Mesti bijak kemudi kapal

30 01 2009

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

DI SELA-SELA kesibukan tugas, saya sempat bersembang di alam maya, dengan seseorang dari kaum Hawa – kawan lama.

Beliau juga seperti wanita muda lain, belum berumahtangga, dan gigih meniti tangga jaya.

Saya bertanya padanya, pada usia yang mula menjangkau 30 tahun, mengapa masih belum berumahtangga?

Jawabnya, masih belum temui pasangan yang sesuai – baik di mata mahupun di hati.

U memilih sangat… nanti jadi anak dara tua,” seloroh saya.

Jawapannya pada seloroh saya itu ringkas, tapi amat bermakna.

Katanya:

I tak kisah, dia Jawa ke Boyan ke atau ada darah Benggali ke, yang penting I inginkan seorang lelaki yang mampu memberikan kestabilan kepada keluarga di masa-masa yang tidak stabil, dan kestabilan itu bukan sekadar sediakan duit je untuk I dan keluarga.

“Lebih penting lagi, kalau nak jadi suami dia harus mampu memberi kestabilan dari segi emosi dan psikologi.

“Masa ni, I belum ketemu lagi calon macam tu.

“Ada beberapa Mamat Melayu yang I date dalam setahun dua ni, baik graduate (lulusan universiti) dan bukan graduate, tapi dorang lebih sibukkan soal cinta, baru jumpa… dah sibuk nak pegang tangan, jeles (cemburu) tak bertempat.

“Pantang fon I bunyi, sibuk nak tau siapa call (hubungi), siapa sms (kirim khidmat pesanan ringkas).”

Alamak ai!

Berat betul jawapan cik kak ni pada sendaan saya tadi. Dalam baik, saya terkesan juga dengan kata-katanya.

Saya tak nafikan, Mamat Melayu bila bercinta memang tangkap lentok, romantik habis!

Jangan cakap kahwin, belum apa-apa lagi si Mamat dah sibuk suruh si Minah panggil dia ‘papa’, dan dia panggil si Minah, ‘mama’.

Geli!

Sesetengahnya lebih sibuk bercinta tapi tak peduli gaji yang kekal kecil sejak bertahun-tahun.

Tak senang nak pertingkat diri, tidak bersedia bekerja lembur apabila keadaan memerlukan, lebih senang membiarkan anak-anak bersendirian tanpa belaian kasih bapa, hingga apabila mereka dewasa hidup jadi tidak keruan.

Lebih buruk lagi ada sesetengah Mamat Melayu meninggalkan tanggungjawab memberi nafkah saat bercerai.

Memalukan.

Dalam hati ni berkata, mungkin ada benarnya aduan atau sungutan kaum Hawa baru-baru ini bahawa sesetengah lelaki Melayulah yang menjadi punca permasalahan sosial dalam masyarakat kita.

Saya tanya lagi pada rakan saya tu, apakah jawapannya tadi sebagai menidakkan kemampuan lelaki Melayu dalam mengemudi atau melayari bahtera keluarga ?

Jawabnya:

I impikan seorang lelaki yang kuat semangat, tetapi pada masa yang sama, tahu daya kekuatannya terhad, tetapi masih tetap mencuba, memberi kebahagian, keamanan dan memastikan keselamatan keluarganya terjamin.

“ Mungkin I silap, tapi nampaknya, Melayu sekarang kurang daya tahan, lembik.”

Adoi!

Tatkala itu juga beliau ajukan lagi soalan kepada saya:

“Apakah yang harus dilakukan nakhoda bila kapalnya berhadapan dengan ribut?

“Dia terjun ke laut untuk selamatkan diri dia sendiri aje dan biarkan kapal dan anak-anak kapal terkapar-kapar melawan badai dan akhirnya tenggelam?

“Atau, dia memimpin anak-anak buahnya dan berusaha mengharungi cabaran getir itu semampunya?”

Aduh!

Terkena lagi kaum Adam kita, kata hati saya.

