Azam untuk si ‘dungu’

3 01 2010

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

DIAM tak diam, kita telah pun melangkah masuk ke tahun baru Hijrah 1431 dan kini menikmati pula tahun baru Masihi 2010.

Sebagai Adam, apa azam kita?

Bagi kebanyakan sang Adam, tentunya azam kita antaranya tertumpu kepada beberapa perkara berikut:

  1. Kurangkan berat badan, rajin bersenam
  2. Tingkat kemahiran diri, kuasai ilmu
  3. Lebih rajin berjimat/tingkat sumber kewangan, mantap ekonomi keluarga
  4. Luang masa pererat hubungan, tingkat kasih sayang anak-isteri
  5. Tingkat bakti, perkukuh sendi masyarakat
  6. Lebih bercakap dalam bahasa Melayu dan menghargai budaya, ia cermin jiwa bangsa.

Tidak dinafikan, ada juga sang Adam kita yang begitu bersungguh-sungguh berazam mahu mendapat kerja lebih baik dengan gaji lebih tinggi berbanding yang ada sekarang. Malah, ada juga yang tidak segan silu umumkan kepada ramai, azam mereka untuk bertunang atau berkahwin pada tahun ini.

Saya tidak hairan jika ada mat-mat Melayu kita mati-mati nak bernikah pada 20 Oktober 2010 pada 20:10 malam.

Apapun azam kita, jika ia sesuatu yang baik, wajar diusahakan sampai terlaksana. Tetapi terdapat satu lagi kelompok Adam yang kalau boleh, ingin sekali saya kemukakan azam baru untuk mereka.

Apatah lagi, mereka inilah yang sering ‘buat kotor buku’ masyarakat kita. Bagi golongan ini, saya syorkan beberapa azam yang harus mereka praktikkan, biar jadinya nanti, mereka lebih bertanggungjawab – tidak menyusahkan diri sendiri dan orang-orang di sekeliling mereka.

Azam yang saya perturunkan ini juga mesti sentiasa berdengung dalam kepala otak mereka – bak azimat:

  • Apabila lakukan hubungan seks di luar nikah, mesti pakai kondom.

Jadinya, anak-anak gadis yang mereka rosakkan, taklah pula mengandung tak tentu pasal dan terpaksa menggugurkan kandungan itu.

  • Sebelum lakukan seks, mesti tanya si mambang, sama ada mereka subur atau tidak, satu cara untuk bantu si mambang elak mengandung.

Kenapa semua ini perlu?

Ini kerana ramai di kalangan sang Adam kita, dalam soal seks, tidak gunakan akal yang dianugerah Tuhan.

Entah kenapa, apabila bab seks, mereka gelojoh dan rakus – mudah ‘terjun’ tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Sudahlah begitu, apabila dapat tahu mambang dah mula nak terberanak, mereka cabut lari.

Si mambang pun satu perangai, entah kenapa, dengan mudah memberi – terlentang terlungkup tak mengapa – demi cinta.

Poorah!

Saya beri saranan-saranan ini bukan bererti saya sokong remaja kita lakukan seks luar nikah. Tidak sama sekali. Malah, mereka seharusnya berhenti daripada melakukannya sehingga berumah tangga dan pada masa ini tumpukan pada pelajaran demi masa depan lebih baik.

Tetapi kerana menyedari seks itu suatu fitrah, tidak dapat tidak kita perlu menanganinya dengan cara yang lain, apatah lagi tegahan daripada sudut agama, soal halal haram sudah lama diketepikan golongan ini.

Dinasihat secara baik dan lembut dan tegas sekalipun tidak diendahkan. Didedahkan akan risiko menghidapi HIV atau Aids pun, golongan ini tak peduli. Dicakap berkali-kali, dibuat juga.

Disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dan kebebalan mereka ini, masyarakat kita mulai ‘dibanjiri’ anak haram.

Disebabkan ‘kedunguan’ sekelompok Adam dan sekelompok Hawa inilah, masyarakat perlu menanggung beban mereka.

Untuk kita salahkan ibu bapa si Adam dan si Hawa ni pun tak guna kerana depan orang tua, kelompok yang harus kita sifatkan sebagai ‘dungu’ ni amat baik perilakunya.

Pijak semut tak mati beb!

Jadi sebagai seorang yang lebih senang berterus-terang, saya harap dengan azam yang syorkan ini, ia dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban yang selama ini ditanggung masyarakat kita dek perbuatan tak bertanggungjawab sang-sang Adam ini.

Selamat tahun baru semua!

