, seorang warga Singapura yang ditangkap pihak berkuasa Indonesia pada Julai lalu.

Mohamed Hassan, 35 tahun, ditangkap di Sekayu, Palembang, Sumatera. Dia disyaki terlibat dalam pengganasan dan dilaporkan menganggotai JI Singapura yang dipimpin Mas Selamat.

Semasa diserbu, polis menemui lebih 20 bom, 50 kilogram peledak dan 50 butir peluru kaliber .38 dan merampas pelbagai perakam masa elektronik dan panduan membuat bom.

Ini menunjukkan adanya jalinan utuh antara mereka, biarpun bukan pertalian darah.

Masyarakat perlu sedar dan menerima hakikat bahawa hubungan antara pengganas JI yang diberkas dengan Noordin ataupun Mas Selamat bukan terjalin atas dasar ‘saudara-seagama’ semata-mata, bahkan lebih daripada itu.

Hubungan kental mereka sebenarnya tidak ubah seperti pasangan yang bercinta dalam kejauhan – walau jauh di mata namun dekat di hati.

Secara zahirnya memang mereka mungkin tidak ketemu, bertentang mata, berpimpin tangan atau tidur sebantal, tetapi kerana kukuhnya ikatan ‘cinta’ mereka, mereka saling dapat membaca hati budi dan gerak laku satu sama lain.

Ini kerana mereka mendukung ideologi yang sama.

Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi saya berkeyakinan bahawa mereka ini mampu berhubungan secara misteri.

Bagaimanakah mereka melakukannya?

Hal ini masih diselidiki.

Tetapi kerana kesungguhan (conviction), seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja.

JI bukan saja merupakan tindakan bersenjata, bahkan lebih penting lagi penyebaran fahaman atau ideologi yang menyesatkan.

Mujurlah dek kegigihan pihak berkuasa dan sokongan padu masyarakat, ramai anggota JI kini meringkuk dalam tahanan dan rangkaian JI itu sendiri hampir ranap.

Namun, ada peribahasa patah sayap, bertongkat paruh, JI yang sudah kehilangan ramai ketuanya itu masih dapat bergerak. Malah, ia kini berpecah menjadi sel-sel kecil.

Pun ada peribahasa – patah tumbuh hilang berganti – boleh berlaku pada JI.

Walaupun hampir musnah, mereka masih dapat merekrut anggota baru, bersatu dan mengukuhkan semula kedudukannya.

Seorang rekrut baru JI bak bom jangka yang boleh membunuh ratusan orang.

Kesetiaan anggota JI pada Noordin dan Mas Selamat bukan suatu yang main-main.

Mujur, misi terbaru JI untuk mengebom depot tangki minyak di Jakarta sebelum ini gagal.

Jika tidak, dunia akan menyaksikan serangan ganas lebih buruk berbanding serangan di Bali pada 2003 (202 maut) dan 2005 (20 terkorban), atau pengeboman ke atas Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 (12 terkorban).

Hakikatnya, ancaman pengganasan yang didalangi JI akan berterusan selagi ada simpati tidak bertempat kalangan Muslim atas ‘pengorbanan’ pelampau atau pengganas seperti Amrozi, Noordin atau Mas Selamat serta konco-konco mereka.

Jangan jadikan mereka ‘wira’ atau ‘syuhada’ seperti teriakan di desa Amrozi atau Imam Samudra. Ini satu kesilapan besar yang harus dielakkan.

Sebabnya jelas; perjuangan mereka itu sudah tersasar jauh.

Bak kata ketua Majlis Ulama Indonesia, Encik Umar Shihab, mereka bertiga bukanlah mati sebagai syuhada tetapi tumpas sebagai pembunuh.

Bahkan, simpati kita akan hanya menyebabkan polarisasi antara masyarakat Islam dengan bukan Islam menjadi lebih ketara.

Kita tidak mampu ‘terperangkap’ dek hujah sarjana sains politik, Profesor Samuel P. Huntington, bahawa dunia Islam memang memusuhi Barat.

Pastikan simpati kita bertempat – demi kebenaran dan menonjolkan kemurnian Islam untuk seluruh kemanusiaan.

Jangan biarkan hujah Huntington menjadi satu kenyataan.

Huraiannya terletak pada tangan kita untuk mengatasi fahaman sesat dan membina harga diri ummah.

Berita Harian | Komentar
13 November 2008
15 Zulkaedah 1429H
Khamis





Bukti Muslim tabah hadapi cabaran penyejagatan

22 09 2008

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

RUPA-RUPANYA Muslim tabah mendakap penyejagatan atau globalisasi.

Demikian hasil tinjauan ke atas 5,216 Muslim di serata dunia oleh WorldPublicOpinion.org, antara 12 Januari dengan 23 Februari lalu dan disiarkan pada 27 Ogos lalu.

Respondennya meliputi warga Mesir, Turkey, Azerbaijan, Iran, Indonesia, Palestin dan Nigeria.

