Usah jadi lelaki yang lupa tanggungjawab

31 07 2009

SUARA ADAM

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

ANDAI hasil tinjauan AskMen.com menggambarkan keadaan yang sebenarnya, maka kita perlu menerimanya dengan rasa syukur.

Ini kerana kaum Adam kelihatannya berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab.

Mereka bukan saja dikatakan memberi tumpuan kepada kestabilan dalam pekerjaan dan rumah tangga, tetapi juga lebih berhemah sewaktu berbelanja.

Membaca apa yang dinyatakan itu, ‘sejuk’ rasa hati ini.

Bukannya apa, naik pekak telinga ni mendengar sungutan apa lagi kecaman pedas kaum Hawa tentang sikap sesetengah Adam, yang dikatakan suka sangat mengabaikan tanggungjawab dalam menyara keluarga dan ibu bapa mereka.

Bukan itu saja, hati ini mudah terguris apabila sang Hawa tak habis- habis melabel kaum kita – kasanovalah, tak punya cita-citalah, suka berangan, syok sendiri, bergaya tapi papa, mat pokailah – macam-macam!

Jadi, apabila sesekali membaca sesuatu yang positif tentang Adam, diri ini melonjak gembira.

Tetapi, rasa gembira itu cepat berubah. Entah kenapa, hati ini rasa serba tak sedap.Benarkah kaum Adam kita sudah benar-benar berubah?

Apabila membaca dan meneliti semula laporan hasil tinjauan AskMen.com itu, satu soalan bermain di kepala:

Diantara sekian ramai mereka yang turut serta dalam hasil tinjauan itu, berapa ramai di kalangan mereka itu lelaki Melayu kita?

Suka atau tidak, hati ini berkata, mungkin ada tetapi cuma seorang dua…

Kalau begitu, apakah hasil tinjauan ini mencerminkan perubahan pada sikap kaum Adam kita?

Sedang soalan ini berlegar di minda, saya terbaca laporan ‘Pastikan pembayaran nafkah kepada bekas isteri terjamin’ yang disiarkan akhbar ini Selasa lalu (28 Julai).

Antara lain, laporan itu menyatakan, seramai 50,000 kanak-kanak terjejas akibat kes-kes perceraian sejak 10 tahun lalu.

Saya percaya, dan berani bertaruh (oops… tabik ustaz!) ramai diantara kanak-kanak yang menjadi mangsa perceraian ini adalah hasil perkahwinan orang Melayu kita.

Disebabkan hal itu, Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) mencadangkan supaya sebuah agensi pemerintah diberi kuasa mentadbir pungutan dan pengagihan wang nafkah.

Ini supaya pembayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak- anak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Bagi memastikan pembayar nafkah menjalankan tanggungjawab moralnya dengan lebih baik pula, badan itu mengajukan satu idea yang bagi saya amat bernas – tunggakan kepada bekas isteri diubah menjadi hutang kepada negara.

Ini bagi saya tepat, kerana kelihatannya sang Adam – di kalangan orang kita terutamanya – ramai juga apabila sudah bercerai, tak ambil endah langsung tentang soal nafkah anak.

Jadi, dah tiba masa kita jangan bagi ‘can’ dengan orang-orang macam ni.

Memalukan kaum Adam je.

Iyalah… cuba bayangkan, tak lama lepas bercerai, agak ramai Adam kita yang kembali bujang, berkahwin baru.

Kalau tak di sini, di Batam, kalau tak di sana, di selatan Thailand.

Beb, ingat kahwin ni macam main masak-masak zaman kita budak- budak dulu ke?

Janganlah gitu, kita perlu juga fikirkan masa depan anak-anak kita kerana mereka membentuk generasi akan datang.

Andai kebajikan mereka tidak diendahkan, dan akhirnya hidup menjadi tak keruan hingga melukut di tepi gantang, siapa rugi?

Kita juga…

Berita Harian | Ekstra!
Jumaat, 31 Julai 2009
9 Syaaban 1430H





Jihad ke atas fahaman sesat

22 07 2009

PANDANGAN

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEDANG kami duduk berbincang tentang isu-isu semasa untuk diberikan sorotan lebih mendalam di akhbar ini lewat bulan lalu, satu isu yang ditimbulkan menarik perhatian yang hadir:

Bagaimanakah kita menilai berita penangkapan pemimpin Jemaah Islamiyah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari, yang kini ditahan dua tahun oleh kerajaan Malaysia di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?