Ekstra | Suara Adam
Berita Harian
1 Januari 2010
15 Muharram 1431H
Sabtu





perjalanan ini

11 08 2009

(dari Mesir ke Palestina)

I

DIMULAKAN dengan bismillah dan langkah kanan dan ratipan seribu Ya Latiff, seruan ikhlas dari dasar hati buatmu Ya Rabb… sekali mencari yang zahid. Bertawakal pada nur-Mu, Ya Rahman, pencarian ini adalah yang tulus menyedari laluan yang dilalui bukan jalan lurus.

Permulaan ini satu pengabdian, satu!

Dari tapak-tapak kecil di sebuah kota asal pulau, langkah-langkah ini Ya Malik, sebagai menghargai anugerah zat-Mu yang bertemali sejak zaman poyangku.

Ya Kudus… dari setiap helaan nafas ini tidak sekali ada penyesalan. Setiap langkah adalah munajat, paksi keimanan. Sekali ku lontar… gema nama itu adalah laungan buatmu Kekasih… mengisi tiap inci dan sudut ronggadada.

Engkau lebih mengerti, sang Kekasih, bahawa kerinduan ini tidak mampu ku tawan dengan dakapan, hanya penyerahan… tuntas!

Tiba di kota tua, sekali pernah didiami raja-raja, pembawa petaka, mengusik sukma.

Ya Jabbar, kematian bukanlah yang akhir. Ia satu permulaan dan aku di sini menyusuri laluan masa itu, mengenangi azabmu pada Firaun.

Maha suciMu… sekali aku mengimbas keperkasaannya, sekali aku menginsafi keunggulan diKau.

Di lapangan ini aku saksi indahnya ciptaanMu. Di tengah-tengah dada malam Ya Latif, aku menyorot setiap laluan waktu Islamku dan mengerti, Engkau Ya Rahim, adalah kekasih yang kekal dan akulah yang kerap tewas dikucup bibir masa, lemas dibuai leka dakapan waktu hingga mengenepimu, matahatiKu.

Sehari sesudah, diri menyusur Sungai Nil dan tidak sekali aku melupai Musa – penyubur benih kasihMu.

Kesungguhannya menjulang keesaanMu Ya Aziz, mengusik matajiwaku. Memikirkan kesetiaannya, munajatnya di Bukit Sina, mengingini diKau mewajahi zatMu, buat aku terpana dalam mengerti fitrah cintanya.

Hari berlalu dan aku keesokannya ke rumah sakit Palestina, Mesir. Menemui anak-anak itu belasan ujian, dari kampungan Gaza kata mereka, senang menyambut hadirku dengan senyuman yang dibuat-buat – bagi menutupi sendu.

Tanyaku pada mereka, mengapa ini kejadian?

Jawab mereka, kami rata-rata dalam perjalanan pulang pak, bila bom-bom itu gugur dan apinya menyambar. Kami parah sedang yang lain mati terbakar, butiran peluru menembusi lengan dan paha, balas mereka dengan senyuman duka, menyembunyi nestapa.

Aku tidak mampu bersuara.

Ya Razak, perjalanan ini kuteruskan…

II

Aku di Baitulmukaddis. Memula langkah dalam keadaan serba celaru. Ya Ghafur, mengapa sebesar ini ujianmu, apakah Palestina ini yang kekal sehingga akhirnya? Apakah ini hukumnya pada yang tidak sekali mensyukuri kurniaanMu?

Aku terpukul.

Aku menyusur laluan itu dan tiba di perkarangan Al-Aqsa.

Heningnya begitu mencengkam dadajiwa. Ya Hamid, mengapa tidak setenang ini di luar sana? Azan itu, mendayu memanggil ku. Laungannya buat aku terpana. Di lelangit kubah, adalah penangkal keimanan cerminan Izzati.

Allah Maha Besar…
Allah Maha Besar…

Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Di Kau…

Subhanallah… kekata lahir dari bibir, luahan sanubari.

Aku berdiri dekat tangga di bawah pohon yang lama mendepani Kubah As-Sakra, melihat sekeliling dan diri kerdil ini begitu memahami betapa keheningan di bumi Aqsa adalah mukjizatMu.

Ya Jalil, solat dan sujudku tika itu bukan hanya pengabdian tetapi pengharapan tuntas: Kembalikanlah keamanan di Palestina!

Aku tidak mampu lagi menyaksi gugurnya satu persatu jiwa bangsa.

Cukuplah…

Ya Wahab, aku dambakan keamanan di sini, di bumi ini. Hulurlah kasihMu walau seberkas cuma.

Aku melangkah, menyusuri tiap inci ruang rumahMu, yang seketika meraikan mikraj Rasulullah.

Tuhan… Seandainya di luar sana setenang di sini, tanpa hiruk-pikuk yang bertemali, ia kan begitu mewajahi keihsananMu?

III

Pulangku dan di bumi ini, terasa benar rindu.