Rakan saya kemudian menyambung hujahnya:

I fikir lelaki secara keseluruhannya punya kemampuan jadi nakhoda yang baik.

“Tetapi sebagai nakhoda, u harus tahu kekuatan diri u, kapal u dan kemampuan anak-anak buah u, tapi jadi nakhoda yang terbaik pun tak guna kalau sendiri tak sedar kapal tu sebenarnya bocor!

“Tak guna jadi nakhoda kalau dari awal impi nak bersenang-senang atas kapal tapi tak mau usaha pastikan keselamatan kapal terjamin.

“Buat apa jadi nakhoda tak bertanggungjawab, u beri impian kosong kepada anak-anak kapal ada pelangi di hujung pelayaran, tapi walhal tak lama lepas angkat sauh, kapal pun tenggelam.”

Hmm… saya mula menggaru kepala yang tidak gatal dan fikiran mula memikirkan kata-katanya itu.

Tidak dapat tidak, saya akui hujah rakan saya itu kental dan bernas.
Entah kenapa, mungkin kerana kesibukan tugas sembang kami terhenti di situ sahaja.

Namun, ia tidak menghentikan perbincangan itu dari terus bermain di fikiran.

Dari sembangnya itu, saya merungkai satu mesej penting:

Sebagai Adam kita mesti mampu mengemudi kapal dan bersedia meredah gelora dunia, jangan sampai bahtera keluarga karam, dan bila kita sendiri tewas pada keadaan itu, janganlah jadi pengecut dan larikan diri.

Namun tatkala sibuk menulis pojok ini, saya perasan yang kita dah pun masuki Tahun Baru.

Jadi bagi kaum Adam, apa azam kita kali ini?

Saya syorkan, kita belajar semula erti: malu dan harga diri.

Berita Harian | Ekstra
30 Januari 2009
3 Safar 1430H
Jumaat





Elak jadi katak yang direbus di zaman gawat

26 01 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

KEMELESETAN ekonomi bukan satu igauan tetapi hakikat perih.

Kelmarin, seorang rakan lama (ditemui selepas lebih dua dekad meninggalkan bangku sekolah) berkata baru dibuang kerja.

Selama 10 tahun beliau bekerja di syarikat kejuruteraan jitu. Tetapi pampasannya?

Cuma setengah bulan gaji untuk setiap tahun beliau bekerja.

Ini bermakna jika beliau bergaji $2,000 sebulan misalnya, beliau hanya menikmati pampasan sebanyak $10,000 ($1,000 darab 10).

Ditolak caruman 20 peratus ke Tabung Simpanan Pekerja (CPF), beliau hanya membawa pulang $8,000.

Dengan kos kehidupan yang melambung, secukup manalah pampasan itu!

Minggu lalu pula, seorang lagi rakan yang baru setahun bekerja di sebuah syarikat utama di sini dimaklumkan kontraknya selama setahun tidak akan disambung.

Mujur beliau berjaya mendapat pekerjaan baru – juga secara kontrak – tidak berapa lama kemudian.

Kededua rakan saya itu perlu menanggung isteri dan anak yang bersekolah.

Cerita mereka bukan suatu yang asing.

Menurut pemangku Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong, jumlah pemberhentian kerja tahun ini mungkin melepasi paras 30,000 – seperti yang dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998.

Tahun lalu sahaja, lebih 10,000 orang diberhentikan kerja.

Benar, lebih 30,000 pekerjaan dijangka diwujudkan dalam tempoh kegawatan ekonomi sekarang.

Namun persoalannya, adakah para pekerja Melayu/Islam kita yang diberhentikan itu mempunyai kelayakan untuk mengisi pekerjaan yang ditawarkan itu?

Bak kata seorang rakan, ini soalan cepumas.

Jawapan saya mudah: mengapa tidak?

Satu perkara yang tidak ramai sedari ialah sokongan padu pemerintah kepada warga yang menganggur atau menghadapi risiko diberhentikan kerja, agar dapat berdikari lagi.

