Memuliakan jasa ahli seni yang berpulang

8 08 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

 

SEJAK setahun dua terakhir ini, agak banyak seniman dan seniwati Melayu berpulang, termasuk yang terbaru, tokoh bangsawan negara, Haji Jaffar Mohd Arif, 80 tahun.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

Terdetik kata hati:

Sejauh mana kita menilai dan menghargai sumbangan mereka yang tidak pernah sekali lelah mengembangkan seni Melayu di sini, jika tidak pun ‘menjulangnya’ pada peringkat serantau dan antarabangsa?

Hakikatnya, mereka telah mengabdikan hampir seluruh jiwa raga dalam memartabatkan seni dan budaya Melayu kita.

Antara ahli seni kita yang berpulang ialah:

  • Penulis skrip dan pelakon, Habsah Abdul Karim, 58 tahun;  
  • Pemuzik veteran, Haji Ahmad Jaafar, 89 tahun;  
  • Pelakon veteran, Abdullah Sani, 72 tahun;  
  • Penulis lirik, Rosli Khamis atau Loloq, 50 tahun;  
  • Penggubah lagu dan penulis tersohor, Salamah Basiron, 64 tahun;  
  • Penggubah lagu dan penyair, Haron Abdulmajid, 58 tahun;  
  • Penyanyi awal 1980-an, Dahlan Osman, 52 tahun;  
  • Pelakon dan pelawak, Sinin Sahat atau S. Effendy, 65 tahun;  
  • Pelukis, Mohammad Din Mohammad, 53 tahun;  
  • Pelakon drama televisyen dan pentas, Zaharah Fauzi, 60-an tahun;  
  • Penyanyi era 1960-an, Salim Ifi atau Salim I, 71 tahun;   dan,
  • Pemain kibod kumpulan rok Sweet Charity, Masrom Abdul Hamid atau Yong, 59 tahun;  
  • Saya kenal kebanyakan mereka, namun sekadar nama sahaja.

    Saya yakin, ramai juga demikian – tidak jelas akan sebesar mana sumbangan mereka.

    Benar kata pepatah, harimau mati tinggalkan belang, manusia mati tinggalkan nama.

    Namun, sejauh mana kita memaparkan penghargaan kepada sumbangan para anak seni itu?

    Di sinilah letaknya peranan Taman Warisan Melayu (TWM) dalam ‘menjelmakan’ semula segala yang ditinggalkan para seniman dan seniwati ini, buat tatapan, penghargaan, rujukan dan pengertian kita dan generasi mendatang.

    Paling tidak, adakan galeri yang mengetengahkan segala khazanah penting, umpamanya skrip dan manuskrip, mesin taip dan pena yang pernah menjadi teman sejati para penulis, penyair dan penggubah lagu yang telah berpulang.

    Ataupun alat muzik, skor, piring hitam, album atau barangan peribadi yang dimiliki para penggubah lagu dan penyanyi kita ini.

    Mungkin juga kita dapat ketengahkan pakaian, bekas mekap atau alatan lakonan, yang pernah digunakan atau foto serta keratan akhbar yang dimiliki para seniman/seniwati kita semasa mereka berlakon atau bernyanyi dahulu.

    Ramai tidak mengetahui sebesar mana sumbangan Allahyarham Haji Jaffar dalam memartabatkan seni bangsawan di sini, atau jasa Allahyarham Haji Ahmad Jaafar dalam pembangunan muzik negara.

    Begitu juga dengan Allahyarhamha Zaharah Fauzi dan Allahyarham S. Wira atau nama sebenarnya Samsriwira Basri, ahli silat dan dramatis Bawean.

    Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang mengetahui yang kedua-dua mereka ini gigih dalam mementaskan drama-drama Bawean?

    Saya percaya, jumlahnya boleh dibilang dengan jari.

    Atas dasar itu, peranan TWM dalam hal ini cukup penting.

    Kewujudan dan peranannya dalam menzahirkan ketamadunan Melayu mestilah serius lagi dinamis. Jika ruang zahirnya tidak cukup, wujudkan muzium Melayu di ruang siber dengan kerjasama politeknik setempat – untuk menjimatkan kos.

    Usaha ini teramat penting kerana ‘pusaka’ yang ditinggalkan seniman dan seniwati kita mungkin ‘terlepas’ begitu saja.

    Ia mencerminkan darjat keilmuan dan nilai peradaban kita, bangsa Melayu di Singapura.

    Ketiadaan wang atau kekurangan sumber tenaga tidak seharusnya dijadikan alasan. Kita perlu berfikir secara kreatif untuk menjimatkan kos dan mendapatkan tajaan korporat dan meyakinkan pemerintah.

    Masyarakat kita sering mengeluh akan kurangnya ikon seni tanah air yang boleh dibuat rujukan dan mangkin untuk kita melompat jauh dalam membina Singapura sebagai Kota Kebangkitan (Renaissance City) di Tropika.

    TWM saja mungkin tidak dapat memikul beban berat. Alangkah baik jika ada kerjasama dua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (JPMNUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (JPMNTU), serta badan Melayu yang lain.

