Usah anggap usaha tangani masalah sebagai satu beban

13 12 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEBAIK tersiarnya luahan terus terang Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, tentang tahap kebobrokan segolongan anggota masyarakat Melayu yang kian membimbangkan, ramai memberikan reaksi mereka.

Ada melahirkan simpati, ada pula sedia menghulurkan bantuan, sementara sebahagian lagi menyifatkannya sebagai “isu lama yang tiada kesudahan”, dan ada pula berkata “pemimpin Melayu seharusnya lebih agresif dalam mencari huraian pada masalah ini”.

Malah, telinga nipis saya turut menangkap perbualan tiga pak cik – kesemuanya dalam lingkungan umur 60-an tahun – semasa bersarapan pagi di kedai kopi dekat rumah pada Selasa lalu.

Kata seorang daripada mereka:

“Apa guna dorang ni (pemimpin Melayu) jadi pemimpin masyarakat kalau masalah keluarga pincang ni dorang tak boleh selesaikan?”

Jawab kawannya secara seloroh:

“Aku rasa dorang patut outsourcelah, sebab sekarangkan semuanya main outsource. Kalau dah bertahun pun tak selesai, kasi jer orang lain selesaikan masalah ni,” sindirnya tajam dengan disambut deraian ketawa.

Istilah outsource bererti sesebuah pertubuhan atau syarikat mendapatkan pihak luar untuk menjalankan segala kerja, pengurusan atau perkhidmatan, yang sepatutnya mereka sendiri laksanakan.

Natijah daripada kesemua respons ini?

Ada segelintir di antara kita masih memperlekehkan isu ini sementara sesetengah lagi melihat usaha menangani isu ‘keluarga pincang’ daripada sudut negatif – sebagai satu bebanan. Ini silap besar.

Sebaiknya, usaha menanganinya harus dilihat secara positif, betapa kudis yang lama bernanah dan mulai jadi pekung, jika dirawat sebaiknya mampu sembuh dan mencergaskan kembali daya tenaga masyarakat kita.

Tiga saranan boleh difikirkan.

Pertama, pastikan lebih separuh daripada lebih 7,000 kes keluarga Melayu menerima bantuan sekarang diperkasakan seberapa segera.

Antara masalah orang Melayu ialah kekurangan ‘fulus’ atau duit.

Disebabkan ramai anak, sang isteri tidak dapat keluar bekerja, dengan suami bergaji rendah, kurang $1,600 sebulan, keadaan hidup mereka tidak dapat dipertingkatkan.

Apa yang boleh dilakukan ialah, sebahagian wang daripada Dana Amanah Pendidikan (ETF) diperuntukkan untuk menanggung sebahagian besar kos yuran tajaka bagi anak-anak daripada keluarga pincang.

Ibu bapa daripada golongan ini diwajibkan menghantar anak ke tajaka tetapi hanya diperlukan membayar yuran nominal, mungkin $50 sebulan untuk setiap anak, bagi membolehkan mereka keluar bekerja.

Tetapi golongan ini perlu dibimbing rapi dalam mengurus kewangan mereka.

Badan yang membantu perlu punya pegawai bertindak seakan Pegawai Pemegang Harta dalam sesebuah kes muflis, membantu mengatur kewangan pasangan suami isteri ini dan pastikan dalam tempoh antara tiga dengan lima tahun, mereka mampu bangkit dan berdikari sebelum kemudahan tajaka ditarik balik.

Jika ini berjaya dilaksanakan, ia umpama pepatah sambil menyelam minum air kerana bukan sahaja kedudukan kewangan keluarga itu jadi mantap, malah kanak-kanak daripada keluarga pincang juga mendapat pendedahan pendidikan dari seawal usia dua, tiga tahun.

Ini amat genting kerana pada usia semuda itu, kanak-kanak akan punya kefahaman asas lebih kukuh, terutama sekali dalam penguasaan bahasa dan kemahiran kira-kira.

Langkah ini mungkin jawapan dalam mengatasi satu lagi permasalahan yang ditimbulkan Dr Yaacob, iaitu kelemahan murid-murid Melayu dalam Matematik yang sejak tiga tahun lalu hanya 56 peratus murid Melayu lulus Matematik di peringkat PSLE, berbanding purata nasional sebanyak 90 peratus.

Matlamat kita haruslah tidak menjadikan kemasukan ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pilihan utama dan terakhir tetapi ke maktab rendah, atau politeknik dan akhirnya ke universiti.

