Usah anggap usaha tangani masalah sebagai satu beban

13 12 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEBAIK tersiarnya luahan terus terang Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, tentang tahap kebobrokan segolongan anggota masyarakat Melayu yang kian membimbangkan, ramai memberikan reaksi mereka.

Ada melahirkan simpati, ada pula sedia menghulurkan bantuan, sementara sebahagian lagi menyifatkannya sebagai “isu lama yang tiada kesudahan”, dan ada pula berkata “pemimpin Melayu seharusnya lebih agresif dalam mencari huraian pada masalah ini”.

Malah, telinga nipis saya turut menangkap perbualan tiga pak cik – kesemuanya dalam lingkungan umur 60-an tahun – semasa bersarapan pagi di kedai kopi dekat rumah pada Selasa lalu.

Kata seorang daripada mereka:

“Apa guna dorang ni (pemimpin Melayu) jadi pemimpin masyarakat kalau masalah keluarga pincang ni dorang tak boleh selesaikan?”

Jawab kawannya secara seloroh:

“Aku rasa dorang patut outsourcelah, sebab sekarangkan semuanya main outsource. Kalau dah bertahun pun tak selesai, kasi jer orang lain selesaikan masalah ni,” sindirnya tajam dengan disambut deraian ketawa.

Istilah outsource bererti sesebuah pertubuhan atau syarikat mendapatkan pihak luar untuk menjalankan segala kerja, pengurusan atau perkhidmatan, yang sepatutnya mereka sendiri laksanakan.

Natijah daripada kesemua respons ini?

Ada segelintir di antara kita masih memperlekehkan isu ini sementara sesetengah lagi melihat usaha menangani isu ‘keluarga pincang’ daripada sudut negatif – sebagai satu bebanan. Ini silap besar.

Sebaiknya, usaha menanganinya harus dilihat secara positif, betapa kudis yang lama bernanah dan mulai jadi pekung, jika dirawat sebaiknya mampu sembuh dan mencergaskan kembali daya tenaga masyarakat kita.

Tiga saranan boleh difikirkan.

Pertama, pastikan lebih separuh daripada lebih 7,000 kes keluarga Melayu menerima bantuan sekarang diperkasakan seberapa segera.

Antara masalah orang Melayu ialah kekurangan ‘fulus’ atau duit.

Disebabkan ramai anak, sang isteri tidak dapat keluar bekerja, dengan suami bergaji rendah, kurang $1,600 sebulan, keadaan hidup mereka tidak dapat dipertingkatkan.

Apa yang boleh dilakukan ialah, sebahagian wang daripada Dana Amanah Pendidikan (ETF) diperuntukkan untuk menanggung sebahagian besar kos yuran tajaka bagi anak-anak daripada keluarga pincang.

Ibu bapa daripada golongan ini diwajibkan menghantar anak ke tajaka tetapi hanya diperlukan membayar yuran nominal, mungkin $50 sebulan untuk setiap anak, bagi membolehkan mereka keluar bekerja.

Tetapi golongan ini perlu dibimbing rapi dalam mengurus kewangan mereka.

Badan yang membantu perlu punya pegawai bertindak seakan Pegawai Pemegang Harta dalam sesebuah kes muflis, membantu mengatur kewangan pasangan suami isteri ini dan pastikan dalam tempoh antara tiga dengan lima tahun, mereka mampu bangkit dan berdikari sebelum kemudahan tajaka ditarik balik.

Jika ini berjaya dilaksanakan, ia umpama pepatah sambil menyelam minum air kerana bukan sahaja kedudukan kewangan keluarga itu jadi mantap, malah kanak-kanak daripada keluarga pincang juga mendapat pendedahan pendidikan dari seawal usia dua, tiga tahun.

Ini amat genting kerana pada usia semuda itu, kanak-kanak akan punya kefahaman asas lebih kukuh, terutama sekali dalam penguasaan bahasa dan kemahiran kira-kira.

Langkah ini mungkin jawapan dalam mengatasi satu lagi permasalahan yang ditimbulkan Dr Yaacob, iaitu kelemahan murid-murid Melayu dalam Matematik yang sejak tiga tahun lalu hanya 56 peratus murid Melayu lulus Matematik di peringkat PSLE, berbanding purata nasional sebanyak 90 peratus.

Matlamat kita haruslah tidak menjadikan kemasukan ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pilihan utama dan terakhir tetapi ke maktab rendah, atau politeknik dan akhirnya ke universiti.

Ketiga, mengawasi tahap kesihatan kanak-kanak daripada keluarga pincang terjaga.

Mungkin ada baiknya sebahagian wang Tabung Amal Aidilfitri (TAA) diperuntukkan sebagai subsidi bagi pelbagai suntikan wajib untuk kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun.

