Nilai kemampuan ke menara gading

5 06 2010

 

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MAMPUKAH ibu bapa Singapura menghantar anak mereka ke varsiti setempat? Inilah antara persoalan sebuah rencana khas keibubapaan di akhbar The Sunday Times ( 30 Mei 2010) minggu lalu.

Antara lain, Naib Presiden bagi Pengurusan Harta, OCBC Bank, Cik Anne Tay, menganggarkan bahawa kos pengajian tiga tahun di universiti tempatan – tidak termasuk kursus perubatan – akan mencecah $84,577 dalam masa 15 tahun atau $96,413 pada 20 tahun akan datang.

Kursemangat…

Persoalan ini menarik menjelang Mesyuarat Agung Mendaki pada 19 Jun ini.

Maklumlah orang Melayu merupakan golongan paling tidak mampu di sini.

Yuran universiti setempat untuk tahun 2010/2011 sekitar $25,230 sehingga $69,930 setahun.

Dengan subsidi pemerintah, ibu bapa setiap pelajar hanya perlu membayar daripada serendah $6,890 hingga setinggi $10,920 setahun.

Bagi yang memasuki fakulti Perubatan atau Pergigian, kos yuran tanpa subsidi adalah $107,920 setahun.

Dengan subsidi, seseorang pelajar di kedua-dua fakulti itu hanya perlu membayar $19,720 setahun.

Ini berdasarkan semakan terbaru di tiga universiti setempat: Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) tahun ini.

Dari masa ke masa kadar kos (termasuk yuran) universiti disemak, namun angkanya tidak pernah menurun.

Dalam hal ini kita menghargai komitmen pemerintah bahawa setiap warga Singapura tidak akan dipinggirkan dalam aspek pendidikan.

Jaminan ini jelas disuarakan Menteri Kanan, Encik Goh Chok Tong, pada Oktober 1989 (semasa menyandang Timbalan Pertama Perdana Menteri) bahawa pemerintah akan memastikan ‘tiada warga Singapura yang layak memanfaatkan pendidikan universiti dinafikan peluangnya semata-mata kerana beliau tidak berkemampuan’.

Hakikatnya, sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) memerintah pada 1959, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan setiap warganya – tanpa mengira perbezaan warna kulit dan agama (dasar meritokrasi) – menikmati mutu dan sekitaran pendidikan kelas pertama.

Pemerintah turut menawarkan biasiswa, dermasiswa dan pelbagai skim bantuan pendidikan bagi memastikan impian warga Singapura menggenggam gading bertuah tercapai.

Bagi masyarakat Melayu, pemerintah mengakui akan kedudukan istimewanya. Ini termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan Negara.

Pada awalnya, setiap anak Melayu mendapat subsidi pendidikan secara automatik sehingga ke menara gading. Namun, kemudahan ini dirubah formatnya iaitu tidak secara automatik tetapi mengambil kira pendapatan keluarga.

Hasil persetujuan pemimpin dan masyarakat Melayu sendiri, pemerintah menyalurkan geran berjumlah $10 juta kepada Yayasan Mendaki untuk mentadbirnya, mulai 1991.

Jumlah ini bersamaan dengan tujuh tahun nilai yuran untuk pelajar Melayu di universiti.

Saat itu, subsidi sebelumnya yang dikenali sebagai Tuisyen Percuma Untuk Pelajar Melayu ditukar namanya kepada Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS).

Dari masa ke masa, pemerintah menyalurkan sejumlah subsidi kepada Mendaki untuk dimanfaatkan masyarakat Melayu menerusi TTFS.

