Usah anggap usaha tangani masalah sebagai satu beban

13 12 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SEBAIK tersiarnya luahan terus terang Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, tentang tahap kebobrokan segolongan anggota masyarakat Melayu yang kian membimbangkan, ramai memberikan reaksi mereka.

Ada melahirkan simpati, ada pula sedia menghulurkan bantuan, sementara sebahagian lagi menyifatkannya sebagai “isu lama yang tiada kesudahan”, dan ada pula berkata “pemimpin Melayu seharusnya lebih agresif dalam mencari huraian pada masalah ini”.

Malah, telinga nipis saya turut menangkap perbualan tiga pak cik – kesemuanya dalam lingkungan umur 60-an tahun – semasa bersarapan pagi di kedai kopi dekat rumah pada Selasa lalu.

Kata seorang daripada mereka:

“Apa guna dorang ni (pemimpin Melayu) jadi pemimpin masyarakat kalau masalah keluarga pincang ni dorang tak boleh selesaikan?”

Jawab kawannya secara seloroh:

“Aku rasa dorang patut outsourcelah, sebab sekarangkan semuanya main outsource. Kalau dah bertahun pun tak selesai, kasi jer orang lain selesaikan masalah ni,” sindirnya tajam dengan disambut deraian ketawa.

Istilah outsource bererti sesebuah pertubuhan atau syarikat mendapatkan pihak luar untuk menjalankan segala kerja, pengurusan atau perkhidmatan, yang sepatutnya mereka sendiri laksanakan.

Natijah daripada kesemua respons ini?

Ada segelintir di antara kita masih memperlekehkan isu ini sementara sesetengah lagi melihat usaha menangani isu ‘keluarga pincang’ daripada sudut negatif – sebagai satu bebanan. Ini silap besar.

Sebaiknya, usaha menanganinya harus dilihat secara positif, betapa kudis yang lama bernanah dan mulai jadi pekung, jika dirawat sebaiknya mampu sembuh dan mencergaskan kembali daya tenaga masyarakat kita.

Tiga saranan boleh difikirkan.

Pertama, pastikan lebih separuh daripada lebih 7,000 kes keluarga Melayu menerima bantuan sekarang diperkasakan seberapa segera.

Antara masalah orang Melayu ialah kekurangan ‘fulus’ atau duit.

Disebabkan ramai anak, sang isteri tidak dapat keluar bekerja, dengan suami bergaji rendah, kurang $1,600 sebulan, keadaan hidup mereka tidak dapat dipertingkatkan.

Apa yang boleh dilakukan ialah, sebahagian wang daripada Dana Amanah Pendidikan (ETF) diperuntukkan untuk menanggung sebahagian besar kos yuran tajaka bagi anak-anak daripada keluarga pincang.

Ibu bapa daripada golongan ini diwajibkan menghantar anak ke tajaka tetapi hanya diperlukan membayar yuran nominal, mungkin $50 sebulan untuk setiap anak, bagi membolehkan mereka keluar bekerja.

Tetapi golongan ini perlu dibimbing rapi dalam mengurus kewangan mereka.

Badan yang membantu perlu punya pegawai bertindak seakan Pegawai Pemegang Harta dalam sesebuah kes muflis, membantu mengatur kewangan pasangan suami isteri ini dan pastikan dalam tempoh antara tiga dengan lima tahun, mereka mampu bangkit dan berdikari sebelum kemudahan tajaka ditarik balik.

Jika ini berjaya dilaksanakan, ia umpama pepatah sambil menyelam minum air kerana bukan sahaja kedudukan kewangan keluarga itu jadi mantap, malah kanak-kanak daripada keluarga pincang juga mendapat pendedahan pendidikan dari seawal usia dua, tiga tahun.

Ini amat genting kerana pada usia semuda itu, kanak-kanak akan punya kefahaman asas lebih kukuh, terutama sekali dalam penguasaan bahasa dan kemahiran kira-kira.