Kelima-lima kami yang duduk berbincang mengakui isu pengganasan di rantau ini tidak akan reda dengan tertangkapnya Mas Selamat.

“JI tidak akan duduk diam, orang dia mesti bangun balik. Ini soal ideologi beb, mereka dah taksub jadi mati-matian mereka nak capai matlamat tu,” kata salah seorang daripada kami.

Menyedari hakikat itu, kami berlima sepakat untuk menghasilkan satu laporan khas tentang JI, tentang wajah baru rangkaian pengganasan itu yang tidak diketahui ramai anggota masyarakat kita.

Hasil kaji selidik dan wawancara kami dengan pakar pengganasan dari Pusat Antarabangsa bagi Keganasan Politik dan Penyelidikan Pengganasan (ICPVTR) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mengemukakan dua perkara yang membimbangkan.

Pertama, JI atau sayap serpihannya hari ini lebih bijak menyamar – bak sumpah-sumpah (sumpah-sumpit). Mereka mampu melindungi diri daripada dijejak pihak berkuasa.

Misalnya, di Kampung Tawakal di Skudai, seorang yang tinggal di sebelah rumah yang didiami Mas Selamat berkata gaya biasa yang ditonjolkan pemimpin rangkaian itu mengelabui mata penduduk kampung.

Kedua, menarik simpati.

Ini dapat dibuktikan sewaktu kunjungan Berita Harian ke Skudai dan Ulu Tiram, Johor, pada Mei lalu bagi membuat liputan perihal penangkapan Mas Selamat pada 1 April lalu.

Jiran-jiran yang tinggal di sekitar Sekolah Agama Tarbiyatul Islamiyah Lukmanul Hakim di Ulu Tiram enggan diwawancara.

Dimaklumkan seorang penduduk kampung di situ, ini terjadi kerana ada tetangganya itu yang bersimpati dengan perjuangan JI.

Ini meskipun sekolah dan kampung di situ telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa Malaysia dan penyelewengan terhadap ajaran Islam oleh rangkaian pengganas di situ dibongkar dan dicanang.

Jadi, masalahnya adalah sikap ‘simpati tak bertempat’ segelintir masyarakat, menyebabkan JI yang kuncup kini mampu mekar semula.

Jadi, apa huraian kita?

Dalam dua pertemuan kami dengan pakar pengganasan, Profesor Dr Rohan Gunaratna, beliau menekankan apa yang disaksikan sekarang adalah perubahan nyata JI – daripada sebuah pertubuhan yang memberi tumpuan pada keganasan untuk mencapai hasrat, kepada sebuah organisasi yang cuba mempengaruhi umat Islam dengan ajaran agama yang menyeleweng – menerusi gerakan ideologi.

Benar katanya itu; siasatan akhbar ini menunjukkan JI telah menyusun semula struktur kepimpinannya.

Bahkan, mereka giat mendekati golongan sasaran menerusi Internet dan bahan-bahan ilmiah.

Segala-galanya dipaparkan di akhbar ini Sabtu lalu.

Tujuan kami? Memperhebat perang ideologi ke atas JI.

Namun, tidak sekali kami menyangka detik laporan khas itu disiarkan ‘bertepatan’ dengan serangan JI ke atas Hotel JW Marriott dan Hotel The Ritz-Carlton di Mega Kuningan, selatan Jakarta.

Serangan ke atas Hotel JW Marriott itu kali kedua, menggunakan kaedah sama – pengebom nekad.

Ini menunjukkan JI tetap teguh dalam mencapai angan-angan mereka – menggunakan keganasan untuk membangunkan Daulah Islamiyah.

Meskipun pakar bom JI, Dr Azhari Hussin, terbunuh pada November 2005 dan ramai lagi pengikutnya – termasuk beberapa warga Singapura – diberkas pihak berkuasa, ramai lagi masih berleluasa dan mampu menarik anggota baru, menghasilkan bahan letupan dan melancarkan serangan.

Salah seorang daripadanya ialah Noordin Mohd Top. Keberkesanannya ‘membasuh’ minda generasi muda agar menerima perjuangan JI sebagai ‘jalan ke syurga’ perlu diberi perhatian serius.

