Lepas berdialog, tiba masa Apec kotakan janji

14 11 2009

Catatan Wartawan

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

DUA dekad setelah tertubuhnya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), kini lahir satu harapan baru dan lebih nyata dalam kerangka perhubungan antarabangsa.

Buktinya?

Setiap anggota atau negara yang menyertai Apec bukan sekadar beriltizam untuk bersama-sama memajukan ekonomi serantau, malah memastikan juga bahawa kemelesetan ekonomi yang terburuk melanda dunia sekarang tidak berulang lagi.

Ini belum termasuk komitmen mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar dan usaha sepadu dalam menangani cabaran keselamatan berhubung tenaga, makanan dan memperkukuh modal insan dalam menghadapi ekonomi global yang semakin berdaya saing.

Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Apec ini mencerminkan kesungguhan kepimpinannya dalam mencapai satu agenda – yakni memperkukuh sekitaran perniagaan dan perdagangan – demi faedah dan kemakmuran ekonomi jagat untuk jangka panjang.

Hal ini malah diakui sendiri oleh Wakil Dagangan Amerika, Encik Ron Kirk, pada 5 November lalu bahawa “rantau Asia Pasifik ini telah menjadi tumpuan dunia bagi aktiviti ekonomi dan inovasi”.

Namun, melangkah ke depan, Apec perlu memenuhi harapan anggotanya – dalam mewujudkan kawasan dagangan bebas di Asia Pasifik dan memanfaatkan kewujudan itu sepenuhnya kelak.

Ini penting kerana kegagalan menjadikan kawasan dagangan bebas satu kenyataan bakal dilihat golongan pesimis sebagai hanya melemahkan pengaruh politik Apec dalam berhadapan dengan sebuah lagi gergasi ekonomi – G20 (kumpulan 20 negara termaju dunia).

Dalam hal ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, selaku peneraju Apec tahun ini berkata para anggota pertubuhan itu akan berbincang dalam pertemuan dua hari mereka semasa Sidang Puncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO Summit) yang bermula semalam tentang bagaimana mereka akan mencapai wawasan itu.

“Ideanya ialah untuk mengukuhkan rangkaian perjanjian dagangan bebas yang kini wujud dan mengurangkan kerumitan terhadap pentadbiran dan tenaga kerja perniagaan,” ujarnya.

Jaminannya itu menyuntik kesegaran dan harapan dalam watan rantau ini, lebih-lebih lagi apabila Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dunia akan meningkat hampir 3 peratus pada tahun depan, dan kesemua ekonomi negara Apec akan menikmati pertumbuhan GDP yang positif.

Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pemimpin Apec menerusi kenyataan-kenyataan mereka harus dilaksanakan, jika enggan dicap sebagai ‘janji mulut sahaja’.

Ini penting memandangkan jumlah pengangguran masih tinggi di banyak negara Asia Pasifik dan seperti yang dinyatakan oleh Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, Rabu lalu, sedang ekonomi mula menunjukkan tanda pemulihan, “segalanya masih dalam keadaan rapuh”.

Demi memastikan setiap warga punya peluang untuk maju dan meraih manfaat dalam pasaran ekonomi global, Apec perlu memastikan ruang dan peluang pekerjaan tidak terbatas dan melaksanakan segala yang dijanjikan – iaitu dalam mewujudkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah, menjadikan pasaran buruh lebih fleksibel, mengadakan program jaringan keselamatan sosial yang utuh dan membuat pelaburan dalam pendidikan dan latihan dalam memantapkan modal insan.

Sebagai pemerhati tetap tepi gelanggang sejak bermulanya sidang Apec minggu lalu di sini, saya percaya Apec kini lebih berkeyakinan dan memberi penekanan lebih mendalam terhadap pemupukan sekitaran yang sesuai bagi inovasi, yang boleh dianggap sebagai benih penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

Begitu banyak yang boleh dilaksanakan oleh Apec bagi mewajarkan kedudukannya sebagai institusi penting serantau.

Satu daripadanya ialah dengan memanfaatkan desakan terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan menjadikan teknologi ‘hijau’ sebagai satu cabang penting pelaburan, di samping meningkatkan lagi kemampuan teknologi dan kemudahan komunikasi bagi memperkasa warga di negara-negara membangun.

