Mesti bijak kemudi kapal

30 01 2009

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

DI SELA-SELA kesibukan tugas, saya sempat bersembang di alam maya, dengan seseorang dari kaum Hawa – kawan lama.

Beliau juga seperti wanita muda lain, belum berumahtangga, dan gigih meniti tangga jaya.

Saya bertanya padanya, pada usia yang mula menjangkau 30 tahun, mengapa masih belum berumahtangga?

Jawabnya, masih belum temui pasangan yang sesuai – baik di mata mahupun di hati.

U memilih sangat… nanti jadi anak dara tua,” seloroh saya.

Jawapannya pada seloroh saya itu ringkas, tapi amat bermakna.

Katanya:

I tak kisah, dia Jawa ke Boyan ke atau ada darah Benggali ke, yang penting I inginkan seorang lelaki yang mampu memberikan kestabilan kepada keluarga di masa-masa yang tidak stabil, dan kestabilan itu bukan sekadar sediakan duit je untuk I dan keluarga.

“Lebih penting lagi, kalau nak jadi suami dia harus mampu memberi kestabilan dari segi emosi dan psikologi.

“Masa ni, I belum ketemu lagi calon macam tu.

“Ada beberapa Mamat Melayu yang I date dalam setahun dua ni, baik graduate (lulusan universiti) dan bukan graduate, tapi dorang lebih sibukkan soal cinta, baru jumpa… dah sibuk nak pegang tangan, jeles (cemburu) tak bertempat.

“Pantang fon I bunyi, sibuk nak tau siapa call (hubungi), siapa sms (kirim khidmat pesanan ringkas).”

Alamak ai!

Berat betul jawapan cik kak ni pada sendaan saya tadi. Dalam baik, saya terkesan juga dengan kata-katanya.

Saya tak nafikan, Mamat Melayu bila bercinta memang tangkap lentok, romantik habis!

Jangan cakap kahwin, belum apa-apa lagi si Mamat dah sibuk suruh si Minah panggil dia ‘papa’, dan dia panggil si Minah, ‘mama’.

Geli!

Sesetengahnya lebih sibuk bercinta tapi tak peduli gaji yang kekal kecil sejak bertahun-tahun.

Tak senang nak pertingkat diri, tidak bersedia bekerja lembur apabila keadaan memerlukan, lebih senang membiarkan anak-anak bersendirian tanpa belaian kasih bapa, hingga apabila mereka dewasa hidup jadi tidak keruan.

Lebih buruk lagi ada sesetengah Mamat Melayu meninggalkan tanggungjawab memberi nafkah saat bercerai.

Memalukan.

Dalam hati ni berkata, mungkin ada benarnya aduan atau sungutan kaum Hawa baru-baru ini bahawa sesetengah lelaki Melayulah yang menjadi punca permasalahan sosial dalam masyarakat kita.

Saya tanya lagi pada rakan saya tu, apakah jawapannya tadi sebagai menidakkan kemampuan lelaki Melayu dalam mengemudi atau melayari bahtera keluarga ?

Jawabnya:

I impikan seorang lelaki yang kuat semangat, tetapi pada masa yang sama, tahu daya kekuatannya terhad, tetapi masih tetap mencuba, memberi kebahagian, keamanan dan memastikan keselamatan keluarganya terjamin.

“ Mungkin I silap, tapi nampaknya, Melayu sekarang kurang daya tahan, lembik.”

Adoi!

Tatkala itu juga beliau ajukan lagi soalan kepada saya:

“Apakah yang harus dilakukan nakhoda bila kapalnya berhadapan dengan ribut?

“Dia terjun ke laut untuk selamatkan diri dia sendiri aje dan biarkan kapal dan anak-anak kapal terkapar-kapar melawan badai dan akhirnya tenggelam?

“Atau, dia memimpin anak-anak buahnya dan berusaha mengharungi cabaran getir itu semampunya?”

Aduh!

Terkena lagi kaum Adam kita, kata hati saya.

Rakan saya kemudian menyambung hujahnya:

I fikir lelaki secara keseluruhannya punya kemampuan jadi nakhoda yang baik.

“Tetapi sebagai nakhoda, u harus tahu kekuatan diri u, kapal u dan kemampuan anak-anak buah u, tapi jadi nakhoda yang terbaik pun tak guna kalau sendiri tak sedar kapal tu sebenarnya bocor!

“Tak guna jadi nakhoda kalau dari awal impi nak bersenang-senang atas kapal tapi tak mau usaha pastikan keselamatan kapal terjamin.

“Buat apa jadi nakhoda tak bertanggungjawab, u beri impian kosong kepada anak-anak kapal ada pelangi di hujung pelayaran, tapi walhal tak lama lepas angkat sauh, kapal pun tenggelam.”

Hmm… saya mula menggaru kepala yang tidak gatal dan fikiran mula memikirkan kata-katanya itu.

Tidak dapat tidak, saya akui hujah rakan saya itu kental dan bernas.
Entah kenapa, mungkin kerana kesibukan tugas sembang kami terhenti di situ sahaja.