Peranan akhbar terhad.

Jadi dalam hal ini, setiap kita perlu memikul tanggungjawab memerangi ideologi songsang ini dan tidak semata-mata menyerahkan peranan dan tanggungjawab ini ke pundak asatizah sahaja.

Mungkin telah tiba masa, setiap anggota masyarakat, termasuk golongan ibu bapa dan datuk nenek kita, meluangkan lebih banyak masa mempelajari dan memahami lebih luas apa yang sebenarnya diajarkan Islam – daripada sekadar menghadiri kelas fardu ain, kursus haji, hafalan Al-Quran atau mempelajari tajwid sahaja.

Amat baik sekiranya kita dapatkan penerangan lebih jelas daripada asatizah kita tentang apa itu yang dikatakan sebagai ‘Wahabi’ atau ‘Salafi’, dan mengenali siapa itu Ibnu Taimiyyah dan apa pula bentuk ajarannya.

Lebih penting, memahami maksud Jihad Akhbar dan keperluannya dalam konteks kehidupan hari ini dan mengetahui asas pengertian Jihad Asghar.

Sebabnya, setiap yang dikemukakan ini telah dipesongkan begitu jauh oleh pendukung dan pemimpin kededua JI dan Al-Qaeda.

Kesedaran tentang kesemua ini sangat penting dan runcing.

Inilah jihad kita.

Demi menyelamatkan anak cucu dan generasi mendatang daripada terpesong dan tersasar jauh daripada ajaran Islam yang sebenarnya.

Islam sebuah agama yang dinamik, Kita perlu elak daripada memahami dan mentafsir setiap tuntutan Ilahi dan Rasul secara harfiah sahaja.

Sebagai sebuah masyarakat madani, kita seharusnya mampu membezakan antara ajaran Islam yang suci dengan yang menyeleweng.

Hakikatnya, dalam menuju ke arah kecemerlangan ummah, penekanan kita hari ini seharusnya tertumpu pada usaha memperkukuh kontrak sosial dan mempertingkat peradaban Islam melalui penguasaan ilmu dan pembangunan insan.

Bukannya dengan mengebom dan membunuh orang tidak berdosa, seperti yang berlaku di Jakarta.

Berita Harian | Komentar
Rabu, 22 Julai 2009
29 Rejab, 1430H





Lompatan terbantut ke negara kanggaru

2 07 2009

PANDANGAN

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEJAK akhir-akhir ini, keduadua telefon saya – bimbit dan pejabat – sering berdering.

Kesemuanya bermula apabila berita berkenaan kalangan orang Melayu/Islam setempat yang tersangkak untuk berhijrah ke Australia (BH, 20 Jun).

Mereka yang tampil melahirkan rasa kecewa yang amat sangat terhadap sikap ejen penghijrahan, Hijrah World Migration (HWM), yang diamanahkan membantu mereka dalam menguruskan proses mendapatkan visa penduduk tetap negara itu.

Pemilik syarikat itu, Encik Mohammed Nasser Jamaludin, bekas warga Singapura, juga dikatakan tidak bersikap profesional dalam memberi khidmat kepada pelanggannya.

Encik Mohammed Nasser, kini warga Australia, turut didakwa sebagai memberi harapan kosong – bahawa mereka akan berjaya mendapatkan visa sekali gus berhijrah ke negara kanggaru itu.

Ada juga dakwaan bahawa beliau juga tidak menepati janji untuk memulangkan sebahagian wang pelanggan yang gagal permohonan visanya.

Terdapat beberapa lagi dakwaan lain dikemukakan mereka yang mengaku menjadi mangsa HWM atau Encik Mohammed Nasser.

Kata mereka, dalam usahanya ‘membantu orang Melayu di sini berhijrah ke Australia’, Encik Mohammed Nasser, 44 tahun, telah mengabui mata pihak berkuasa negara itu dengan memalsukan keterangan diri pemohon.

Selain ‘meningkatkan’ taraf pekerjaan mereka, beliau juga dikatakan menggunakan nama dan alamat syarikat yang tidak lagi wujud, sebagai majikan para pemohon.

Buktinya:

Seorang ibu dua anak tampil dan memaklumkan kepada akhbar ini bahawa HWM telah mengubah status dalam permohonannya daripada ‘suri rumah’ kepada ‘pembuat roti’.