Sekitar lapan daripada setiap 10 Muslim di Mesir dan Nigeria menyatakan penyejagatan atau globalisasi sebagai ‘baik’ untuk mereka.

Lebih daripada enam bagi setiap 10 Muslim dari negara-negara seperti Palestin, Indonesia, Iran dan Azerbaijan, turut menyatakan pendirian yang sama.

Hanya 25 peratus daripada seluruh responden yang ditinjau menyatakan globalisasi itu buruk.

Tinjauan ini menunjukkan bahawa Muslim dapat menyesuaikan diri antara tuntutan masa dan ruang dengan ‘pengabdian’ kepada agama. Ertinya, Muslim dapat secocok dengan dunia yang sering dianggap ‘sementara’.

Hasil tinjauan itu penting selepas tujuh tahun peristiwa 9/11 yang telah meranapkan imej Islam di mata majoriti bukan Muslim di dunia.

Tinjauan Gallup Poll dalam buku Who Speaks for Islam (Siapa Bersuara Untuk Islam) pula menunjukkan 1.3 bilion Muslim sedunia ingin memahirkan diri dengan teknologi.

Jadi, apakah iktibar yang boleh kita raih daripada kesemua hasil tinjauan ini?

Pertama, ia membuktikan bahawa masyarakat Muslim hari ini memahami dunia sebenar yang sudah jauh berubah dan peluang menikmati kehidupan lebih baik semakin terbuka.

Kedua, globalisasi sebenarnya pintu ‘rahmat’ dan kerananya, Muslim dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Ketiga, globalisasi membolehkan Muslim mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam dengan memanfaatkan sepenuhnya gedung ilmu Barat.

Asas hujah ini boleh dilihat pada dua tunggak penting Islam – sosioekonomi dan politik.

Ramai masih belum menyedari betapa globalisasi sebenarnya menyediakan peluang yang cukup luas bagi masyarakat Islam jagat mengembangkan ekonominya.

Kita ambil contoh mudah – kewangan Islam dan pasaran makanan halal.

Dalam aspek kewangan Islam, dunia semakin menyedari potensinya yang cukup luas.

Majalah The Economist baru-baru ini melaporkan bahawa Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam menaksirkan jumlah aset berlandaskan Islam yang diuruskan di peringkat global adalah sekitar AS$700 bilion ($1 trilion).

Agensi penilai ekonomi, Standard & Poor’s, berasakan sektor kewangan Islam boleh menguruskan aset sehingga AS$4 trilion.

Agensi lain pula berpendapat kewangan Islam hanya membentuk kurang 1 peratus daripada keseluruhan industri kewangan dunia.

Oleh itu, ini satu peluang amat baik bagi mengembangkan potensi kewangan Islam.

Atas kesedaran itu, Britain – yang dianggap sebagai pusat kewangan Islam ulung di Eropah – berura-ura mengeluarkan sukuk atau bon Islam jangka pendek. Perancis pun tidak mahu ketinggalan.

Pasaran halal kini bernilai AS$150 bilion setahun.

Sayangnya, umat Islam masih jauh ketinggalan dalam serba-serbi. Lima negara majoriti Muslim contohnya Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nigeria dan Mesir, membentuk lebih setengah bilion (528 juta) warga termiskin dunia dengan pendapatan tidak lebih daripada AS$2 atau $2.80 sehari.

Lebih menyedihkan lagi, kadar celik huruf di Dunia Muslim hanya 53 peratus berbanding 81 peratus di China.

Dari segi penguasaan teknologi maklumat pula, hanya 1 peratus Muslim sedunia yang memiliki komputer peribadi.

Kemiskinan membawa kekufuran. Oleh itu, kesedaran dan pemahaman lebih baik masyarakat Islam untuk menimba dan melabur dalam ilmu merupakan cara terbaik menghadapi globalisasi.

Jelaslah, kita perlu memberi respons yang lebih bersepadu dan pantas demi membangunkan sumbangan umat Islam kepada kemanusiaan.
 
 
 
 

 

Berita Harian | Komentar
22 September 2008
22 Ramadan 1429H
Isnin





Awas pemikiran belia ‘dibasuh’ pengganas

21 12 2007

Pengeboman nekad merupakan satu ancaman jagat. Lebih membimbangkan lagi, pelakunya merupakan golongan belia. Sedutan makalah kajian tulisan CHAIRUL FAHMY HUSSAINI (chairul@sph.com.sg) ini membentangkan bagaimana seseorang itu dipengaruhi untuk berjihad ke jalan Allah’ dengan menjadi pengebom nekad. Ia disumbangkan wartawan untuk Konvensyen Belia 2007 dengan tajuk ‘Memerangi pengganasan: Mengelakkan pengradikalan belia dalam dunia sekular dan sejagat’ di Kelab Akar Umbi, Ang Mo Kio Avenue 8, anjuran Taman Bacaan Pemuda-Pemudi Islam Singapura baru-baru ini.
 