Mendekati isu ini dengan cara yang positif akan meningkatkan lagi dinamisme masyarakat kita – apatah lagi kita sendiri sering mengeluh sikap masyarakat kita ‘sentiasa lambat dan lembap’.

Sesetengah keluarga Melayu kita tidak harus kekal sedemikian.

Berita Harian | Komentar
12 Disember 2009
25 Zulhijjah 1430H
Sabtu





Usah jadi lelaki yang lupa tanggungjawab

31 07 2009

SUARA ADAM

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

ANDAI hasil tinjauan AskMen.com menggambarkan keadaan yang sebenarnya, maka kita perlu menerimanya dengan rasa syukur.

Ini kerana kaum Adam kelihatannya berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab.

Mereka bukan saja dikatakan memberi tumpuan kepada kestabilan dalam pekerjaan dan rumah tangga, tetapi juga lebih berhemah sewaktu berbelanja.

Membaca apa yang dinyatakan itu, ‘sejuk’ rasa hati ini.

Bukannya apa, naik pekak telinga ni mendengar sungutan apa lagi kecaman pedas kaum Hawa tentang sikap sesetengah Adam, yang dikatakan suka sangat mengabaikan tanggungjawab dalam menyara keluarga dan ibu bapa mereka.

Bukan itu saja, hati ini mudah terguris apabila sang Hawa tak habis- habis melabel kaum kita – kasanovalah, tak punya cita-citalah, suka berangan, syok sendiri, bergaya tapi papa, mat pokailah – macam-macam!

Jadi, apabila sesekali membaca sesuatu yang positif tentang Adam, diri ini melonjak gembira.

Tetapi, rasa gembira itu cepat berubah. Entah kenapa, hati ini rasa serba tak sedap.Benarkah kaum Adam kita sudah benar-benar berubah?

Apabila membaca dan meneliti semula laporan hasil tinjauan AskMen.com itu, satu soalan bermain di kepala:

Diantara sekian ramai mereka yang turut serta dalam hasil tinjauan itu, berapa ramai di kalangan mereka itu lelaki Melayu kita?

Suka atau tidak, hati ini berkata, mungkin ada tetapi cuma seorang dua…

Kalau begitu, apakah hasil tinjauan ini mencerminkan perubahan pada sikap kaum Adam kita?

Sedang soalan ini berlegar di minda, saya terbaca laporan ‘Pastikan pembayaran nafkah kepada bekas isteri terjamin’ yang disiarkan akhbar ini Selasa lalu (28 Julai).

Antara lain, laporan itu menyatakan, seramai 50,000 kanak-kanak terjejas akibat kes-kes perceraian sejak 10 tahun lalu.

Saya percaya, dan berani bertaruh (oops… tabik ustaz!) ramai diantara kanak-kanak yang menjadi mangsa perceraian ini adalah hasil perkahwinan orang Melayu kita.

Disebabkan hal itu, Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) mencadangkan supaya sebuah agensi pemerintah diberi kuasa mentadbir pungutan dan pengagihan wang nafkah.

Ini supaya pembayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak- anak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Bagi memastikan pembayar nafkah menjalankan tanggungjawab moralnya dengan lebih baik pula, badan itu mengajukan satu idea yang bagi saya amat bernas – tunggakan kepada bekas isteri diubah menjadi hutang kepada negara.

Ini bagi saya tepat, kerana kelihatannya sang Adam – di kalangan orang kita terutamanya – ramai juga apabila sudah bercerai, tak ambil endah langsung tentang soal nafkah anak.

Jadi, dah tiba masa kita jangan bagi ‘can’ dengan orang-orang macam ni.

Memalukan kaum Adam je.

Iyalah… cuba bayangkan, tak lama lepas bercerai, agak ramai Adam kita yang kembali bujang, berkahwin baru.

Kalau tak di sini, di Batam, kalau tak di sana, di selatan Thailand.

Beb, ingat kahwin ni macam main masak-masak zaman kita budak- budak dulu ke?

Janganlah gitu, kita perlu juga fikirkan masa depan anak-anak kita kerana mereka membentuk generasi akan datang.

Andai kebajikan mereka tidak diendahkan, dan akhirnya hidup menjadi tak keruan hingga melukut di tepi gantang, siapa rugi?

Kita juga…

Berita Harian | Ekstra!
Jumaat, 31 Julai 2009
9 Syaaban 1430H





Meski uzur, Pak Samad dapat hangatkan suasana

6 09 2008

Belasungkawa Tan Sri Abdul Samad Ismail (1925-2008)

Catatan Wartawan

“Aku suka ‘reporter’ yang ‘independent’. Aku benci mereka yang sekejap-sekejap telefon ofis atau ‘mediocre’ bekerja dengan aku. Sama ada kau lulusan dari kolej mana, universiti mana, aku tak peduli. Yang penting mutu kerja kau. Itu yang aku nilai, sejauh mana kau laporkan berita itu secara ‘in-depth’.”