Langkah ini mungkin jawapan dalam mengatasi satu lagi permasalahan yang ditimbulkan Dr Yaacob, iaitu kelemahan murid-murid Melayu dalam Matematik yang sejak tiga tahun lalu hanya 56 peratus murid Melayu lulus Matematik di peringkat PSLE, berbanding purata nasional sebanyak 90 peratus.

Matlamat kita haruslah tidak menjadikan kemasukan ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebagai pilihan utama dan terakhir tetapi ke maktab rendah, atau politeknik dan akhirnya ke universiti.

Ketiga, mengawasi tahap kesihatan kanak-kanak daripada keluarga pincang terjaga.

Mungkin ada baiknya sebahagian wang Tabung Amal Aidilfitri (TAA) diperuntukkan sebagai subsidi bagi pelbagai suntikan wajib untuk kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun.

Mendekati isu ini dengan cara yang positif akan meningkatkan lagi dinamisme masyarakat kita – apatah lagi kita sendiri sering mengeluh sikap masyarakat kita ‘sentiasa lambat dan lembap’.

Sesetengah keluarga Melayu kita tidak harus kekal sedemikian.

Berita Harian | Komentar
12 Disember 2009
25 Zulhijjah 1430H
Sabtu





Dah siap Melayu hadapi ‘tsunami uban’?

7 09 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SINGAPURA bakal menghadapi ‘tsunami uban’ .

Dalam masa 20 tahun dari sekarang, jumlah warga tua berusia 65 tahun ke atas akan meningkat daripada 300,000 hari ini kepada 900,000 orang.

Ini bermakna, secara nisbah seorang daripada setiap lima warga Singapura berumur 65 tahun atau lebih pada 2030.

Nisbah sekarang ialah seorang bagi setiap 12 orang.

Dalam hal ini masyarakat Melayu kita tidak terkecuali. Lihat sahaja keadaan di masjid sekarang, jumlah warga tua uzur dan terpaksa menggunakan kerusi untuk menunaikan solat berjemaah kian ramai.

Bayangkan keadaan di masjidmasjid kita 20 tahun dari sekarang.

Oleh itu, sedang pemerintah giat memikirkan, melakar dan melaksana serta menyemak pelbagai dasar dan program bagi menangani cabaran penuaan, bagaimana pula kita?

Perkara ini perlu difikirkan segera. Elak mengambil sikap tunggu dan lihat, atau sudah terhantuk baru terngadah.

Suka atau tidak, satu perancangan teliti, menyeluruh dan berkesan mesti dilakukan demi memastikan masyarakat Melayu mampu mengatasi keadaan ini apabila tiba 2030 kelak.

Dari segi sumber tenaga misalnya, masyarakat Melayu juga, seperti masyarakat lain di sini, memerlukan lebih ramai karyawan bagi memenuhi setiap keperluan warga tua yang semakin rencam dan mencabar – daripada doktor ke jururawat, sehinggalah kepada ahli terapi, pakar pemakanan, kaunselor dan penasihat keluarga.

Kita perlu, mulai sekarang, memupuk di kalangan generasi muda minat menceburi bidang-bidang ini kerana mereka akan lebih mengerti akan gaya dan resam kehidupan masyarakatnya sendiri dan ini akan memudahkan mereka mencari huraian bagi pelbagai permasalahan – dari segi penyakit dan ragam – yang dihadapi warga tua Melayu.

Selain itu, perhatian perlu ditumpukan pada usaha-usaha memupuk kesedaran dan rasa cinta lebih mendalam di kalangan generasi muda hari ini tentang tanggungjawab mereka menjaga ibu bapa dan jangan mudah-mudah mencampak mereka ke rumah tumpangan.

Bukan apa, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan di mana-mana dek penyejagatan dan sesetengah warga muda kita akan lebih condong mendaki setinggi mungkin tangga kerjaya, soal penjagaan warga tua menjadi lebih runcing.

Yang nyata, kita perlu mengelak situasi anak-anak Melayu lebih mementingkan diri sendiri dan hanya terdorong mengejar kebendaan dan kemewahan semata-mata, sehingga tuntutan menjaga orang tua diserahkan kepada rumah tumpangan.