Namun, ia tidak menghentikan perbincangan itu dari terus bermain di fikiran.

Dari sembangnya itu, saya merungkai satu mesej penting:

Sebagai Adam kita mesti mampu mengemudi kapal dan bersedia meredah gelora dunia, jangan sampai bahtera keluarga karam, dan bila kita sendiri tewas pada keadaan itu, janganlah jadi pengecut dan larikan diri.

Namun tatkala sibuk menulis pojok ini, saya perasan yang kita dah pun masuki Tahun Baru.

Jadi bagi kaum Adam, apa azam kita kali ini?

Saya syorkan, kita belajar semula erti: malu dan harga diri.

Berita Harian | Ekstra
30 Januari 2009
3 Safar 1430H
Jumaat





Bukti Muslim tabah hadapi cabaran penyejagatan

22 09 2008

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

RUPA-RUPANYA Muslim tabah mendakap penyejagatan atau globalisasi.

Demikian hasil tinjauan ke atas 5,216 Muslim di serata dunia oleh WorldPublicOpinion.org, antara 12 Januari dengan 23 Februari lalu dan disiarkan pada 27 Ogos lalu.

Respondennya meliputi warga Mesir, Turkey, Azerbaijan, Iran, Indonesia, Palestin dan Nigeria.

Sekitar lapan daripada setiap 10 Muslim di Mesir dan Nigeria menyatakan penyejagatan atau globalisasi sebagai ‘baik’ untuk mereka.

Lebih daripada enam bagi setiap 10 Muslim dari negara-negara seperti Palestin, Indonesia, Iran dan Azerbaijan, turut menyatakan pendirian yang sama.

Hanya 25 peratus daripada seluruh responden yang ditinjau menyatakan globalisasi itu buruk.

Tinjauan ini menunjukkan bahawa Muslim dapat menyesuaikan diri antara tuntutan masa dan ruang dengan ‘pengabdian’ kepada agama. Ertinya, Muslim dapat secocok dengan dunia yang sering dianggap ‘sementara’.

Hasil tinjauan itu penting selepas tujuh tahun peristiwa 9/11 yang telah meranapkan imej Islam di mata majoriti bukan Muslim di dunia.

Tinjauan Gallup Poll dalam buku Who Speaks for Islam (Siapa Bersuara Untuk Islam) pula menunjukkan 1.3 bilion Muslim sedunia ingin memahirkan diri dengan teknologi.

Jadi, apakah iktibar yang boleh kita raih daripada kesemua hasil tinjauan ini?

Pertama, ia membuktikan bahawa masyarakat Muslim hari ini memahami dunia sebenar yang sudah jauh berubah dan peluang menikmati kehidupan lebih baik semakin terbuka.

Kedua, globalisasi sebenarnya pintu ‘rahmat’ dan kerananya, Muslim dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Ketiga, globalisasi membolehkan Muslim mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam dengan memanfaatkan sepenuhnya gedung ilmu Barat.

Asas hujah ini boleh dilihat pada dua tunggak penting Islam – sosioekonomi dan politik.

Ramai masih belum menyedari betapa globalisasi sebenarnya menyediakan peluang yang cukup luas bagi masyarakat Islam jagat mengembangkan ekonominya.

Kita ambil contoh mudah – kewangan Islam dan pasaran makanan halal.

Dalam aspek kewangan Islam, dunia semakin menyedari potensinya yang cukup luas.

Majalah The Economist baru-baru ini melaporkan bahawa Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam menaksirkan jumlah aset berlandaskan Islam yang diuruskan di peringkat global adalah sekitar AS$700 bilion ($1 trilion).

Agensi penilai ekonomi, Standard & Poor’s, berasakan sektor kewangan Islam boleh menguruskan aset sehingga AS$4 trilion.

Agensi lain pula berpendapat kewangan Islam hanya membentuk kurang 1 peratus daripada keseluruhan industri kewangan dunia.

Oleh itu, ini satu peluang amat baik bagi mengembangkan potensi kewangan Islam.

Atas kesedaran itu, Britain – yang dianggap sebagai pusat kewangan Islam ulung di Eropah – berura-ura mengeluarkan sukuk atau bon Islam jangka pendek. Perancis pun tidak mahu ketinggalan.

Pasaran halal kini bernilai AS$150 bilion setahun.

Sayangnya, umat Islam masih jauh ketinggalan dalam serba-serbi. Lima negara majoriti Muslim contohnya Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nigeria dan Mesir, membentuk lebih setengah bilion (528 juta) warga termiskin dunia dengan pendapatan tidak lebih daripada AS$2 atau $2.80 sehari.

Lebih menyedihkan lagi, kadar celik huruf di Dunia Muslim hanya 53 peratus berbanding 81 peratus di China.

Dari segi penguasaan teknologi maklumat pula, hanya 1 peratus Muslim sedunia yang memiliki komputer peribadi.