– Allahyarham Pak Samad, semasa diwawancara penulis pada Disember 2006

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

GENERASI muda hari ini mungkin tidak begitu mengenalinya, apatah lagi mengerti betapa besarnya sumbangan yang dihulurkan Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail kepada pembangunan awal Singapura.

Jadi, saat mendapat berita pulangnya Pak Samad ke rahmatullah petang kelmarin, dengan sendirinya diri ini mengimbau kembali pertemuan sulung (yang juga terakhir) penulis dengan pejuang nasionalis dan tokoh kewartawanan Nusantara itu, yang berlangsung hampir dua tahun lalu, atau lebih tepat lagi pada 23 Disember 2006.

Pertemuan selama dua jam itu diatur sebagai usaha kami menjejak detik awal kelahiran Berita Harian lima dekad lalu.

Bersama-sama Penolong Editor, Encik Puad Ibrahim, dan jurugambar, Encik Taufik A. Kader, kami mewawancara beliau di rumah adiknya di Bedok Reservoir Road, sempena kunjungan beliau ke Singapura ketika itu.

Meskipun uzur, ‘kelantangan’ Pak Samad masih belum luntur.

Suasana pertemuan menjadi hangat dek ‘aksi’ dan suaranya.

Rokok, tidak sekali terlepas daripada bibirnya dan disela-sela kepulan asap, beliau mula bercerita:

“Pada waktu itu (lebih kurang 1957) Berita Harian dimulakan sebagai akhbar versi Melayu The Straits Times. Saya telah ditugaskan untuk menubuhkan sebuah akhbar Melayu dan diberi nama Berita Harian (BH).

“(Tetapi) untuk menjadikan ia sebuah akhbar yang menarik dan mempunyai identiti tersendiri (bukan sekadar menyiarkan berita versi Melayu The Straits Times) adalah dengan mengambil wartawan-wartawan sambilan dari setiap negeri di Tanah Melayu termasuk di Singapura.

“Ini menjadikan ia sebuah akhbar yang kaya dengan pelbagai berita menarik yang dapat dibaca di Tanah Melayu dan juga Singapura,’ kata beliau, yang memulakan kerjaya wartawan di Utusan Melayu di bawah asuhan Bapa Wartawan Melayu, Encik Abdul Rahim Kajai, pada 1941 dalam usia 16 tahun.”

Namun, apa yang diceritakan Pak Samad ketika itu hanyalah sekelumit kisah perjalanan hidup beliau sepanjang lebih 60 tahun bergelumang dalam dunia politik, kewartawanan dan bahasa.

Generasi hari ini mungkin tidak menyedari bahawa Pak Samad memainkan peranan penting dalam pembentukan landskap politik tanah air.

Selain menjadi antara pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP), beliau jugalah yang mengenalkan rakannya, mendiang C.V. Devan Nair, kepada parti itu.

Mendiang Nair (1923-2005) merupakan Presiden ketiga Singapura antara 1981 dengan 1985.

Selain itu, Pak Samad yang menurut buku Paths Not Taken: Political Pluralism in Postwar Singapore, juga diketahui bertanggungjawab menarik ramai pemimpin Melayu daripada kalangan wartawan, anggota mapan kesatuan sekerja ke dalam politik.

Ini seperti Allahyarham Yaacob Mohamed, Allahyarham Rahmat Kenap, Allahyarham Buang Omar Junid dan Encik Ariff Suradi, menyertai PAP.

Penampilan mereka sebagai pemimpin PAP di tengah-tengah pergolakan politik nasionalisme pada tahun-tahun 1950-an telah menyebabkan PAP diterima baik masyarakat Singapura sebagai sebuah parti berbilang kaum sehingga ke hari ini.

Pak Samad juga seorang sasterawan dan menerima Anugerah Ramon Magsaysay pada 1994.

Antara novel karyanya ialah Patah Sayap Terbang Jua, Kail Panjang Sejengkal dan Tembok Tidak Tinggi.

Selain berkarya, beliau juga berperanan dalam pembentukan Angkatan Sasterawan ’50 (Asas 50) dan membantu dalam pembentukan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah institusi bahasa dan sastera.

Menghargai sumbangan Pak Samad, pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad berkata:

“Saya begitu menghargai sumbangannya kepada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan Asas ’50 dalam usahanya mendidik masyarakat dan memperkasakan bahasa Melayu.”

Pemergian Pak Samad sememangnya satu kehilangan besar, namun Tuhan lebih menyayanginya.

Di Ramadan ini, semoga roh beliau dicucuri rahmat-Nya.

Al-Fatihah.

Berita Harian | Dalam Negeri
Sabtu, 6 September 2008
6 Ramadan 1429H








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.