Ini dilakukan menerusi pelaksanaan Program Kemahiran bagi Peningkatan dan Ketahanan (Spur).

Selayang pandang, Spur tidak ubah seperti program lain yang menarik warga pekerja atau penganggur mempertingkatkan diri.

Namun sebenarnya, Spur memang satu pelaksanaan bernas.

Menerusi program $600 juta itu, para pekerja boleh menikmati subsidi kursus peningkatan kemahiran lebih tinggi – sehingga 90 peratus.

Lebih menarik lagi, penganggur berkemahiran rendah yang mengikuti Spur akan diberi elaun.

Meneliti secara mendalam, kita akan dapati Spur sebenarnya satu pendekatan secara senyap pemerintah memberi ‘perlindungan’ kepada kedua-dua golongan – pekerja dan penganggur – daripada menjadi mangsa kemelesetan. Ia macam insurans pengangguran secara tidak langsung.

Seharusnya peluang ini dimanfaatkan, apatah lagi ramai tenaga kerja Melayu/Islam tergolong dalam kumpulan kolar biru dan bergaji kecil.

Tambahan pula keadaan ekonomi dijangka menjadi lebih tenat selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) baru-baru ini merubah ramalan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) daripada -2 dengan 1 peratus kepada -2 sehingga -5 untuk 2009.

Satu perkara yang perlu kita sedari, kemelesetan ekonomi telah menjejas hampir semua sektor utama yang menjadi nadi pembangunan negara ini.

Ini menunjukkan Singapura tidak terlepas daripada kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia.

Jadi apa tindakan kita?

Tampaknya sesetengah orang kita macam bersikap agak berbeza dalam hal ini.

Lebih ramai bercerita pasal nasib penduduk Gaza dan bersolat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mangsa serangan Israel itu – seolah-olah tahap kekhuatiran yang serupa tidak terpancar pada kemelesetan ekonomi kini. Padahal soal periuk nasi bukan soal mudah.

Mungkin, dalam kalangan kita lebih suka mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

Pendekatan semacam ini sebenarnya membawa bersamanya satu risiko besar.

Ini kerana mengambil sikap sudah terhantuk baru terngadah akan menyebabkan kita terlewat untuk mengejar peluang yang wujud sekarang.

Susur saja halaman Forum akhbar ini sejak beberapa bulan lalu. Boleh dibilang jari surat mengenai peri penting peningkatan kemahiran atau daya saing dalam sekitaran pasaran yang mendesak.

Terdapat dua kemungkinan dalam hal ini.

Sama ada masyarakat Melayu/Islam kita ‘tidak kisah’ dengan soal pemberhentian kerja, atau merasakan ia sebagai satu dugaan hidup ‘biasa’ yang perlu diharungi.

Andai ini persepsi sebenar, maka ia satu kesilapan besar yang perlu dielakkan.

Apa yang perlu disedari ialah dalam menghadapi kegawatan ekonomi hari ini – yang terburuk pernah dicatatkan dunia – masyarakat Melayu/Islam Singapura perlu elak daripada menjadi katak yang direbus.

Maknanya, elak daripada menjadi katak yang berasa selesa berada dalam mangkuk sambil menikmati air sejuk tanpa menyedari cuaca panas di luar.

Akhirnya air itu perlahan-lahan mendidih dan menggelegak. Katak itu hilang daya dan tenaga untuk melompat keluar daripada mangkuk tersebut.

Usahlah dek krisis ekonomi, nasib kita bak katak itu.

Berita Harian | Komentar
26 Januari 2009
29 Muharam 2009
Isnin – Tahun Baru Cina





Usahakan imej bersih

30 08 2008

SUARA ADAM

Golongan berumur harus ketengahkan contoh baik
untuk diteladani si muda

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SAYA dah tak tahu apa lagi nak cakap. Baru dua minggu lalu saya paparkan sikap sesetengah kaum Adam kita yang malas jaga penampilan diri.

Kalau si muda nampak ’selekeh’, kebelakangan ini pulak yang berumur pun dah macam terjangkit, hingga ‘terserlah’ serembah-serembihnya.