Pelaksanaan TTFS bererti, subsidi itu dikhususkan oleh pelajar Melayu yang kurang berkemampuan, dan bukan lagi untuk dimanfaatkan keseluruhan pelajar Melayu yang berjaya ke universiti dan politeknik atau mengikuti program diploma di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Secara umumnya, asas pertimbangan yang ditetapkan sebelum seseorang pelajar itu menikmati TTFS adalah seperti berikut:

  • Bantuan penuh bagi pelajar yang pendapatan keluarganya kurang daripada $2,000 sebulan 
  • Pelajar daripada keluarga berpendapatan antara $2,001 dengan $3,000 sebulan pula boleh mendapat subsidi sehingga 70 peratus 
  • Pelajar yang tidak menerima sebarang subsidi atau menerima 70 peratus subsidi saja boleh mendapatkan pinjaman menerusi Skim Bantuan Tambahan (SAS) Mendaki.

Relevankah kriteria TTFS untuk hari muka?

Ini persoalan genting. Ia perlu senantiasa disemak dengan mengambil kira kos kehidupan hari ini yang semakin tinggi.

Pemimpin politik Melayu dan peneraju Mendaki yang diamanahkan mengelola geran TTFS perlu meneliti persoalan ini.

Dari pandangan mata kasar kita dapat melihat, tambang bagi perkhidmatan bas dan MRT telah meningkat.

Sekitar 20 tahun lalu, tambang bagi khidmat bas feeder hanyalah 25 sen. Kini untuk pergi ke Pusat Tukaran Bas Tampines dari Tampines Avenue 9, yang hanya sejauh empat perhentian bas, tambangnya $1.

Harga makanan dan harga barangan gunaan harian juga tidak pernah turun.

Pada 1992, harga sebuah flat baru jenis empat bilik di Woodlands misalnya, ‘hanya’ berharga sekitar $90,000, tetapi kini hampir mencecah $300,000.

Perangkaan dari Jabatan Perangkaan Singapura (DoS) bagaimanapun menunjukkan nilai gaji atau pendapatan rakyat kita untuk setahun lalu hanya meningkat 2.8 peratus tetapi bagi jangka waktu yang sama, kadar CPI meningkat 3.2 peratus.

Ini bererti kos kehidupan naik lebih tinggi daripada gaji yang diterima.

Atas dasar ini, amat wajar sekali kriteria TTFS disesuaikan dengan rentak masa dan suasana terutama kenaikan kos hari muka.

Bagi keluarga Melayu yang berkemampuan, soal yuran tidak menjadi masalah. Bahkan, segelintir ibu bapa sanggup membelikan kereta untuk si anak untuk memandu berulang-alik dari rumah ke kampus.

Namun, bagi kebanyakan kita, tiada cara lain selain berjimat dan menabung demi memastikan yuran anak dapat dibayar, tambang bas dan MRTnya tersedia dan cukup duit jajan untuk mengalas perut yang lapar di sela-sela masa kuliah.

Itu pun kalau seorang anak sahaja masuk universiti tempatan, kalau dua atau tiga anak pula bagaimana?

Tentulah ini suatu tanggungan berat, apatah lagi jika ibu bapa ini menikmati pendapatan $3,500 hingga $4,000 sebulan.

Ada pula golongan menengah Melayu yang anaknya tidak mendapat tempat di varsiti setempat tetapi layak ke varsiti luar negara. Mereka juga perlu dibantu kerana kos varsiti luar negara jauh lebih mahal daripada varsiti setempat.

Belum terdedah kepada umum: berapa banyak pelajar Melayu yang telah mendapat subsidi penuh TTFS dan berapa lagi yang menerima potongan subsidi itu sejak dilaksanakan pada 1991? Dan berapakah bilangan pelajar Melayu yang layak ke varsiti setempat atau luar negara tetapi terhambat dek tidak mampu?

Laporan Tahunan Mendaki bagi Tahun Kewangan yang berakhir pada 2008 menunjukkan terdapat sejumlah $15 juta yang diperuntukkan untuk TTFS telah disalurkan ke Dana Pembangunan Pendidikan (DPP).

Mengapakah Mendaki mengetepikan jumlah sebanyak itu untuk DPP?

Mengapa tidak subsidi yang diberikan pemerintah khusus untuk TTFS diagihkan hampir sepenuhnya kalau tidak kesemuanya?