PERASAAN marah yang meluap kerana ditindas merupakan antara faktor utama yang membuat seseorang Muslim mudah menjadi fanatik dan ekstrem demi menuntut keadilan dan mencapai matlamat politik bagi merubah ketidakseimbangan itu.
   Seperti kebanyakan golongan militan lainnya yang berpegang pada fahaman Wahabi berlandaskan ajaran Salafi yang dipelopori Ibnu Taimiyah, Jemaah Islamiyah (JI) juga demikian.
   Ajaran Ibnu Taimiyah sebenarnya lebih menyeru kepada Jihad Akbar’, iaitu perjuangan melawan hawa nafsu sebagai asas mencapai kecemerlangan ummah, meskipun ia turut membenarkan Jihad Asghar’ sebagai usaha untuk melindungi masyarakat Muslim yang menjadi mangsa penjajahan, seperti peperangan di Palestin pada 1967 dan Afghanistan pada 1979.
   Sayangnya, pemimpin JI dan golongan militan lainnya menjadikan Jihad Asghar’ sebagai misi yang lebih besar dan utama.
   Bagi Noordin Mohd Top dan pasangannya yang telah dibunuh pihak berkuasa Indonesia pada November 2005, Dr Azahari Husin, menentang musuh yang menindas masyarakat Muslim dan memerangi orang-orang kafir yang mencerobohi agama Islam termasuk golongan Muslim yang bersekongkol’ dengan mereka dianggap sebagai suatu yang lebih penting, mustahak dan wajib.
   Atas dasar itu, JI menggariskan matlamat meletakkan mereka di bawah pemerintahan Islam.
   Untuk mencapai cita-cita tersebut, mereka gigih mempengaruhi pemikiran pengikut mereka bahawa untuk menikmati kebahagiaan berpanjangan dan sentiasa dicintai Tuhan, mereka harus bersedia berjihad – dengan menjadi pengebom nekad.
   Dengan cara sedemikian, seseorang itu bukan sahaja akan mati syahid, malah diberi keredaan’ ke syurga bersama 70 anggota keluarga mereka.
   Mereka yang dikenal pasti sebagai berpotensi menjadi pengebom nekad kemudian akan diterangkan tentang prinsip-prinsip ajaran Sheikh Abdullah Azzam – penggerak utama militansi global yang mempengaruhi Osama Bin Laden dan Ayman Al-Zawahiri – dalam kebangkitan radikalisme bagi menentang penindasan Barat.
   Ajaran Sheikh Abdullah banyak tertumpu pada soal keimanan, hijrah dan jihad.
   Bakal pengebom nekad juga kemudiannya diterangkan tentang keadaan semasa dunia dan bagaimana Muslim di seluruh dunia kini ditindas Barat.
   Pada masa yang sama, mereka juga ditekankan tentang peri perlunya membuang semua amalan syirik’ dan perbuatan mendewa-dewakan pemimpin.
   Bagaimanapun, segala tumpuan ajaran mereka adalah terhadap pengertian jihad’, bahawa ia bukanlah satu konsep semata-mata tetapi sesuatu yang perlu dilaksanakan.
   Mereka yang terlibat dalam usaha-usaha pemulihan anggota JI berkata pemikiran rekrut ini telah dibasuh’ agar hanya memahami dan menerima konsep jihad yang diseleweng.
   Kejayaan membasuh’ minda mereka itu menyebabkan pengganas – baik Al-Qaeda mahupun JI – berupaya melaksanakan siri serangan bom di Bali pada Oktober 2002 dan Oktober 2005, di Madrid pada Mac 2004, serta di stesen kereta api bawah tanah London pada Julai 2005.
   Lebih membimbangkan, kesemua serangan itu dilakukan pengganas muda – daripada semuda 18 tahun sehingga awal 30-an tahun.
   Ketua Polis Indonesia, Jeneral Sutanto, sebelum ini ditukil sebagai berkata JI kini bergerak dalam kumpulan lebih kecil serta beroperasi ‘seperti sel-sel barah… tompok-tompok kecil yang tumbuh di daerah terpencil, merekrut anggota
baru, mempengaruhi, menggerakkan dan mengerahkan mereka menjalankan serangan nekad seperti pengeboman di Bali’.
   Melihat pada serangan pengganasan di Eropah dan yang berlaku di negara jiran, kita tidak dapat menafikan serangan pengebom nekad merupakan satu ancaman nyata dan serius.
   Kemungkinan serangan pengebom nekad berlaku lagi di rantau ini tidak boleh dinafikan.
   Ancamannya akan kekal untuk beberapa lama dan Singapura tidak terlepas daripada ancaman ini.
 
Nota: Penulis merupakan lulusan pascasiswazah dalam bidang Perhubungan Antarabangsa di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga adalah wartawan Berita Harian.

Berita Harian, 26 Januari 2007, Jumaat








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.