Ya Malik, apakah kita kini menjauh setelah Aqsa ku tinggalkan? Atau perasaan itu lahir atas kehilangan yang dirasai?

Terngiang-ngiang di telinga kata-kata itu, diucapkan anak-anak Palestina.

Pak, tempat ini kata ninda, adalah peninggalan poyang yang seharusnya diwarisi.
Tapi kini tidak lagi setelah ia dirampas tanpa ihsan dan pengertian.
Pak, mengapa ini terjadi atas kami?

Ya Khaliq, ku pohon curahkan setitis kasihMu buat mereka.

Aku tidak mampu menangis lagi…

 
Alang Budiman
11 Ogos 2009
20 Syaaban 1430H
Selasa, 21:13:44 mlm





Usah jadi lelaki yang lupa tanggungjawab

31 07 2009

SUARA ADAM

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

ANDAI hasil tinjauan AskMen.com menggambarkan keadaan yang sebenarnya, maka kita perlu menerimanya dengan rasa syukur.

Ini kerana kaum Adam kelihatannya berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab.

Mereka bukan saja dikatakan memberi tumpuan kepada kestabilan dalam pekerjaan dan rumah tangga, tetapi juga lebih berhemah sewaktu berbelanja.

Membaca apa yang dinyatakan itu, ‘sejuk’ rasa hati ini.

Bukannya apa, naik pekak telinga ni mendengar sungutan apa lagi kecaman pedas kaum Hawa tentang sikap sesetengah Adam, yang dikatakan suka sangat mengabaikan tanggungjawab dalam menyara keluarga dan ibu bapa mereka.

Bukan itu saja, hati ini mudah terguris apabila sang Hawa tak habis- habis melabel kaum kita – kasanovalah, tak punya cita-citalah, suka berangan, syok sendiri, bergaya tapi papa, mat pokailah – macam-macam!

Jadi, apabila sesekali membaca sesuatu yang positif tentang Adam, diri ini melonjak gembira.

Tetapi, rasa gembira itu cepat berubah. Entah kenapa, hati ini rasa serba tak sedap.Benarkah kaum Adam kita sudah benar-benar berubah?

Apabila membaca dan meneliti semula laporan hasil tinjauan AskMen.com itu, satu soalan bermain di kepala:

Diantara sekian ramai mereka yang turut serta dalam hasil tinjauan itu, berapa ramai di kalangan mereka itu lelaki Melayu kita?

Suka atau tidak, hati ini berkata, mungkin ada tetapi cuma seorang dua…

Kalau begitu, apakah hasil tinjauan ini mencerminkan perubahan pada sikap kaum Adam kita?

Sedang soalan ini berlegar di minda, saya terbaca laporan ‘Pastikan pembayaran nafkah kepada bekas isteri terjamin’ yang disiarkan akhbar ini Selasa lalu (28 Julai).

Antara lain, laporan itu menyatakan, seramai 50,000 kanak-kanak terjejas akibat kes-kes perceraian sejak 10 tahun lalu.

Saya percaya, dan berani bertaruh (oops… tabik ustaz!) ramai diantara kanak-kanak yang menjadi mangsa perceraian ini adalah hasil perkahwinan orang Melayu kita.

Disebabkan hal itu, Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) mencadangkan supaya sebuah agensi pemerintah diberi kuasa mentadbir pungutan dan pengagihan wang nafkah.

Ini supaya pembayaran nafkah kepada bekas isteri dan anak- anak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Bagi memastikan pembayar nafkah menjalankan tanggungjawab moralnya dengan lebih baik pula, badan itu mengajukan satu idea yang bagi saya amat bernas – tunggakan kepada bekas isteri diubah menjadi hutang kepada negara.

Ini bagi saya tepat, kerana kelihatannya sang Adam – di kalangan orang kita terutamanya – ramai juga apabila sudah bercerai, tak ambil endah langsung tentang soal nafkah anak.

Jadi, dah tiba masa kita jangan bagi ‘can’ dengan orang-orang macam ni.

Memalukan kaum Adam je.

Iyalah… cuba bayangkan, tak lama lepas bercerai, agak ramai Adam kita yang kembali bujang, berkahwin baru.

Kalau tak di sini, di Batam, kalau tak di sana, di selatan Thailand.

Beb, ingat kahwin ni macam main masak-masak zaman kita budak- budak dulu ke?

Janganlah gitu, kita perlu juga fikirkan masa depan anak-anak kita kerana mereka membentuk generasi akan datang.

Andai kebajikan mereka tidak diendahkan, dan akhirnya hidup menjadi tak keruan hingga melukut di tepi gantang, siapa rugi?

Kita juga…

Berita Harian | Ekstra!
Jumaat, 31 Julai 2009
9 Syaaban 1430H








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.