Chairul Fahmy Hussaini bertugas sebagai wartawan di Berita Harian/Berita Minggu Singapura sejak 2000.
Sepanjang kerjayanya beliau telah memenangi beberapa anugerah kewartawanan termasuk Anugerah Berita Terbaik Tahunan 2003.
Selain tumpuannya pada bidang kewartawanan, beliau juga aktif dalam penulisan sastera kreatif sejak awal 90an dan lebih dikenali menerusi nama pena, Alang Budiman.
Selama penglibatannya, penulis telah memenangi pelbagai anugerah sama ada menerusi penyertaan atau pencalonannya dalam pertandingan kesusasteraan anjuran pertubuhan-pertubuhan setempat.
Antaranya termasuklah: Deklamator Terbaik (Kamus, 1993), Pemuisi Terbaik (Festival Teater Remaja, Kemuning, 1994) dan Anugerah Merit (Cerpen, Bulan Bahasa, 2001).
Selain itu, hasil karya-karyanya juga terpilih untuk disertakan dalam empat antologi karya sastera. Salah satu karyanya “Catatan Si Anu” telah pun dialih bahasa ke bahasa Mandarin dan dibukukan dalam kumpulan antologi sastera yang diterbitkan pada 2002 oleh penulis mapan setempat, Cik Chan Miow Wah.
Dilahirkan pada 6 September 1973, karya-karya puisi dan esei beliau telah dipilih untuk dimuatkan dalam dua antologi lain – Manik-Manik Hijau (Berita Harian) dan Prisma Seni (Perkumpulan Seni), kedua-duanya diterbitkan pada 1995.
Sejauh ini, karya penulis ini lebih tertumpu kepada tema kemanusiaan, kemasyarakatan, ketuhanan dan warna-warni kehidupan.
Penulis juga pernah melibatkan diri dalam bidang kesenian pentas dan teater bermula pada 1994 dan telah menghasilkan beberapa naskah pentas dan dipersembahkan oleh kumpulannya sendiri, Teater Isadra – Semua Yang Terlibat (Isadra), yang bergiat aktif sekitar lima tahun.
Sepanjang masa itu, kumpulan itu menumpukan pendekatan terhadap pertandingan teater dan berjaya meraih beberapa anugerah utama menerusi penyertaannya dalam pertandingan-pertandingan teater anjuran pertubuhan kesenian Melayu setempat selain pernah terlibat dalam menghasilkan beberapa skrip rancangan televisyen.
Penulis juga sebelum ini menganggotai Kumpulan Angkatan Muda Sastera (Kamus) dan Perkumpulan Seni (PS).
Pada 2003, beliau telah dipilih sebagai salah seorang daripada 14 penulis tempatan bagi menjayakan Festival Penulis Singapura (Singapore Writers’ Festival) anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Dalam bidang kerjaya, beliau juga merupakan mantan penerbit dan penyiar radio untuk kedua-dua stesen MediaCorp Radio – Warna 94.2FM dan Ria 89.7FM.
Penulis adalah lulusan pascasiswazah, meraih Sarjana Sains dalam Perhubungan Antarabangsa (Master of Science in International Relations) dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura.
Beliau juga merupakan lulusan RMIT University, Australia, dengan meraih ijazah sarjana muda kesusasteraan dalam bidang perhubungan massa (Bachelor of Arts in Mass Communication).