Ketiga, mengawasi tahap kesihatan kanak-kanak daripada keluarga pincang terjaga.

Mungkin ada baiknya sebahagian wang Tabung Amal Aidilfitri (TAA) diperuntukkan sebagai subsidi bagi pelbagai suntikan wajib untuk kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun.

Mendekati isu ini dengan cara yang positif akan meningkatkan lagi dinamisme masyarakat kita – apatah lagi kita sendiri sering mengeluh sikap masyarakat kita ’sentiasa lambat dan lembap’.

Sesetengah keluarga Melayu kita tidak harus kekal sedemikian.

Berita Harian | Komentar
12 Disember 2009
25 Zulhijjah 1430H
Sabtu





Kita tidak perlu punya terlalu banyak GSA

25 10 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MACAM suatu ‘tradisi’ setiap kali musim haji, pasti ada isu atau ‘masalah’ yang timbul.

Tahun lalu, 820 jemaah gagal menunaikan haji setelah kerajaan Arab Saudi memutuskan agar mengurangkan tempat bagi jemaah haji dari seluruh dunia kerana kerja pembangunan prasarana yang giat dijalankan di Makkah.

Jadinya, hanya 2,192 jemaah dibenarkan menunaikan rukun kelima tahun lalu.

Tahun ini pula, disebabkan ancaman penularan virus flu H1N1, kerajaan Arab Saudi mengambil langkah amat berhati-hati dan hanya bersedia menerima 680 jemaah haji dari Singapura.

Jumlah ini menuruti kuota yang ditetapkan Muktamar Islam (OIC) pada 1987, di mana jumlah jemaah haji bagi sesebuah negara adalah 0.1 peratus daripada jumlah penduduk Islam negara itu.

Ramai tertanya-tanya, mengapa kerajaan Arab Saudi pada tahun ini seakan-akan ‘keberatan’ untuk menunjukkan sikap ihsan lebih mendalam, seperti tahun- tahun sudah, dalam membenarkan lebih ramai warga Singapura menunaikan haji.

Bagi penulis, itu bukan soalnya. Apa yang dilakukan kerajaan Arab Saudi adalah sesuatu yang tepat demi kebaikan masyarakat Islam keseluruhannya.

Ini memandangkan penularan virus flu H1N1 tidak boleh dipandang enteng.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyifatkan penularan wabak penyakit itu sebagai satu ’suasana darurat kesihatan awam yang membawa kebimbangan antarabangsa’.

Atas dasar itu, sikap berhati- hati yang ditunjukkan kerajaan Arab Saudi amat wajar.

Keadaan ini sebenarnya memberi kita peluang memperkemas kedudukan dan meneliti semula ‘pasaran’ dan sistem haji sedia ada.

Telah tiba masanya masyarakat Islam setempat menerima hakikat bahawa hanya sekitar 680 orang dari negara ini yang dibenarkan menunaikan haji setiap tahun.

Jadi jangkaan tinggi yang ada dalam diri sesetengah bakal jemaah bahawa “daftar last minute (saat akhir) pun boleh pergi haji” harus dibuang jauh-jauh.

Itu dulu, sekarang tidak lagi.

Para jemaah mesti bersedia menerima hakikat bahawa urusan haji adalah ketentuan Ilahi.

Seandainya lebih ramai diizinkan menjadi tetamu-Nya, jemaah yang terpilih mesti bersedia berangkat, walaupun di saat akhir – seperti yang berlaku sekarang ini.

Keadaan tidak menentu sekarang juga sebenarnya memberi peluang terbaik bagi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) meningkatkan lagi peranannya sebagai ‘regulator’ atau penguasa bagi pasaran haji di sini.

Telah tiba masanya bagi Muis membuat kaji selidik lebih mendalam tentang pasaran haji di Republik ini dan menentukan berapa sebenarnya jumlah ejen penjualan pakej haji (GSA) yang diperlukan bagi menguruskan bakal jemaah haji Singapura.

Secara terus terang, jumlah 26 GSA yang ada sekarang bagi menguruskan sekitar 3,500 jemaah boleh disifatkan sebagai ‘terlebih’.

Bandingkan ini dengan hanya tiga syarikat telekomunikasi – SingTel, MobileOne dan StarHub – yang bersaing bagi pasaran empat juta orang di sini.

Ataupun pasaran televisyen kabel di mana hanya ada dua – StarHub dan MioTV – bersaing bagi menarik ribuan pelanggan setempat.