Hal ini perlu dibentangkan secara jelas dan telus demi manfaat kita bersama.

Kunci kemajuan masyarakat ialah pendidikan. Untuk itu, kita wajib memastikan seramai mungkin pelajar kita ke menara gading.

Berita Harian | Komentar
Sabtu, 5 Jun 2010
22 Jamadilakhir 1431H





Hilang bahasa bak hilang jati diri

5 10 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MENGAPA mesti dibangsatkan bahasa sendiri dan mencelakakan jiwa bangsa?

Persoalan serupa saya kemukakan di laman rangkaian sosial Facebook saya baru-baru ini.

Bukan tujuan penulis sengaja bersikap ‘kurang ajar’ atau ingin menimbulkan polemik.

Ia timbul setelah melihat betapa rancu seorang pemuda Melayu memberi jawapan bercampur aduk – antara bahasa Melayu dengan Inggeris – saat diwawancara tentang penglibatannya dalam temasya perlumbaan kereta F1 yang berlangsung baru-baru ini.

Wawancara itu pula disiarkan di saluran televisyen Melayu.

Hakikatnya, bukan remaja lelaki itu sahaja bercakap demikian.

Ribuan lagi warga Melayu kita serupa itu – karyawan tidak terkecuali – simpang perinang apabila berbahasa ibunda.

Tanpa diduga, kenyataan saya di Facebook itu menarik perhatian beberapa rakan yang sama-sama merasakan pedihnya bahasa bangsa ‘dilacurkan’.

Seorang rakan berpendapat:

“Mungkin mereka merasakan kalau berbahasa ibunda macam dipandang kurang intelek.”

Bahasa, budaya dan Islam merupakan penanda jati diri rumpun Melayu.

Jadi, di mana silapnya?

Seorang lagi rakan menulis:

“Di mana salahnya: adakah kurang membaca atau buku Melayu itu kurang atau pergaulannya merepek meraban.

“Maaf, masalah ini semakin meruncing, orang seperti apa kita jika kita hanya mempertikaikan di sini tanpa membuat sesuatu… masih adakah jalan untuk memperbaikinya?”

Soalan beliau ini saya lontarkannya di sini agar lebih ramai mendengar rintihan hati kami yang mual melihat bahasa Melayu diperlekeh.

Namun komen seorang pelajar yang kini bertatih dalam bidang kewartawanan menarik perhatian saya.

Katanya: “Mungkin remaja kita kurang pendedahan kepada bahasa ibunda? Hmm…

“Pedagogi (teknik pengajaran) masa kini semuanya menggunakan bahasa Inggeris sahaja yang difahami dan digunakan seantero dunia.

“Antara melestarikan bahasa kita dengan mencapai tahap kemajuan di persada antarabangsa, (mana yang lebih diutama?) hmm…”

Kurang pendedahan pada bahasa Melayu?

Alasan ini agak sukar diterima memandangkan sumber yang ada mencukupi.

Memang ada di kalangan kita kerap mengadu bahan bacaan dalam bahasa Melayu di sini terhad.

Jika berlaku sekalipun, soal kurang bahan bacaan tidak seharusnya dijadikan sebab atau alasan bagi ‘menghalalkan’ pengabaian bahasa ibunda atau merosakkannya.

Seorang lagi teman menganggap punca pertuturan bahasa Melayu yang ‘compang-camping’ itu ialah kerana tiada rasa bangga atau penghargaan terhadap bahasa ibunda.

“Ia jadi terhakis dek persepsi yang keliru akan bahasa ibundanya sendiri.

“Lantaran itu, bahasa ibunda yang dituturkan secara bercelaru sebenarnya juga mencerminkan kepincangan jati dirinya.”

Sekali lagi soal jati diri dikemukakan.

Apakah ini teras penyebabnya?

Ia masih boleh dibahaskan tetapi usaha memartabatkan bahasa terletak bukan saja di tangan atau pundak para guru atau pencinta bahasa, malah di tangan masyarakat umum – ibu bapa, karyawan, penggiat pertubuhan persuratan, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik – juga.

