Lepas berdialog, tiba masa Apec kotakan janji

14 11 2009

Catatan Wartawan

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

DUA dekad setelah tertubuhnya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), kini lahir satu harapan baru dan lebih nyata dalam kerangka perhubungan antarabangsa.

Buktinya?

Setiap anggota atau negara yang menyertai Apec bukan sekadar beriltizam untuk bersama-sama memajukan ekonomi serantau, malah memastikan juga bahawa kemelesetan ekonomi yang terburuk melanda dunia sekarang tidak berulang lagi.

Ini belum termasuk komitmen mereka terhadap pemuliharaan alam sekitar dan usaha sepadu dalam menangani cabaran keselamatan berhubung tenaga, makanan dan memperkukuh modal insan dalam menghadapi ekonomi global yang semakin berdaya saing.

Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Apec ini mencerminkan kesungguhan kepimpinannya dalam mencapai satu agenda – yakni memperkukuh sekitaran perniagaan dan perdagangan – demi faedah dan kemakmuran ekonomi jagat untuk jangka panjang.

Hal ini malah diakui sendiri oleh Wakil Dagangan Amerika, Encik Ron Kirk, pada 5 November lalu bahawa “rantau Asia Pasifik ini telah menjadi tumpuan dunia bagi aktiviti ekonomi dan inovasi”.

Namun, melangkah ke depan, Apec perlu memenuhi harapan anggotanya – dalam mewujudkan kawasan dagangan bebas di Asia Pasifik dan memanfaatkan kewujudan itu sepenuhnya kelak.

Ini penting kerana kegagalan menjadikan kawasan dagangan bebas satu kenyataan bakal dilihat golongan pesimis sebagai hanya melemahkan pengaruh politik Apec dalam berhadapan dengan sebuah lagi gergasi ekonomi – G20 (kumpulan 20 negara termaju dunia).

Dalam hal ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, selaku peneraju Apec tahun ini berkata para anggota pertubuhan itu akan berbincang dalam pertemuan dua hari mereka semasa Sidang Puncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO Summit) yang bermula semalam tentang bagaimana mereka akan mencapai wawasan itu.

“Ideanya ialah untuk mengukuhkan rangkaian perjanjian dagangan bebas yang kini wujud dan mengurangkan kerumitan terhadap pentadbiran dan tenaga kerja perniagaan,” ujarnya.

Jaminannya itu menyuntik kesegaran dan harapan dalam watan rantau ini, lebih-lebih lagi apabila Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) dunia akan meningkat hampir 3 peratus pada tahun depan, dan kesemua ekonomi negara Apec akan menikmati pertumbuhan GDP yang positif.

Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pemimpin Apec menerusi kenyataan-kenyataan mereka harus dilaksanakan, jika enggan dicap sebagai ‘janji mulut sahaja’.

Ini penting memandangkan jumlah pengangguran masih tinggi di banyak negara Asia Pasifik dan seperti yang dinyatakan oleh Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, Rabu lalu, sedang ekonomi mula menunjukkan tanda pemulihan, “segalanya masih dalam keadaan rapuh”.

Demi memastikan setiap warga punya peluang untuk maju dan meraih manfaat dalam pasaran ekonomi global, Apec perlu memastikan ruang dan peluang pekerjaan tidak terbatas dan melaksanakan segala yang dijanjikan – iaitu dalam mewujudkan tenaga kerja yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah, menjadikan pasaran buruh lebih fleksibel, mengadakan program jaringan keselamatan sosial yang utuh dan membuat pelaburan dalam pendidikan dan latihan dalam memantapkan modal insan.

Sebagai pemerhati tetap tepi gelanggang sejak bermulanya sidang Apec minggu lalu di sini, saya percaya Apec kini lebih berkeyakinan dan memberi penekanan lebih mendalam terhadap pemupukan sekitaran yang sesuai bagi inovasi, yang boleh dianggap sebagai benih penting bagi memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

Begitu banyak yang boleh dilaksanakan oleh Apec bagi mewajarkan kedudukannya sebagai institusi penting serantau.

Satu daripadanya ialah dengan memanfaatkan desakan terhadap pemuliharaan alam sekitar dengan menjadikan teknologi ‘hijau’ sebagai satu cabang penting pelaburan, di samping meningkatkan lagi kemampuan teknologi dan kemudahan komunikasi bagi memperkasa warga di negara-negara membangun.