Segalanya ini jika dilaksanakan, akan membuat ramai menganggap Apec, sememangnya satu permata harapan.

Berita Harian | Dalam Negeri
14 November 2009
26 Zulkaedah 1430H
Sabtu





Kesinambungan pucuk pimpinan

4 04 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

KESINAMBUNGAN dan pembaharuan merupakan teras dalam semakan kabinet Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Ia mencatatkan sejarah kerana buat julung-julung kalinya, seorang ahli politik wanita, Cik Lim Hwee Hua, dilantik sebagai menteri penuh.

Yang menarik ialah Cik Lim (sebelum ini Menteri Negara Kanan Kewangan dan Pengangkutan) dinaikkan pangkat sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dengan dua portfolio penting – selaku Menteri Kedua Kewangan dan Menteri Kedua Pengangkutan.

Semakan kabinet ini menempatkan Profesor S. Jayakumar sebagai Menteri Kanan.

Ini bermakna Singapura kini mempunyai dua Menteri Kanan, Profesor Jayakumar dan Encik Goh Chok Tong.

Profesor Jayakumar, 69 tahun, melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional.

Di samping itu, beberapa pemimpin muda mendapat kepercayaan penuh Encik Lee untuk menyertai Kabinet seperti Encik Gan Kim Yong dan Encik Lui Tuck Yew.

Encik Gan kini menjadi menteri penuh sebagai Menteri Tenaga Manusia.

Encik Lui pula, yang kini Menteri Negara Kanan (Pendidikan), melepaskan jawatannya itu dan dilantik sebagai Pemangku Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, menggantikan Encik Lee Boon Yang, 61 tahun, yang bersara.

Namun, perkara paling menonjol hasil rombakan ini ialah pelantikan Menteri Pertahanan, Encik Teo Chee Hean, sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akan memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Lee.

Kesemua ini mengemukakan beberapa isyarat penting dan jelas:

Pertama: Perdana Menteri memberi kepercayaan lebih besar kepada pimpinan lebih muda untuk memacu Singapura ke tahap selanjutnya.

Kedua: Singapura mampu mengemukakan pemimpin wanita yang berkebolehan dan berwibawa untuk sama-sama membarisi kepimpinan negara ini.

Ketiga: Sedang ramai beranggapan Singapura mempunyai bilangan pemimpin berbakat yang terhad, rombakan ini menunjukkan betapa negara ini sebenarnya mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan, kental dan ampuh.

Keempat: Barisan kepimpinan muda berada di tahap usia yang cukup selesa untuk melayar bahtera Singapura mengharungi cabaran masa depan dengan penuh keyakinan.

Kelima: Pemerintah mengiktiraf bakat.

Atas dasar itu, bagi mengasah lagi daya kepimpinan bakat-bakat muda di barisan depan, Encik Lee telah melantik Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Encik Teo Ser Luck, sebagai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, menggantikan Encik Zainul Abidin Rasheed.

Encik Sam Tan pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Penerangan, Perhubungan dan Kesenian).

Encik S. Iswaran telah diberi portfolio tambahan selaku Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Perdagangan dan Perusahaan).

Meneliti setiap pelantikan ini, kita akan mendapati bahawa Encik Teo, pada usia 54 tahun, merupakan pemimpin paling mapan berbanding tujuh pemimpin lain yang jauh lebih muda; Encik Teo Ser Luck, 40 tahun; Encik Iswaran, (46); Encik Lui dan Encik Lee Yi Shyan, (47); Cik Lim, Encik Gan dan Encik Sam Tan, (50).

Kesemua mereka ini dilihat mampu dan cukup bersedia untuk mengibar dan menjulang kemampuan parti pemerintah untuk dua pilihan raya umum akan datang.

Walaupun masih dalam usia ‘muda’ iaitu 57 tahun, PM Lee ingin mendepankan pemimpin berbakat yang berada dalam usia 30-an hingga awal 40-an tahun, dengan salah seorang daripadanya kemudian muncul sebagai pengganti beliau.

Sesungguhnya, harapan ada kala tidak pula kesampaian. Namun persediaan kepimpinan Singapura amat penting dalam suasana dunia yang serba tidak menentu – kemelesetan ekonomi, ancaman pengganasan, perubahan iklim, trend globalisasi mendatang yang sukar dipastikan – kesemuanya memerlukan tokoh berbakat, berpengalaman dan berilmu luas.