Seorang pemuda berusia 32 tahun pula menyatakan Encik Mohammed Nasser mengubah status pekerjaannya daripada seorang ‘tukang paip’ kepada mekanik ‘hawa dingin dan peti sejuk’.

Seorang peniaga makanan berumur 41 tahun mendapati bidangnya diubah menjadi seorang ‘mekanik kereta’.

Disebabkan ‘kenaikan pangkat’ ini, kebanyakan pemohon dikatakan disenaraihitamkan oleh kerajaan Australia kerana memalsukan permohonan mereka.

Ada pula terpaksa menggunakan khidmat peguam untuk membersihkan nama yang tercoreng.

Andai ini benar, kedua-dua HWM atau Encik Mohammed Nasser tampak telah melakukan kesalahan serius – melanggar peraturan imigresen dan kod tatatertib Penguasa Pendaftaran Ejen Penghijrahan Australia (Mara).

Jika HWM ataupun pemilik syarikat itu benar-benar ingin ‘membantu orang Melayu/Islam’, mengapa harus berbohong atau memalsukan keterangan pekerjaan para pemohon?

Mengapa tidak berterus terang kepada pemohon pada peringkat awal lagi bahawa mereka tidak memenuhi syarat atau kriteria kerajaan Australia untuk memohon visa penduduk tetap negara itu?

Seperkara lagi, mengapa perlu HWM menyembunyikan berita kegagalan permohonan para pelanggannya, mengapa tidak dimaklumkan secara telus dan jelas?

Ramai cuba menghubungi HWM atau Encik Mohammed Nasser secara peribadi, malah, ada yang cuba menjejakinya di Melbourne, Australia, tetapi gagal.

Diharapkan Encik Mohammed Nasser dapat kembali ke sini dan jelaskan duduk perkara sebenar, apatah lagi nama dan kewibawaannya kini tergugat.

Benar, sebagai seorang yang bertanggungjawab, beliau telah menjawab setiap soalan yang dikemukakan akhbar ini semasa diwawancara bagi laporan yang disiarkan pada 20 Jun lalu.

Sayangnya, setiap jawapan itu hanya menimbulkan lebih banyak kecurigaan banyak orang terhadapnya.

Ini sama sekali tidak membantu memandangkan pemilik HWM itu disifatkan oleh seorang bekas pelanggannya, Encik Imran Musa, sebagai ‘satu aset kepada masyarakat Melayu/Islam di Melbourne’ dan ‘telah banyak berjasa dan membantu ramai orang yang bermasalah tanpa meminta sesen pun’.

Siswa doktor falsafah di Universiti Swinburne, Encik Ramli Puteh, kenal Encik Mohammed Nasser lebih dua tahun lalu. Dalam e-melnya, Encik Ramli berkata pemilik HWM itu ‘terlibat dalam banyak kegiatan kemasyarakatan dan sering memberi nasihat kepada pendatang baru di Melbourne’.

Jadi, Encik Mohammed Nasser perlu tampil dan berikan penjelasan terperinci.

Apa pun, episod ini harus dijadikan iktibar.

Pertama, sebagai pengguna atau pelanggan, jangan mudah mempercayai segala janji peniaga/usahawan sehingga sanggup mengeluarkan wang tanpa sebarang jaminan bertulis yang sah (daripada bank atau syarikat guaman berdaftar).

Kedua, sebagai seorang Muslim, kita disuruh agama agar perlu membuat penyelidikan sebelum mempercayai sebarang berita.

Ketiga, janganlah mudah percaya dengan lamaran ‘nak tolong sesama Melayu’ kerana ini bukan prinsip urus niaga yang melibatkan wang dan urusan pemerintah. Berurusanlah secara profesional.

Keempat, tiada jalan singkat untuk mencapai hasrat. Kerajaan Australia telah menggariskan syaratnya. Jika kita tidak memenuhi syarat, usah cari jalan tidak jujur.

Kelima, bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Jadi, pelanggan HWM juga perlu menyalahkan diri sendiri kerana terlalu ghairah tanpa memikirkan setiap urusan ada risikonya.

Bagi Encik Mohammed Nasser pula, ingatlah pepatah warisan: Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

Berita Harian | Komentar
Khamis, 2 Julai 2009
9 Rejab 1430H








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.