Kemiskinan membawa kekufuran. Oleh itu, kesedaran dan pemahaman lebih baik masyarakat Islam untuk menimba dan melabur dalam ilmu merupakan cara terbaik menghadapi globalisasi.

Jelaslah, kita perlu memberi respons yang lebih bersepadu dan pantas demi membangunkan sumbangan umat Islam kepada kemanusiaan.
 
 
 
 

 

Berita Harian | Komentar
22 September 2008
22 Ramadan 1429H
Isnin





Selekehnya bang!

9 08 2008

Suara Adam

Sesetengah generasi muda kaum Adam dan Hawa pakai jeans, kemeja-T ke majlis kahwin

Bersama Chairul Fahmy Hussaini

TERUS terang saya nyatakan, kebelakangan ini kaum Adam kita macam dah malas nak jaga penampilan diri.

Kebanyakannya lebih senang dengan gaya ‘selekeh’ daripada kelihatan kemas dan segak.

Saya katakan begini kerana sesetengahnya lebih senang mengenakan jeans dan kemeja-T dalam apa jua majlis.

Apabila hadiri majlis perkahwinan, mereka pakai jeans dan kemeja-T.

Apabila pergi sembahyang Jumaat, mereka pakai jeans dan kemeja-T.

Apabila mereka ziarah pesakit atau hadiri kematian, sama aje lagaknya.

Memang tidak boleh dinafikan, cuaca republik ini panas sentiasa.

Namun, apakah ini bermakna kaum Adam kita akan terus-terusan berpenampilan selekeh?

Jangan gitu bang…

Iyalah, bukannya apa… saya percaya ramai di kalangan anggota masyarakat kita sebenarnya sudah jelik melihat trend ini.

Lebih teruk lagi, sudahlah berpakaian kemeja-T berserta jeans, ada pula tu, membiarkan saja orang ramai melihat tatu mereka yang dicacah di seluruh badan.

Buruk!

Tetapi sebenarnya, kaum Hawa juga tidak terkecuali.

Mereka pun sama hebat, sama tak sedap.

Ada sesetengah tu tak peduli majlis, tetap berkemeja-T dan berseluar jeans.

Cuma dalam zaman yang serba maju ini dan dengan kaum Hawa lebih tinggi pendidikannya, sesetengah mereka macam dah tak tau bagaimana nak pakai seluar dengan betul.

Saya kata begitu kerana ada tu mengenakan jeans yang hanya mencecah paras pinggang, dan bukan betul-betul di atasnya.

Jadi apabila mereka duduk, nampaklah alur buntut.

Hampa memikirkan mereka dah tak peduli langsung adab sopan…

Cik Kak oi! Tolonglah… buruk sangat nampakkan alur buntut tu.

Lagipun… malu sikit dengan kanak-kanak yang nampak…

Tetapi tiada siapa boleh lawan cara berpakaian satu lagi golongan Hawa yang gemar berpakaian kemeja-T putih melekat tubuh dan mengenakan coli yang warnanya… aduh mak! boleh buat Mak Minah di dapur jadi sawan – merah bukan kepalang!

Hmm… Cik Siti oi! Kepada siapa yang awak nak tonjolkan ‘perada’ awak tu?

Ginilah… Melayu ni terkenal sangat dengan kesantunannya.

Gadis Melayu pula, amat dikenali dengan kelembutannya.

Bak kata penyanyi Othman Hamzah dalam lagunya Gadis Melayu:

‘Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati, tiada memikat…’

Kan?

Jadinya… dalam soal berpakaian tu, elok-eloklah sikit…

Dalam hal ini, saya fikir masyarakat secara amnya dan penggerak dunia fesyen perlu memain peranan mencari huraian bagaimana nak kembalikan ‘kekacakan’ kaum Adam dan keanggunan kaum Hawa kita.

Mungkin elok kiranya balai rakyat mendapatkan pakar rias dan dandanan mengadakan semacam kelas untuk kaum Adam dan Hawa.

Kelas ini memberi panduan mudah tentang cara pemakaian yang sesuai dengan majlis-majlis yang dihadiri.

Badan-badan yang punya jalinan dengan generasi muda malah boleh adakan pertandingan rekaan fesyen atau dandanan sebagai menggalak generasi muda Adam dan Hawa kita punya penampilan kemas dan menarik.

Atau mungkin, kedai-kedai potong rambut yang diusahakan kaum Adam kita boleh memikirkan cara kreatif menggalak generasi lebih muda berpakaian senonoh.

Jadi taklah mereka berpakaian kemeja-T atau lebih buruk lagi, mengenakan jersi sukan semasa menghadiri majlis orang kahwin atau acara keramaian yang lain!

Akhir sekali, ibu bapa dan generasi lebih tua perlu juga main peranan, tegur-tegurlah anak-anak dan cucu-cucu kita tu…

Berita Harian | Ekstra
Mukasurat 36
Sabtu, 9 Ogos 2008
7 Syaaban 1429 H
bersamaan Hari Kebangsaan Singapura ke-43








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.