Malah, Singapura hanya mempunyai tiga bank setempat – UOB, DBS dan OCBC – bagi memenuhi keperluan kewangan rakyat negara ini.

Persoalannya sekarang, perlukah kita mempunyai GSA sebanyak yang ada sekarang?

Bukanlah sesuatu yang produktif bagi 26 GSA menguruskan 3,500 jemaah – purata 135 orang jemaah seagensi.

Lebih tidak masuk akal rasanya, jika 26 GSA menguruskan sekadar 680 jemaah atau 26 jemaah bagi setiap agensi.

Meskipun Singapura mengamalkan pasaran bebas, itu tidak bermakna kita menerima keadaan itu secara harfiah dan memberi kebebasan mutlak untuk mana-mana syarikat pelancongan Islam ‘masuk gelanggang’.

Sewajarnya, Muis selaku pengawal pasaran memastikan tidak lebih daripada empat atau lima GSA sahaja mendapat lesen menjual pakej haji, meskipun kesemua agensi yang ada sekarang dibenarkan bersaing menerusi tender yang dikeluarkan.

Sedang GSA mapan mampu berdiri atas kaki sendiri, GSA lebih kecil sebaiknya bergabung dan membentuk satu konsortium untuk bersaing dalam mendapat hak menjual pakej-pakej haji.

Dalam memperkemas kini sistem sedia ada, Muis harus memastikan kelima-lima GSA yang dipilih mengemukakan pakej haji tersendiri, yakni setiap satu GSA menawarkan pakej berbeza dan bukannya serupa, seperti yang berlaku sekarang.

Di pihak GSA pula, ia harus kembali berpijak di bumi nyata, dengan memusatkan perhatian pada jumlah kuota yang ditetapkan dan bukannya pada jumlah ‘ihsan’ Arab Saudi.

Langkah ini rasanya mampu mengelakkan mereka daripada menanggung kos kerugian lebih besar.

Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) perlu membantu GSA memahami keadaan ini.

Di samping itu, para jemaah juga perlu sama-sama memikul tanggungjawab dalam melicinkan lagi pengurusan haji di sini.

Antara yang boleh dilakukan adalah dengan membuat pendaftaran haji lebih awal dan bukan di saat akhir agar mereka tidak berasa kecewa andai tidak diberi kesempatan bertamu di rumah Allah, disebabkan kuota yang telah ditetapkan.

Dalam rangka menyelaras dan menswastakan khidmat haji oleh Muis, wajar juga difikirkan konsep tabung haji – agar permodalan dapat dibuat lebih awal. Bahkan hasil limpahannya boleh digunakan untuk manfaat seluruh ummah.

Dengan itu, senario hari muka urusan haji akan berubah ke arah yang lebih mantap dan terjamin.

Berita Harian | Komentar
24 Oktober 2009
5 Zulkaedah 1430H
Sabtu





Dah siap Melayu hadapi ‘tsunami uban’?

7 09 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SINGAPURA bakal menghadapi ‘tsunami uban’ .

Dalam masa 20 tahun dari sekarang, jumlah warga tua berusia 65 tahun ke atas akan meningkat daripada 300,000 hari ini kepada 900,000 orang.

Ini bermakna, secara nisbah seorang daripada setiap lima warga Singapura berumur 65 tahun atau lebih pada 2030.

Nisbah sekarang ialah seorang bagi setiap 12 orang.

Dalam hal ini masyarakat Melayu kita tidak terkecuali. Lihat sahaja keadaan di masjid sekarang, jumlah warga tua uzur dan terpaksa menggunakan kerusi untuk menunaikan solat berjemaah kian ramai.

Bayangkan keadaan di masjidmasjid kita 20 tahun dari sekarang.

Oleh itu, sedang pemerintah giat memikirkan, melakar dan melaksana serta menyemak pelbagai dasar dan program bagi menangani cabaran penuaan, bagaimana pula kita?

Perkara ini perlu difikirkan segera. Elak mengambil sikap tunggu dan lihat, atau sudah terhantuk baru terngadah.

Suka atau tidak, satu perancangan teliti, menyeluruh dan berkesan mesti dilakukan demi memastikan masyarakat Melayu mampu mengatasi keadaan ini apabila tiba 2030 kelak.

Dari segi sumber tenaga misalnya, masyarakat Melayu juga, seperti masyarakat lain di sini, memerlukan lebih ramai karyawan bagi memenuhi setiap keperluan warga tua yang semakin rencam dan mencabar – daripada doktor ke jururawat, sehinggalah kepada ahli terapi, pakar pemakanan, kaunselor dan penasihat keluarga.