Segalanya ini jika dilaksanakan, akan membuat ramai menganggap Apec, sememangnya satu permata harapan.

Berita Harian | Dalam Negeri
14 November 2009
26 Zulkaedah 1430H
Sabtu





Hilang bahasa bak hilang jati diri

5 10 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

MENGAPA mesti dibangsatkan bahasa sendiri dan mencelakakan jiwa bangsa?

Persoalan serupa saya kemukakan di laman rangkaian sosial Facebook saya baru-baru ini.

Bukan tujuan penulis sengaja bersikap ‘kurang ajar’ atau ingin menimbulkan polemik.

Ia timbul setelah melihat betapa rancu seorang pemuda Melayu memberi jawapan bercampur aduk – antara bahasa Melayu dengan Inggeris – saat diwawancara tentang penglibatannya dalam temasya perlumbaan kereta F1 yang berlangsung baru-baru ini.

Wawancara itu pula disiarkan di saluran televisyen Melayu.

Hakikatnya, bukan remaja lelaki itu sahaja bercakap demikian.

Ribuan lagi warga Melayu kita serupa itu – karyawan tidak terkecuali – simpang perinang apabila berbahasa ibunda.

Tanpa diduga, kenyataan saya di Facebook itu menarik perhatian beberapa rakan yang sama-sama merasakan pedihnya bahasa bangsa ‘dilacurkan’.

Seorang rakan berpendapat:

“Mungkin mereka merasakan kalau berbahasa ibunda macam dipandang kurang intelek.”

Bahasa, budaya dan Islam merupakan penanda jati diri rumpun Melayu.

Jadi, di mana silapnya?

Seorang lagi rakan menulis:

“Di mana salahnya: adakah kurang membaca atau buku Melayu itu kurang atau pergaulannya merepek meraban.

“Maaf, masalah ini semakin meruncing, orang seperti apa kita jika kita hanya mempertikaikan di sini tanpa membuat sesuatu… masih adakah jalan untuk memperbaikinya?”

Soalan beliau ini saya lontarkannya di sini agar lebih ramai mendengar rintihan hati kami yang mual melihat bahasa Melayu diperlekeh.

Namun komen seorang pelajar yang kini bertatih dalam bidang kewartawanan menarik perhatian saya.

Katanya: “Mungkin remaja kita kurang pendedahan kepada bahasa ibunda? Hmm…

“Pedagogi (teknik pengajaran) masa kini semuanya menggunakan bahasa Inggeris sahaja yang difahami dan digunakan seantero dunia.

“Antara melestarikan bahasa kita dengan mencapai tahap kemajuan di persada antarabangsa, (mana yang lebih diutama?) hmm…”

Kurang pendedahan pada bahasa Melayu?

Alasan ini agak sukar diterima memandangkan sumber yang ada mencukupi.

Memang ada di kalangan kita kerap mengadu bahan bacaan dalam bahasa Melayu di sini terhad.

Jika berlaku sekalipun, soal kurang bahan bacaan tidak seharusnya dijadikan sebab atau alasan bagi ‘menghalalkan’ pengabaian bahasa ibunda atau merosakkannya.

Seorang lagi teman menganggap punca pertuturan bahasa Melayu yang ‘compang-camping’ itu ialah kerana tiada rasa bangga atau penghargaan terhadap bahasa ibunda.

“Ia jadi terhakis dek persepsi yang keliru akan bahasa ibundanya sendiri.

“Lantaran itu, bahasa ibunda yang dituturkan secara bercelaru sebenarnya juga mencerminkan kepincangan jati dirinya.”

Sekali lagi soal jati diri dikemukakan.

Apakah ini teras penyebabnya?

Ia masih boleh dibahaskan tetapi usaha memartabatkan bahasa terletak bukan saja di tangan atau pundak para guru atau pencinta bahasa, malah di tangan masyarakat umum – ibu bapa, karyawan, penggiat pertubuhan persuratan, pemimpin masyarakat dan pemimpin politik – juga.

Lihat sahaja kebanyakan program sosial atau pendidikan kendalian badan-badan Melayu hari ini menggunakan bahasa Inggeris.

Padahal, kumpulan sasarannya ialah orang Melayu sendiri.

