Jika bukan sekarang, bila lagi isu kuda kepang mahu diselesaikan?

11 04 2010

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

SUDAH tiba masanya kita tangani isu kuda kepang secara serius.

Ini kerana sejak sekian lama, masyarakat kita seakan-akan sukar untuk menyelesaikannya.

Tegahan dan larangan yang disuarakan sebahagian besar masyarakat kita selama ini, bahawa permainan kuda kepang tidak menuruti lunas dan ajaran Islam, dipandang sepi.

Alasan penyokong, peminat dan pendukung kuda kepang – ia hanyalah untuk hiburan semata-mata.

Jelas sekali, golongan ini perlu mengerti bahawa kuda kepang adalah budaya Jawa yang berunsur Hindu dan mencakupi aspek khurafat.

Hakikatnya, masyarakat kita perlu berpijak di bumi nyata, kerana kuda kepang ni bak kata seorang teman, adalah cermin masyarakat kita yang suka berkhayal dan suka jadi ‘kebal’ dan suka pada ‘magik-magik’.

Ya, kita seharusnya memajukan seni dan memartabatkan budaya bangsa, tetapi kededuanya tidak harus ada unsur khurafat terutama sekali dalam zaman moden sekarang.

Suka atau tidak, kita perlu menerima hakikat persembahan kuda kepang yang melibatkan aspek ‘menurun’ dan ‘makan kaca’ harus dibuang.

Ia bukan budaya Melayu dan bukan ajaran Islam.

Amalan ‘menurun’ ini malah mampu menjejas ketenteraman awam.

Tidak dapat dinafikan, saat si penunggang kuda mulai diresap ‘semangat’ hasil jampi dan mantera pemimpinnya, mereka mampu bertindak liar.

Malah, sehingga disebat belati pun, kelihatannya tidak apa-apa. Buktinya?

Lihat pelbagai rakaman yang disiarkan lewat YouTube di Internet.

Keadaan ini membawa kita kepada satu aspek penting:

Bagaimanakah kita dapat memastikan keselamatan anak-anak kita, wanita dan orang tua terjamin andai si pemain kuda kepang mulai meliar dan tidak mampu dijinakkan semula?

Tentu ia suatu yang harus difikirkan.

Jadi, arahan Majlis Bandaran agar acara sebegini diadakan dalam kawasan tertutup adalah wajar dan boleh kita fahami.

Keselamatan dan ketenteraman awam menjadi pertimbangan utama. Kita tidak mampu melihat sesuatu kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam hal ini, kita perlu mengelak dari bersikap dah terhantuk baru nak terngadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, kata pepatah.

Oleh itu, penggiat dan peminat seni kuda kepang perlu melakar strategi baru, dalam terus memartabatkan seni kuda kepang.

Pihak penganjur atau tuan rumah yang mengundang kumpulan-kumpulan kuda kepang membuat persembahan juga perlu lebih peka.

Adakan perbincangan dengan teliti dengan ketua kumpulan dan penyelaras majlis, dapatkan juga nasihat dari pihak berkuasa, pihak polis dan Majlis Bandaran misalnya.

Diharapkan sangat di pihak tuan rumah, dalam memenuhi hasrat untuk memeriahkan majlis, jagalah juga kesantunan Melayu kita.

Janganlah dalam keghairahan kita menjulang adat, adab kita dalam kehidupan bermasyarakat dikesampingkan.

Komentar | Berita Minggu
Ahad, 11 April 2010
26 Rabiulakhir 1431H





Semua perlu bantu hurai

29 12 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

PELBAGAI persoalan diutarakan sejak isu kebobrokan sebahagian anggota masyarakat Melayu dipapar akhbar ini hampir tiga minggu lalu.

Selain hujah dan saranan yang timbul bagi menangani permasalahan itu, aspek pilihan istilah – ‘bobrok’ – di akhbar ini telah dibidas.

Dalam suratnya di ruangan Forum akhbar ini pada 23 Disember lalu, Haji Aman Samat, seorang guru pesara, menulis:

“Benarkah masyarakat Melayu/Islam kita di sini telah bobrok? Merujuk Kamus Dewan edisi keempat, perkataan ‘bobrok’ (asal perkataan Jawa) bermaksud ‘rosak, binasa dan hancur’.”

Memang betul makna istilah itu.

Tetapi secara terus-terang, begitulah keadaan sejumlah keluarga Melayu di Singapura. Ingat, bukan semua. Mungkin 10 peratus.

Kita tidak mampu bersifat menafikan (denial mode) bahawa bobrok tadi bukan saja dinilai pada taraf ekonomi dan ilmu tetapi, lebih utama, akhlak.

Ramai beranggapan bahawa kalangan masyarakat Melayu di sini “hanyalah mereka yang hidup serba kekurangan dalam pelajaran, keperluan hidup seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal sebagaimana yang dimaksudkan oleh Wak Cantuk ‘hidup merempat’ (BM, 13 Disember)”.