Kita perlu, mulai sekarang, memupuk di kalangan generasi muda minat menceburi bidang-bidang ini kerana mereka akan lebih mengerti akan gaya dan resam kehidupan masyarakatnya sendiri dan ini akan memudahkan mereka mencari huraian bagi pelbagai permasalahan – dari segi penyakit dan ragam – yang dihadapi warga tua Melayu.

Selain itu, perhatian perlu ditumpukan pada usaha-usaha memupuk kesedaran dan rasa cinta lebih mendalam di kalangan generasi muda hari ini tentang tanggungjawab mereka menjaga ibu bapa dan jangan mudah-mudah mencampak mereka ke rumah tumpangan.

Bukan apa, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan di mana-mana dek penyejagatan dan sesetengah warga muda kita akan lebih condong mendaki setinggi mungkin tangga kerjaya, soal penjagaan warga tua menjadi lebih runcing.

Yang nyata, kita perlu mengelak situasi anak-anak Melayu lebih mementingkan diri sendiri dan hanya terdorong mengejar kebendaan dan kemewahan semata-mata, sehingga tuntutan menjaga orang tua diserahkan kepada rumah tumpangan.

Secara terus terang, tanggapan umum bahawa orang Melayu dari dahulu hingga sekarang lebih bersedia menjaga ibu bapa mereka hingga ke akhir hayat berbanding bangsa lain secara perlahan-lahan mula terhakis.

Hakikatnya, sudah pun berlaku di kalangan segelintir masyarakat Melayu kita yang lebih rela memasukkan ibu bapa ke rumah tumpangan dan jarang menjenguk mereka – kerana melepas beban.

Kita perlu memastikan ia tidak menjadi satu trend atau amalan lazim di kalangan generasi mendatang.

Apatah lagi, pemerintah kini sedang mengkaji keperluan membuat pindaan ke atas Akta Penyaraan Ibu Bapa bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang melepaskan tanggungjawab menyara ibu bapa.

Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), Dr Vivian Balakrishnan, menyatakan di Parlimen bulan lalu kementeriannya bercadang menyemak akta itu bagi memastikan anak-anak memikul kos penyaraan ibu bapa mereka dengan lebih adil.

Sangat diharapkan kemudahan rumah tumpangan warga tua yang disediakan badan-badan kebajikan atau badan bukan mencari untung Melayu/Islam hanya diperuntukkan untuk warga tua sebatang kara yang miskin dan melarat.

Bagi memastikan tujuan ini dapat dicapai, pendidikan dan persiapan rapi amat penting.

Dalam aspek pendidikan, pendekatan harus mencakupi aspek pengukuhan ikatan kekeluargaan, aspek emosi dan sumber kewangan. Ini penting kerana semakin tua seseorang ibu atau bapa, semakin banyak ragam dan penyakitnya.

Tanpa persiapan rapi dan sempurna, penjagaan warga tua kelak akan lebih dirasai sebagai satu beban, dalam aspek kewangan terutamanya.

Atas sebab itu, aspek pendidikan ini harus dipikul bukan sahaja oleh kaunselor keluarga, bahkan asatizah, guru, pemimpin politik, pemimpin masyarakat, dan kita semua.

Menyentuh soal persiapan pula, pemimpin kita perlu melakar dan menyiapkan satu kerangka jelas dalam mengenal pasti keadaan hari ini dan huraian terbaik saat 2030 tiba.

Kerangka ini harus mengenal pasti cabaran dan permasalahan yang akan dihadapi masyarakat Melayu, mencakupi aspek prasarana, skim dan sokongan.

Kita perlu meneliti setiap skim dan program yang dilaksana pemerintah dan mengkaji bagaimana ia dapat disepadukan dengan program yang badan Islam tawarkan demi kesejahteraan warga tua kita untuk jangka panjang.

Asasnya, masyarakat perlu jujur dalam menghadapi isu ini, apatah lagi kita sendiri bakal tua.

Insafi pesanan Rasulullah saw:

“Ingatlah bahawa sesungguhnya reda Allah itu terletak pada keredaan kededua orang tua. Maka janganlah kita mensia-siakan mereka apabila mereka sudah tua.”

Setiap kita akan menjadi seorang tua dan lemah dan akan bergantung pada anak-anak kita untuk menjaga kita.

Komentar | Berita Harian
Isnin, 7 September 2009
17 Ramadan 1430H