Ujar PM Lee: “Apabila anda membentuk sebuah Kabinet, anda perlukan sebuah pasukan yang mantap (dan latar belakang yang) luas.

“Anda mungkin memerlukan beberapa orang lagi berbanding sebelumnya kerana bukan sahaja tugas hari ini lebih rumit malah anda juga tidak boleh bergantung pada satu atau dua orang sahaja yang tahu segala-galanya. Itu tidak mungkin.”

Tidak dinafikan usaha mencari pengganti bukan satu perkara mudah.

Encik Goh, 68 tahun, mengambil alih teraju kepimpinan negara pada 1990, 14 tahun selepas menyertai politik pada 1976.

Encik Lee pula menggantikannya pada 2004, 20 tahun selepas menyertai politik pada 1984. Jelaslah proses patah tumbuh perlu dipercepat jika Singapura ingin memastikan lejangan kemajuannya.

Berbeza daripada negara lain, rombakan Kabinet Singapura berlaku secara mulus dan seperti sudah dijangkakan, tanpa retorik dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana sudah ada persiapan untuk mengenal pasti bakat sejak awal-awal lagi walaupun tampungan bakat Singapura amat terbatas.

Hakikat bahawa Singapura mampu menjadi negara Dunia Pertama dari segi taraf hidup dalam tempoh kurang 40 tahun menunjukkan bakat kepimpinannya memang tinggi. Tugas kepimpinan Singapura selanjutnya ialah membina peradaban tinggi rakyatnya.

Selagi pemerintah menyedari akan amanah yang dipikul, keyakinan rakyat akan menyerlah. Masa depan rakyat menuntut pendekatan yang penuh teliti dan bertanggungjawab.

Berita Harian | Komentar
Sabtu, 4 April 2009
8 Rabiulakhir 1430H





Sebab PBB masih gagal membawa perdamaian

16 01 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

SERANGAN Israel ke atas wilayah yang ditadbir parti Harakat Al-Muqawamat Al-Islamiyyah atau Gerakan Pejuang Islam (Hamas) di Jaluran Gaza, Palestin, hampir melepasi minggu ketiga.

Hampir 1,000 penduduk kawasan itu telah terkorban – sepertiga kanak-kanak.

Sehingga kini Israel terus membedil secara besar-besaran wilayah yang pernah didudukinya selama 38 tahun – tanpa sedikit pun mempedulikan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar gencatan senjata dilaksanakan.

Hamas juga gigih membedil demi mendapatkan semula tanah Palestin daripada jajahan Israel.

Persoalannya sekarang, mengapakah PBB – sebagai badan utama yang memayungi kesejahteraan manusia sejagat – gagal mendapatkan kerjasama atau mempengaruhi kedua-dua pihak agar berhenti daripada menyerang satu sama lain?

Dilihat dari sudut sains politik dan perhubungan antarabangsa, kegagalan itu disebabkan perbezaan dalam dukungan ideologi politik antara ketiga-tiga pihak.

Secara teorinya, penubuhan PBB diasaskan ideologi institusi liberalisme (liberal institutionalism), manakala penakatan Israel dan Hamas pula bersandarkan realisme (realism).

Secara asasnya, pendukung ideologi institusi liberalisme ini melihat hubungan antara negara bukan hanya bersandar pada politik malah kerjasama ekonomi dan integrasi antara masyarakat dan negara.

Jalinan kerjasama sedemikian, menurut mereka, mampu menjadikan dunia lebih aman, dengan masyarakat berlainan bangsa dan negara hidup rukun bersatu padu.

Jika ini hujah mereka, mengapa dunia terus digegar peperangan demi peperangan?

Dalam konteks hidup hari ini, mengapa PBB gagal mendapatkan kerjasama Israel untuk menuruti perintah gencatan senjata menerusi resolusi yang dikeluarkan badan dunia itu?

Hal ini turut disuarakan cendekiawan sains politik, Profesor John J. Mearsheimer, menerusi tulisannya, The False Promise of International Institutions (Janji Palsu Institusi Antarabangsa).