Ini mencerminkan betapa tiadanya kesungguhan daripada pucuk kepimpinan Melayu kita sendiri untuk memartabatkan bahasa yang sememangnya mengukuh jiwa bangsa.

Ini belum termasuk penggunaan bahasa Inggeris secara sewenangwenangnya oleh pemimpin masyarakat kita dalam menyampaikan ucapan di majlis-majlis yang anehnya rata-rata dihadiri orang Melayu.

Harus diingat, bahasa Melayu kita tetap Bahasa Kebangsaan Singapura. Ini perlu dihayati.

Benar, zaman berubah dan penyejagatan menuntut pendekatan baru dan berani untuk kita keluar daripada kepompong kelesuan demi mengorak langkah yang lebih dinamis.

Tetapi itu tidak bermakna kita harus menggadaikan bahasa Melayu. Bahkan kemajuan kita sebagai anggota rumpun Melayu akan tampak pincang tanpa penguasaan bahasa ibunda.

Hujah bahawa dengan berbahasa Inggeris sahajalah kita mampu ‘selari’ dengan tuntutan globalisasi merupakan alasan sempit dan cetek.

Sebenarnya, kefasihan bertutur pelbagai bahasa, termasuk bahasa ibunda (di sini bahasa Melayu untuk orang Melayu) memaparkan lambang tamadun.

Usah dinilai bahasa Melayu sekadar untuk berpuisi (menulis atau membaca sajak, pantun dan syair) sahaja. Di Indonesia dan Malaysia, ia sudah menjadi bahasa ilmu pengajian tinggi.

Ia warisan poyang yang bertujuan memperkasa zuriatnya agar kita memiliki harga diri.

Komentar | Pandangan
Berita Harian , Isnin
5 Oktober 2009
16 Syawal 1430H





Sebab PBB masih gagal membawa perdamaian

16 01 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

SERANGAN Israel ke atas wilayah yang ditadbir parti Harakat Al-Muqawamat Al-Islamiyyah atau Gerakan Pejuang Islam (Hamas) di Jaluran Gaza, Palestin, hampir melepasi minggu ketiga.

Hampir 1,000 penduduk kawasan itu telah terkorban – sepertiga kanak-kanak.

Sehingga kini Israel terus membedil secara besar-besaran wilayah yang pernah didudukinya selama 38 tahun – tanpa sedikit pun mempedulikan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar gencatan senjata dilaksanakan.

Hamas juga gigih membedil demi mendapatkan semula tanah Palestin daripada jajahan Israel.

Persoalannya sekarang, mengapakah PBB – sebagai badan utama yang memayungi kesejahteraan manusia sejagat – gagal mendapatkan kerjasama atau mempengaruhi kedua-dua pihak agar berhenti daripada menyerang satu sama lain?

Dilihat dari sudut sains politik dan perhubungan antarabangsa, kegagalan itu disebabkan perbezaan dalam dukungan ideologi politik antara ketiga-tiga pihak.

Secara teorinya, penubuhan PBB diasaskan ideologi institusi liberalisme (liberal institutionalism), manakala penakatan Israel dan Hamas pula bersandarkan realisme (realism).

Secara asasnya, pendukung ideologi institusi liberalisme ini melihat hubungan antara negara bukan hanya bersandar pada politik malah kerjasama ekonomi dan integrasi antara masyarakat dan negara.

Jalinan kerjasama sedemikian, menurut mereka, mampu menjadikan dunia lebih aman, dengan masyarakat berlainan bangsa dan negara hidup rukun bersatu padu.

Jika ini hujah mereka, mengapa dunia terus digegar peperangan demi peperangan?

Dalam konteks hidup hari ini, mengapa PBB gagal mendapatkan kerjasama Israel untuk menuruti perintah gencatan senjata menerusi resolusi yang dikeluarkan badan dunia itu?

Hal ini turut disuarakan cendekiawan sains politik, Profesor John J. Mearsheimer, menerusi tulisannya, The False Promise of International Institutions (Janji Palsu Institusi Antarabangsa).

Profesor Mearsheimer mentakrifkan ‘institusi’ sebagai badan jagat yang melakar peraturan atau undang-undang yang menentukan bagaimanakah seharusnya sesebuah negara itu bersaing dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Institusilah yang menetapkan perlakuan sesebuah negara dan mereka jugalah yang mengharamkan perlakuan-perlakuan tertentu,” ujarnya.