Secara terus terang, tanggapan umum bahawa orang Melayu dari dahulu hingga sekarang lebih bersedia menjaga ibu bapa mereka hingga ke akhir hayat berbanding bangsa lain secara perlahan-lahan mula terhakis.

Hakikatnya, sudah pun berlaku di kalangan segelintir masyarakat Melayu kita yang lebih rela memasukkan ibu bapa ke rumah tumpangan dan jarang menjenguk mereka – kerana melepas beban.

Kita perlu memastikan ia tidak menjadi satu trend atau amalan lazim di kalangan generasi mendatang.

Apatah lagi, pemerintah kini sedang mengkaji keperluan membuat pindaan ke atas Akta Penyaraan Ibu Bapa bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang melepaskan tanggungjawab menyara ibu bapa.

Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS), Dr Vivian Balakrishnan, menyatakan di Parlimen bulan lalu kementeriannya bercadang menyemak akta itu bagi memastikan anak-anak memikul kos penyaraan ibu bapa mereka dengan lebih adil.

Sangat diharapkan kemudahan rumah tumpangan warga tua yang disediakan badan-badan kebajikan atau badan bukan mencari untung Melayu/Islam hanya diperuntukkan untuk warga tua sebatang kara yang miskin dan melarat.

Bagi memastikan tujuan ini dapat dicapai, pendidikan dan persiapan rapi amat penting.

Dalam aspek pendidikan, pendekatan harus mencakupi aspek pengukuhan ikatan kekeluargaan, aspek emosi dan sumber kewangan. Ini penting kerana semakin tua seseorang ibu atau bapa, semakin banyak ragam dan penyakitnya.

Tanpa persiapan rapi dan sempurna, penjagaan warga tua kelak akan lebih dirasai sebagai satu beban, dalam aspek kewangan terutamanya.

Atas sebab itu, aspek pendidikan ini harus dipikul bukan sahaja oleh kaunselor keluarga, bahkan asatizah, guru, pemimpin politik, pemimpin masyarakat, dan kita semua.

Menyentuh soal persiapan pula, pemimpin kita perlu melakar dan menyiapkan satu kerangka jelas dalam mengenal pasti keadaan hari ini dan huraian terbaik saat 2030 tiba.

Kerangka ini harus mengenal pasti cabaran dan permasalahan yang akan dihadapi masyarakat Melayu, mencakupi aspek prasarana, skim dan sokongan.

Kita perlu meneliti setiap skim dan program yang dilaksana pemerintah dan mengkaji bagaimana ia dapat disepadukan dengan program yang badan Islam tawarkan demi kesejahteraan warga tua kita untuk jangka panjang.

Asasnya, masyarakat perlu jujur dalam menghadapi isu ini, apatah lagi kita sendiri bakal tua.

Insafi pesanan Rasulullah saw:

“Ingatlah bahawa sesungguhnya reda Allah itu terletak pada keredaan kededua orang tua. Maka janganlah kita mensia-siakan mereka apabila mereka sudah tua.”

Setiap kita akan menjadi seorang tua dan lemah dan akan bergantung pada anak-anak kita untuk menjaga kita.

Komentar | Berita Harian
Isnin, 7 September 2009
17 Ramadan 1430H





Bukan salah poligami tapi pelaksana

6 03 2009

SUARA ADAM!

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

DALAM beberapa bulan kebelakangan ini, sudah tiga rakan wanita saya mengeluh tentang sukarnya mencari pasangan hidup.

Menurut mereka, kebanyakan ‘jejaka’ yang berkenan di hati telah pun berpunya atau kini melayari bahtera rumah tangga.

Maklumlah, memandangkan mereka kini agak berusia – dalam lingkungan lewat 30-an – masalah mencari pasangan lelaki yang sesuai, seusia atau lebih tua, menjadi lebih genting.

Atas kesedaran itu, saya kata, jalan terbaik untuk mereka adalah menerima poligami atau cakap mudahnya, menerima realiti hidup bermadu.