Profesor Mearsheimer mentakrifkan ‘institusi’ sebagai badan jagat yang melakar peraturan atau undang-undang yang menentukan bagaimanakah seharusnya sesebuah negara itu bersaing dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Institusilah yang menetapkan perlakuan sesebuah negara dan mereka jugalah yang mengharamkan perlakuan-perlakuan tertentu,” ujarnya.

Peraturan ini, menurutnya, ditentukan menurut persetujuan antarabangsa yang ketetapannya diterima secara formal.

Apa yang pasti, setiap negara yang menganggotai institusi antarabangsa dikehendaki menyetujui peraturan yang telah dilakarkan itu.

Namun, sesebuah negara anggota bebas membuat pilihan – sama ada ingin menuruti peraturan yang telah ditetapkan itu ataupun tidak.

Andainya sesebuah negara anggota memilih untuk tidak menuruti ketetapan peraturan badan yang dianggotainya itu, tiada banyak pilihan apatah lagi ‘hukuman’ yang boleh dilaksanakan ke atas negara anggota yang ‘ingkar’ – kecuali mengecam dan mencela atau menyarankan sekatan ekonomi.

Ini kerana badan dunia seperti PBB, secara hakikatnya, bukanlah badan yang mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negara-negara dunia.

Bagi pendukung realis, inilah kelemahan utama PBB sehinggakan banyak negara mengambil kesempatan atas kelemahan ini untuk kepentingan mereka sendiri.

Keutuhan PBB lebih runcing dengan adanya kuasa veto pada lima negara kuasa besar – Amerika Syarikat, Russia, Britain, China dan Perancis.

Kuasa veto ini menyebabkan PBB sering dilihat masyarakat dunia bagai harimau tanpa kuku, apalagi taring, untuk mencakar dan membaham mereka yang memperkosa prinsip agungnya – iaitu keamanan jagat.

Disebabkan kelemahan ini, para pendukung realisme merasakan kewujudan sebuah badan seperti PBB, meskipun baik, tidak akan mampu mencapai objektifnya.

Sesebuah negara, menurut prinsip realisme, akan bertindak dalam apa cara sekalipun, semata-mata untuk penakatan dan meluaskan pengaruh dan jajahan mereka.

Realis secara umumnya melihat keadaan politik dunia sebagai ‘suram’ dan sistem antarabangsa sebagai ‘medan pertempuran’ di mana setiap negara cuba mengambil kesempatan atas kelemahan negara/wilayah lain.

Hal ini malah turut diakui pendukung institusi liberalisme bahawa sesebuah negara itu pada dasarnya akan membuat sesuatu tindakan – baik atau buruk – berdasarkan kepentingan mereka sendiri.

Cendekiawan sains politik terkemuka, Profesor Alexander Wendt, malah berpendapat terdapat tiga faktor yang ‘diandaikan’ oleh sesebuah negara, iaitu menganggap sesebuah negara lain sebagai seteru, pesaing ataupun sebagai rakannya.

Bagi setiap anggapan ini pula terdapat budayanya yang tersendiri bersandarkan tiga faktor lain iaitu kepentingan, keterpaksaan dan kewajaran.

Ini, jika dilihat dalam konteks konflik Israel-Hamas, mendedahkan kepada kita betapa politik, secara sendirinya, amat rapuh.

Ini kerana sejarah peradaban manusia menunjukkan bahawa sesuatu kaum atau sesebuah negara lazimnya bersedia bertindak ganas ke atas sebuah negara atau wilayah lain demi penakatan dan peluasan kawasan jajahan mereka – seperti yang tercatat dalam kisah Perjanjian Westphalia pada 1648.

Para sarjana politik sering menganggap perjanjian damai yang dicapai di Eropah pada tahun itu menjadi titik-tolak pada pelaksanaan sistem politik moden – corak pemerintahan yang kita lalui hari ini.

Di bawah sistem Westphalia, kepentingan, matlamat atau agenda sesebuah negara mengatasi kepentingan seseorang individu atau pemerintah.

Sistem ini seakan-akan ‘menghalalkan’ tindakan sesebuah negara atau wilayah menggunakan pengaruh termasuk segala kekuatan ketenteraan bagi menumpaskan lawan – tanpa perlu melenyapkan mereka – demi mencapai hasrat politik yang terpendam.

Mungkin hal yang sama dapat kita lihat menerusi konflik ini.

Berita Harian | Komentar
16 Januari 2009
19 Muharam 1430
Jumaat








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.