Peraturan ini, menurutnya, ditentukan menurut persetujuan antarabangsa yang ketetapannya diterima secara formal.

Apa yang pasti, setiap negara yang menganggotai institusi antarabangsa dikehendaki menyetujui peraturan yang telah dilakarkan itu.

Namun, sesebuah negara anggota bebas membuat pilihan – sama ada ingin menuruti peraturan yang telah ditetapkan itu ataupun tidak.

Andainya sesebuah negara anggota memilih untuk tidak menuruti ketetapan peraturan badan yang dianggotainya itu, tiada banyak pilihan apatah lagi ‘hukuman’ yang boleh dilaksanakan ke atas negara anggota yang ‘ingkar’ – kecuali mengecam dan mencela atau menyarankan sekatan ekonomi.

Ini kerana badan dunia seperti PBB, secara hakikatnya, bukanlah badan yang mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negara-negara dunia.

Bagi pendukung realis, inilah kelemahan utama PBB sehinggakan banyak negara mengambil kesempatan atas kelemahan ini untuk kepentingan mereka sendiri.

Keutuhan PBB lebih runcing dengan adanya kuasa veto pada lima negara kuasa besar – Amerika Syarikat, Russia, Britain, China dan Perancis.

Kuasa veto ini menyebabkan PBB sering dilihat masyarakat dunia bagai harimau tanpa kuku, apalagi taring, untuk mencakar dan membaham mereka yang memperkosa prinsip agungnya – iaitu keamanan jagat.

Disebabkan kelemahan ini, para pendukung realisme merasakan kewujudan sebuah badan seperti PBB, meskipun baik, tidak akan mampu mencapai objektifnya.

Sesebuah negara, menurut prinsip realisme, akan bertindak dalam apa cara sekalipun, semata-mata untuk penakatan dan meluaskan pengaruh dan jajahan mereka.

Realis secara umumnya melihat keadaan politik dunia sebagai ‘suram’ dan sistem antarabangsa sebagai ‘medan pertempuran’ di mana setiap negara cuba mengambil kesempatan atas kelemahan negara/wilayah lain.

Hal ini malah turut diakui pendukung institusi liberalisme bahawa sesebuah negara itu pada dasarnya akan membuat sesuatu tindakan – baik atau buruk – berdasarkan kepentingan mereka sendiri.

Cendekiawan sains politik terkemuka, Profesor Alexander Wendt, malah berpendapat terdapat tiga faktor yang ‘diandaikan’ oleh sesebuah negara, iaitu menganggap sesebuah negara lain sebagai seteru, pesaing ataupun sebagai rakannya.

Bagi setiap anggapan ini pula terdapat budayanya yang tersendiri bersandarkan tiga faktor lain iaitu kepentingan, keterpaksaan dan kewajaran.

Ini, jika dilihat dalam konteks konflik Israel-Hamas, mendedahkan kepada kita betapa politik, secara sendirinya, amat rapuh.

Ini kerana sejarah peradaban manusia menunjukkan bahawa sesuatu kaum atau sesebuah negara lazimnya bersedia bertindak ganas ke atas sebuah negara atau wilayah lain demi penakatan dan peluasan kawasan jajahan mereka – seperti yang tercatat dalam kisah Perjanjian Westphalia pada 1648.

Para sarjana politik sering menganggap perjanjian damai yang dicapai di Eropah pada tahun itu menjadi titik-tolak pada pelaksanaan sistem politik moden – corak pemerintahan yang kita lalui hari ini.

Di bawah sistem Westphalia, kepentingan, matlamat atau agenda sesebuah negara mengatasi kepentingan seseorang individu atau pemerintah.

Sistem ini seakan-akan ‘menghalalkan’ tindakan sesebuah negara atau wilayah menggunakan pengaruh termasuk segala kekuatan ketenteraan bagi menumpaskan lawan – tanpa perlu melenyapkan mereka – demi mencapai hasrat politik yang terpendam.

Mungkin hal yang sama dapat kita lihat menerusi konflik ini.

Berita Harian | Komentar
16 Januari 2009
19 Muharam 1430
Jumaat








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.