Ini selain terus hidup membujang atau sedia mengahwini jejaka yang lebih muda atau terus berikhtiar mencari pasangan yang diinginkan – walau masa tiap detik kian suntuk.

Dan saya kaget apabila ketiga-tiga rakan (dalam perbualan secara berasingan), mereka sebenarnya telah memikirkan tentang itu dan berasa poligami sebagai jalan keluar terbaik.

Cuma kata salah seorang rakan saya itu, kaum Adam tidak bersedia tampil dan menyatakan kesediaan mereka untuk menerima tanggungjawab sosial itu.

Jawapan saya mudah: Andai soal poligami diusulkan kepada sang isteri, maka gegak gempitalah dunia.

Rakan saya mengakui hal tersebut dan berkata:

“Wanita yang telah berumah tangga keberatan untuk mengamalkan hidup berkongsi sebab sistem dan cara kehidupan moden lebih mementingkan diri sendiri.

“Lelaki pula tidak dapat sahut cabaran, merasakan syarat-syarat yang ditetapkan terlalu mengongkong sebab itu ramai, baik Adam mahupun Hawa yang telah berkahwin, lebih mudah jalinkan hubungan sulit.”

Hmm… Seorang lagi rakan wanita yang masih solo pula berkata poligami merupakan satu ciri unik bagi menangani keadaan tersebut, katanya.

“Mungkin era sekarang ni, lelaki ‘takut’ untuk bertanggungjawab kerana tanggungjawab yang disuguhkan kepadanya terasa ‘tidak larat dipikul dek badan”!

“Masyarakat telah mendefinisikan dengan terlalu runcing tanggungjawab yang perlu dipikul… dan tekanan masyarakat menjadikan suasana keluarga berpoligami ini macam ‘pressure cooker’,” ujarnya pula.

Fuh! Panas!

Tetapi apabila difikirkan, memang sukar untuk kaum Adam (yang berkemampuan maksud saya, yang tak mampu tu janganlah tiada beban batu digalas!) memberitahu si isteri yang dia nak kahwin lagi.

Risikonya terlalu tinggi, seseorang Adam itu boleh kehilangan keluarga dan segala yang telah dibinanya selama ini.

Jawapan seorang lagi Cik Hawa agak menarik, katanya:

“Sebab isteri telah dididik oleh masyarakat yang poligami ni gagal – gagal untuk menjanjikan kebahagiaan, keadilan dan ketenangan.

“Masyarakat pula terlalu lama percaya keluarga yang bahagia bererti seorang suami, seorang isteri dan anak-anak.

“Idea ‘seorang suami dan ramai isteri’ adalah formula yang pastinya menyebabkan sesebuah keluarga lebih daripada satu isteri pasti berantakan!”

Kata beliau dan dua lagi rakan wanita itu mengingatkan saya pada pojok tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Perlis, di akhbar Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurutnya, Islam apabila membenarkan poligami, seperti biasa menetapkan dalam setiap perkara peraturan dan disiplinnya.

“Soal berlaku baik dan adil kepada isteri bukan sahaja diwajibkan untuk mereka yang berpoligami, bahkan kepada sesiapa yang bermonogami juga wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada isterinya.

“Jika ada kecuaian mereka yang berpoligami bukan bererti poligami itu buruk, tetapi sikap pelaksananya itu yang salah.”

Tepat sekali kenyataan beliau itu.

Memandang sekeliling, dengan semakin ramai wanita kini berpendidikan tinggi dan bergaji besar dan jumlahnya secara keseluruhan melebihi lelaki, bukankah baik masyarakat menerima poligami sebagai satu jalan keluar, daripada menanggung beban perceraian atau permasalahan sosial disebabkan hubungan sulit kerananya?

Mungkin Adam perlu pendekatan berlainan dalam membantu merubah tanggapan Hawa tentang poligami.

Sebagai seorang Adam, saya juga cuba berbuat demikian – dengan mengetengahkannya di pojok ini.

Berita Harian | Ekstra
Jumaat, 6 Mac 2009
9 Rabiulawal 1430H








Follow

Get every new post delivered to your Inbox.