Lihat sahaja kebanyakan program sosial atau pendidikan kendalian badan-badan Melayu hari ini menggunakan bahasa Inggeris.

Padahal, kumpulan sasarannya ialah orang Melayu sendiri.

Ini mencerminkan betapa tiadanya kesungguhan daripada pucuk kepimpinan Melayu kita sendiri untuk memartabatkan bahasa yang sememangnya mengukuh jiwa bangsa.

Ini belum termasuk penggunaan bahasa Inggeris secara sewenangwenangnya oleh pemimpin masyarakat kita dalam menyampaikan ucapan di majlis-majlis yang anehnya rata-rata dihadiri orang Melayu.

Harus diingat, bahasa Melayu kita tetap Bahasa Kebangsaan Singapura. Ini perlu dihayati.

Benar, zaman berubah dan penyejagatan menuntut pendekatan baru dan berani untuk kita keluar daripada kepompong kelesuan demi mengorak langkah yang lebih dinamis.

Tetapi itu tidak bermakna kita harus menggadaikan bahasa Melayu. Bahkan kemajuan kita sebagai anggota rumpun Melayu akan tampak pincang tanpa penguasaan bahasa ibunda.

Hujah bahawa dengan berbahasa Inggeris sahajalah kita mampu ‘selari’ dengan tuntutan globalisasi merupakan alasan sempit dan cetek.

Sebenarnya, kefasihan bertutur pelbagai bahasa, termasuk bahasa ibunda (di sini bahasa Melayu untuk orang Melayu) memaparkan lambang tamadun.

Usah dinilai bahasa Melayu sekadar untuk berpuisi (menulis atau membaca sajak, pantun dan syair) sahaja. Di Indonesia dan Malaysia, ia sudah menjadi bahasa ilmu pengajian tinggi.

Ia warisan poyang yang bertujuan memperkasa zuriatnya agar kita memiliki harga diri.

Komentar | Pandangan
Berita Harian , Isnin
5 Oktober 2009
16 Syawal 1430H





Kesinambungan pucuk pimpinan

4 04 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

KESINAMBUNGAN dan pembaharuan merupakan teras dalam semakan kabinet Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Ia mencatatkan sejarah kerana buat julung-julung kalinya, seorang ahli politik wanita, Cik Lim Hwee Hua, dilantik sebagai menteri penuh.

Yang menarik ialah Cik Lim (sebelum ini Menteri Negara Kanan Kewangan dan Pengangkutan) dinaikkan pangkat sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan dua portfolio penting – selaku Menteri Kedua Kewangan dan Menteri Kedua Pengangkutan.

Semakan kabinet ini menempatkan Profesor S. Jayakumar sebagai Menteri Kanan.

Ini bermakna Singapura kini mempunyai dua Menteri Kanan, Profesor Jayakumar dan Encik Goh Chok Tong.

Profesor Jayakumar, 69 tahun, melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional.

Di samping itu, beberapa pemimpin muda mendapat kepercayaan penuh Encik Lee untuk menyertai Kabinet seperti Encik Gan Kim Yong dan Encik Lui Tuck Yew.

Encik Gan kini menjadi menteri penuh sebagai Menteri Tenaga Manusia.

Encik Lui pula, yang kini Menteri Negara Kanan (Pendidikan), melepaskan jawatannya itu dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, menggantikan Encik Lee Boon Yang, 61 tahun, yang bersara.

Namun, perkara paling menonjol hasil rombakan ini ialah pelantikan Menteri Pertahanan, Encik Teo Chee Hean, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akan memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Lee.

Kesemua ini mengemukakan beberapa isyarat penting dan jelas:

Pertama: Perdana Menteri memberi kepercayaan lebih besar kepada pimpinan lebih muda untuk memacu Singapura ke tahap selanjutnya.

Kedua: Singapura mampu mengemukakan pemimpin wanita yang berkebolehan dan berwibawa untuk sama-sama membarisi kepimpinan negara ini.