Ia tidak tepat dan menyerong jauh daripada hakikat.

Pada 12 Disember lalu, akhbar ini mendedahkan lima kes pembunuhan yang berlaku antara 2006 dengan tahun ini melibatkan kanak-kanak Melayu berusia 23 bulan hingga 6 tahun – nyawa mereka diragut oleh orang-orang tempat mereka bermanja.

Imbas semula apa yang dikatakan Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar, Cik Indranee Rajah, kepada akhbar ini yang disiarkan Isnin lalu (20 Disember 2009).

Ramai pasangan muda atau ibu tunggal yang menghuni flat sewa di Henderson Heights dalam kawasan undinya di Tanglin-Cairnhill tidak berkemahiran, rendah pelajaran dan pernah terjebak dalam jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Jika ini semua tidak diiktiraf sebagai satu ‘kebobrokan’, saya tidak tahu apa lagi istilah yang boleh digunakan bagi menggambarkan keadaan ini.

Ini tidak termasuk kes-kes haruan makan anak (peratusan sumbang mahram paling tinggi bagi masyarakat kita), seks di bawah umur dan penderaan seksual yang acap dilakukan segelintir anggota masyarakat kita dan sesetengahnya telah dilaporkan akhbar ini sejak sekian lama.

Bagi yang berpandangan sinis, silalah ke Mahkamah Rendah dan Mahkamah Juvenil, atau setidak-tidaknya ke Rumah Kebajikan Muhammadiyah.

Banyak orang kita digiring ke mahkamah saban hari bagi pelbagai kesalahan – daripada kes mencuri sehinggalah merusuh, penyalahgunaan dadah, menipu, jadi ‘kaki’ tailong dan sebagainya.

Lebih memalukan, kebanyakan mereka yang dihadapkan ke muka pengadilan ialah anak muda kita – bertatu di tubuh sehingga ke muka ketika berdepan dengan hakim.

Ikutilah kisah ‘Cik Y’ di akhbar ini pada 12 Disember lalu.

Berusia 30 tahun, lima anaknya di luar nikah hasil hubungan dengan tiga lelaki. Teman lelaki ketiganya kini dipenjara kerana kesalahan merompak dan kesalahan imigresen.

Adik-beradik Cik Y pula ada masih meringkuk di penjara kerana kesalahan menagih atau mengedar dadah (seperti ramai lagi anggota masyarakat kita yang lain), ibu bapa mereka telah bercerai dan ibunya telah berkahwin sivil.

Tidak cukup dengan ini, kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran lain – kelemahan pelajar Melayu dalam pelajaran, terutamanya dalam Matematik; kadar keciciran tinggi pelajar Melayu di peringkat pascamenengah; jumlah agak besar pekerja Melayu berkemahiran rendah; dan pelbagai lagi.

Kesemua ini jika tidak ditangani dengan segera dan sesempurnanya, akan menularkan kebobrokan yang sedia ada.

Mungkin ramai masih belum mengerti kesan besar akibat kepincangan yang dihadapi masyarakat kita hari ini.

Oleh itu, kepiluan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, perlu dikongsi. Selepas letih berusaha gigih dan mengajak masyarakat dengan semboyan besar ‘kecemerlangan’, beliau disentakkan dengan permasalahan besar ini.

Daripada sangsi dan tidak yakin, ayuh turunlah ke lapangan – ke flat sewa satu hingga dua bilik sehinggalah ke pantai yang berceracak khemah. Lihatlah yang dikatakan ‘bobrok’ itu.

Oleh itu, diperlukan satu rancangan besar-besaran daripada pucuk pimpinan, badan Melayu sehingga perseorangan seperti guru pesara Haji Aman Samat untuk turun padang.

Bobrok atau apapun, orang Melayu ialah kita sendiri. Tepuk air di dulang, percik ke muka sendiri.

Kita semak program kita yang tidak tepat. Kita perteguh langkah kita yang kurang elok. Kita tambah dana dan relawan. Kita perkuat Pusat Khidmat Keluarga (FSC). Kita tambah relawan dan pekerja sosial. Kita manfaatkan kepakaran dan apa saja.

Pokoknya, kita bersatu – usah gaduh sesama sendiri.

Kepada orang Melayu yang sudah berjaya pula, usah berlagak Si Tanggang.

Ayuhlah, hulur tangan – bantu anak-anak yang terabai dengan menjadi pembimbing mereka.

Ingatlah, kegagalan kita akan dipersoalkan kelak di belakang hari.

Bak kata Haji Aman: “…bereskan segera.”

Ya, kita yakin kita boleh.

Komentar | Berita Harian
Isnin, 28 Disember 2009
11 Muharram 1431H





Usah anggap usaha tangani masalah sebagai satu beban

13 12 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEBAIK tersiarnya luahan terus terang Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, tentang tahap kebobrokan segolongan anggota masyarakat Melayu yang kian membimbangkan, ramai memberikan reaksi mereka.