Baju yang dipakai bukan saja nampak dah lusuh, gosokannya pun tak licin, hingga nampak garis gosokan tak tentu arah – macam budak kena rotan, berbilai.

Dah tu, rambut tak disisir rapi, jambang dan misai pun tak terurus. Songkok yang dipakai pun nampak berlapuk.

Gigi pula kuning jer…

Apa dah jadi ni pak cik?

Jangan gitu ah… tak bermakna umur makin lanjut kita dah tak perlu jaga keterampilan diri.

Malah, Islam sendiri menggalakkan umatnya sentiasa berimej bersih dan kemas.

Ini kerana ia mencerminkan keperibadian seseorang.

Sebagai seorang yang gemar memerhati gelagat masyarakat, saya berasa sungguh ironis kerana seharusnya mereka yang dah berumur ketengahkan contoh yang baik untuk diteladani golongan muda.

Tetapi sejak akhir-akhir ni kedua-dua generasi dah macam ‘pelanduk dua serupa’ – sama saja lagaknya – sama selekeh, sama serembah-serembih.

Baru-baru ni misalnya, semasa dalam MRT seorang pak cik berdiri depan saya.

Maaf cakap, perutnya mengalahkan si ikan buntal.

Seharusnya dia memakai baju yang agak besar sedikit tetapi tidak.

Dia pakai kemeja polo ‘Montagut’ yang kecil sedikit daripada saiz badan. Jadi amat terserlah kegendutannya.

Paling ‘best’ sekali, pusatnya betul-betul kat depan mata saya.

Sawan kita oi!

Itu satu hal, ada juga pak cik-pak cik kita ni macam tak tahu yang dalam dunia ni ada satu benda yang dipanggil ‘minyak wangi’.

O.K. kalau ya pun pak cik-pak cik, anggap ‘minyak wangi’ yang biasa dijual di kedai-kedai tu sebagai haram kerana dicampur alkohol, kita kan punya pilihan lain – minyak attar.

Kenapa tak gunakan?

Bukan susah nak dapat. Kat Geylang Serai, kat Kampong Jawa merata orang jual, tak mahal.

Lagipun, minyak attar bukan hanya untuk dipakai masa nak pergi sembahyang Jumaat saja.

Pakailah pak cik… ia mampu hilangkan bau keringat dan bau ketiak yang menusuk hidung tu.

Err… seperkara lagi pak cik, kalau nak pakai kasut, mesti pakai stokin.

Bukan apa, stokin dapat resap peluh kaki, jadi kaki kita tak berbau hangit apabila buka kasut.

Sebenarnya dalam soal penampilan diri ni kan, sesetengah kaum Hawa yang saing-saing umur pun sama serembah-serembihnya.

Iyalah, wajah lesu tak berbedak, tak bergincu.

Mentang-mentang usia dah nak masuk maghrib, pakai baju pun kena yang suram-suram warnanya, saiznya pun sama besar macam gebah.

Jangan gitu ah mak cik…

Walau dah berusia, kaum Hawa perlu sentiasa kekalkan penampilan menarik.

Hmm… satu lagi mak cik, rajin-rajinlah bersenam, biar kurang sikit lemak-lemak yang ‘terjojol’ di perut dan di punggung tu.

Saya katakan hal ni bukan apa, tapi apabila mengenangkan perut dan punggung mak cik yang ‘melambak’ apabila duduk tu… alahai…!

Jadi, ginilah mak cik, sekarang ni ramai di kalangan kita hadapi penyakit moden – kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, yang selalunya berpunca daripada kegemukan.

Jadi rajin-rajinlah bersenam.

Pak cik pun mesti senam sama, biar kurang sikit gendutnya tu.

Oh ya, sebelum saya lupa: Buang rokok tu, buat kotorkan gigi saja…

Jadi hensem sikit!

Berita Harian | Ekstra!
Halaman 42
Sabtu, 30 Ogos 2008
28 Syaaban 1429H