Ketiga: Sedang ramai beranggapan Singapura mempunyai bilangan pemimpin berbakat yang terhad, rombakan ini menunjukkan betapa negara ini sebenarnya mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan, kental dan ampuh.

Keempat: Barisan kepimpinan muda berada di tahap usia yang cukup selesa untuk melayar bahtera Singapura mengharungi cabaran masa depan dengan penuh keyakinan.

Kelima: Pemerintah mengiktiraf bakat.

Atas dasar itu, bagi mengasah lagi daya kepimpinan bakat-bakat muda di barisan depan, Encik Lee telah melantik Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Encik Teo Ser Luck, sebagai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, menggantikan Encik Zainul Abidin Rasheed.

Encik Sam Tan pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Penerangan, Perhubungan dan Kesenian).

Encik S. Iswaran telah diberi portfolio tambahan selaku Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Perdagangan dan Perusahaan).

Meneliti setiap pelantikan ini, kita akan mendapati bahawa Encik Teo, pada usia 54 tahun, merupakan pemimpin paling mapan berbanding tujuh pemimpin lain yang jauh lebih muda; Encik Teo Ser Luck, 40 tahun; Encik Iswaran, (46); Encik Lui dan Encik Lee Yi Shyan, (47); Cik Lim, Encik Gan dan Encik Sam Tan, (50).

Kesemua mereka ini dilihat mampu dan cukup bersedia untuk mengibar dan menjulang kemampuan parti pemerintah untuk dua pilihan raya umum akan datang.

Walaupun masih dalam usia ‘muda’ iaitu 57 tahun, PM Lee ingin mendepankan pemimpin berbakat yang berada dalam usia 30-an hingga awal 40-an tahun, dengan salah seorang daripadanya kemudian muncul sebagai pengganti beliau.

Sesungguhnya, harapan ada kala tidak pula kesampaian. Namun persediaan kepimpinan Singapura amat penting dalam suasana dunia yang serba tidak menentu – kemelesetan ekonomi, ancaman pengganasan, perubahan iklim, trend globalisasi mendatang yang sukar dipastikan – kesemuanya memerlukan tokoh berbakat, berpengalaman dan berilmu luas.

Ujar PM Lee: “Apabila anda membentuk sebuah Kabinet, anda perlukan sebuah pasukan yang mantap (dan latar belakang yang) luas.

“Anda mungkin memerlukan beberapa orang lagi berbanding sebelumnya kerana bukan sahaja tugas hari ini lebih rumit malah anda juga tidak boleh bergantung pada satu atau dua orang sahaja yang tahu segala-galanya. Itu tidak mungkin.”

Tidak dinafikan usaha mencari pengganti bukan satu perkara mudah.

Encik Goh, 68 tahun, mengambil alih teraju kepimpinan negara pada 1990, 14 tahun selepas menyertai politik pada 1976.

Encik Lee pula menggantikannya pada 2004, 20 tahun selepas menyertai politik pada 1984. Jelaslah proses patah tumbuh perlu dipercepat jika Singapura ingin memastikan lejangan kemajuannya.

Berbeza daripada negara lain, rombakan Kabinet Singapura berlaku secara mulus dan seperti sudah dijangkakan, tanpa retorik dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana sudah ada persiapan untuk mengenal pasti bakat sejak awal-awal lagi walaupun tampungan bakat Singapura amat terbatas.

Hakikat bahawa Singapura mampu menjadi negara Dunia Pertama dari segi taraf hidup dalam tempoh kurang 40 tahun menunjukkan bakat kepimpinannya memang tinggi. Tugas kepimpinan Singapura selanjutnya ialah membina peradaban tinggi rakyatnya.

Selagi pemerintah menyedari akan amanah yang dipikul, keyakinan rakyat akan menyerlah. Masa depan rakyat menuntut pendekatan yang penuh teliti dan bertanggungjawab.

Berita Harian | Komentar
Sabtu, 4 April 2009
8 Rabiulakhir 1430H








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.