Ada melahirkan simpati, ada pula sedia menghulurkan bantuan, sementara sebahagian lagi menyifatkannya sebagai “isu lama yang tiada kesudahan”, dan ada pula berkata “pemimpin Melayu seharusnya lebih agresif dalam mencari huraian pada masalah ini”.

Malah, telinga nipis saya turut menangkap perbualan tiga pak cik – kesemuanya dalam lingkungan umur 60-an tahun – semasa bersarapan pagi di kedai kopi dekat rumah pada Selasa lalu.

Kata seorang daripada mereka:

“Apa guna dorang ni (pemimpin Melayu) jadi pemimpin masyarakat kalau masalah keluarga pincang ni dorang tak boleh selesaikan?”

Jawab kawannya secara seloroh:

“Aku rasa dorang patut outsourcelah, sebab sekarangkan semuanya main outsource. Kalau dah bertahun pun tak selesai, kasi jer orang lain selesaikan masalah ni,” sindirnya tajam dengan disambut deraian ketawa.

Istilah outsource bererti sesebuah pertubuhan atau syarikat mendapatkan pihak luar untuk menjalankan segala kerja, pengurusan atau perkhidmatan, yang sepatutnya mereka sendiri laksanakan.

Natijah daripada kesemua respons ini?

Ada segelintir di antara kita masih memperlekehkan isu ini sementara sesetengah lagi melihat usaha menangani isu ‘keluarga pincang’ daripada sudut negatif – sebagai satu bebanan. Ini silap besar.

Sebaiknya, usaha menanganinya harus dilihat secara positif, betapa kudis yang lama bernanah dan mulai jadi pekung, jika dirawat sebaiknya mampu sembuh dan mencergaskan kembali daya tenaga masyarakat kita.

Tiga saranan boleh difikirkan.

Pertama, pastikan lebih separuh daripada lebih 7,000 kes keluarga Melayu menerima bantuan sekarang diperkasakan seberapa segera.

Antara masalah orang Melayu ialah kekurangan ‘fulus’ atau duit.

Disebabkan ramai anak, sang isteri tidak dapat keluar bekerja, dengan suami bergaji rendah, kurang $1,600 sebulan, keadaan hidup mereka tidak dapat dipertingkatkan.

Apa yang boleh dilakukan ialah, sebahagian wang daripada Dana Amanah Pendidikan (ETF) diperuntukkan untuk menanggung sebahagian besar kos yuran tajaka bagi anak-anak daripada keluarga pincang.

Ibu bapa daripada golongan ini diwajibkan menghantar anak ke tajaka tetapi hanya diperlukan membayar yuran nominal, mungkin $50 sebulan untuk setiap anak, bagi membolehkan mereka keluar bekerja.

Tetapi golongan ini perlu dibimbing rapi dalam mengurus kewangan mereka.

Badan yang membantu perlu punya pegawai bertindak seakan Pegawai Pemegang Harta dalam sesebuah kes muflis, membantu mengatur kewangan pasangan suami isteri ini dan pastikan dalam tempoh antara tiga dengan lima tahun, mereka mampu bangkit dan berdikari sebelum kemudahan tajaka ditarik balik.

Jika ini berjaya dilaksanakan, ia umpama pepatah sambil menyelam minum air kerana bukan sahaja kedudukan kewangan keluarga itu jadi mantap, malah kanak-kanak daripada keluarga pincang juga mendapat pendedahan pendidikan dari seawal usia dua, tiga tahun.

Ini amat genting kerana pada usia semuda itu, kanak-kanak akan punya kefahaman asas lebih kukuh, terutama sekali dalam penguasaan bahasa dan kemahiran kira-kira.

Langkah ini mungkin jawapan dalam mengatasi satu lagi permasalahan yang ditimbulkan Dr Yaacob, iaitu kelemahan murid-murid Melayu dalam Matematik yang sejak tiga tahun lalu hanya 56 peratus murid Melayu lulus Matematik di peringkat PSLE, berbanding purata nasional sebanyak 90 peratus.

Matlamat kita haruslah tidak menjadikan kemasukan ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pilihan utama dan terakhir tetapi ke maktab rendah, atau politeknik dan akhirnya ke universiti.

Ketiga, mengawasi tahap kesihatan kanak-kanak daripada keluarga pincang terjaga.

Mungkin ada baiknya sebahagian wang Tabung Amal Aidilfitri (TAA) diperuntukkan sebagai subsidi bagi pelbagai suntikan wajib untuk kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun.

Mendekati isu ini dengan cara yang positif akan meningkatkan lagi dinamisme masyarakat kita – apatah lagi kita sendiri sering mengeluh sikap masyarakat kita ‘sentiasa lambat dan lembap’.

Sesetengah keluarga Melayu kita tidak harus kekal sedemikian.

Berita Harian | Komentar
12 Disember 2009
25 Zulhijjah 1430H
Sabtu








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.