    Dengan bantuan para pensyarah dua jabatan itu, kajian ilmiah dapat dilakukan oleh siswa mereka untuk membukukan riwayat hidup seniman dan karya mereka. Selanjutnya, hasil kerja ini boleh dimuatkan dalam laman siber TWM dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk dicanangkan ke seantero dunia.

    Badan budaya Melayu terutama Majlis Pusat perlu menggandakan usaha dan meluaskan Balai Tokoh yang ada sekarang.

    Sedang kita mengecapi kemodenan, sumbangan besar para seniman/seniwati Melayu kita sejak 50 tahun lalu jangan mudah dilupakan.

    Kita perlu menerima hakikat, mereka telah melakukan segalanya untuk menjulang seni kita ke tahap setinggi mungkin, walau betapa getir sekalipun.

    Kita sedar betapa menjadi anak seni tidak besar ganjarannya. Bahkan pernah dinista masyarakat. Tiada insurans atau Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk mereka. Namun demi cinta seni, mereka meneruskan juga. Jadi, di manakah maruah kita untuk menghargai perjuangan mereka?

    Kita akan menjadi aib jika gagal menempatkan para tokoh kita, termasuk dalam bidang seni, di tempat yang mulia. Percayalah!

    Komentar | Berita Harian
    17 Syaaban 1430H
    8 Ogos 2009
    Sabtu





    cerminan

    26 08 2008

    mungkin tatkala ini
    segala kelihatan serupa
    seperti yang diceritakan

    mungkin tatkala ini
    kita asyik pandang depan
    hingga tidak perasan
    jarang sekali toleh belakang
    melihat bagaimana
    dulu dan sekarang

    ibu
    pernah sekali ninda bilang
    hidup jangan sekali tewas

    ibu
    sekali ada ninda kata
    jangan digadai kerana hutang

    ibu
    ninda ada beritahu
    jangan sekali kali menidak bangsa
    walau sekian besar pekungnya

    ibu
    ninda ada ingatkan
    mesti perkasa
    martabat Melayu

    ibu
    ninda selalu pesan
    dahulukan bangsa

    ibu
    di sini diriku
    adalah zuriat Melayumu
    benih bapa dan poyangku

    ibu
    matiku adalah
    untuk bangsa dan Melayuku…

    Alang Budiman
    Selasa, 26 Ogos 2008
    23 Syaaban 1429H
    17:57:27 ptg





    yang benar

    13 01 2008

    (buat yang gugur dan gelimpang di tengah jalan) 

    saat suara itu dilontar
    keadaan jadi ka…l…u..t!

    dan mereka pun terlari-lari
    tanpa peduli arah
    tanpa peduli ke mana

    si dungu terhenti dan bertanya
    “ke mana pak?”

    si ‘pak’ tadi pantas menjawab
    “ke mana saja lah…!”

    si dungu setia tunggu, menjawab
    “iya pak… ke mana saja…”
    dan terus berkejaran lari
    membontot si ‘pak’

    si ‘pak’ berhenti setelah agak jauh berlari
    rasai suasana kembali sepi
    yakin dapat terus hidup lagi

    si ‘pak’ tadi hubungi kawannya
    juga seorang ‘pak’, bertanya khabar
    dan larinya tadi

    “bagaimana pak, bisa lari?”

    kata temannya itu,
    “iya pak… aku lari
    “aku bawa sama anak bini
    “aku angkut semua
    “ke rumah pak menteri!
    “aku minta dia lindungi kami…”

    jawab si pak
    “oh ya? aku pun…
    “lari dan terus berlari
    “tapi aku cuma bawa diri sendiri
    “hanya ditemani dungu bodoh ini
    “aku biar anak isteri,
    “mereka tahulah jaga diri…”

    si ‘pak’ lepas lelah, dungu di sebelah
    dan dengusan si ‘pak’, dungu dengar

    “celaka punya jebat…
    “dah dikasi pangkat
    “aku pula dirembat
    “dah dikasi harta
    “aku pula diterjahnya…”

    tapi jebat yang diam di istana
    seakan mendengar keluh si ‘pak’ itu

    balasnya: 

    “engkau tolol…
    “dah diberi orang
    “tempat dan peluang
    “dah diberi orang
    “amanah dan kepercayaan
    “engkau perguna untuk diri sendiri
    “engkau biar bangsa sendiri mengelepar hingga mati
    “engkau tidak sekali tuntut pak menteri
    “agar dengar keluhan dan nurani warga sendiri
    “engkau pak, lebih penting nama dan harta
    “engkau pak, lebih penting kedudukan dan imbalan
    “yang diraih dengan menurut dan menutup mulut
    “engkau pak, engkau biar wajah bangsa tergadai
    “engkau pak, sekali berkata juang
    “sekadar melepas batuk di tangga
    “tawamu di kalangan anak bangsa
    “hanyalah tawa raja
    “dekah-dekah yang direka-reka… 

    “engkau rupanya pak…
    “adalah petualang yang menjarah
    “jiwa bangsa”.

    alang budiman
    13 Januari 2008, 1313:17hrs
    Ahad, 4 Muharam 1429H
    Berita Minggu, 27 Januari 2008
    18 Muharam 1429H








    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.