Fatwa: Ajaran Quran-Hadis Jemaah berbahaya

18 05 2012

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini
dan Nur’ Adilah Mahbob

JAWATANKUASA Fatwa semalam memutuskan bahawa sebahagian ajaran Islam yang dibawa kumpulan Islam Jemaah atau Quran-Hadis Jemaah yang bertapak di Bedok dan Pasir Panjang sejak lebih 20 tahun lalu sebagai ‘berbahaya’ dan ‘boleh membawa kepada kesesatan’.

Menurut Jawatankuasa Fatwa dalam kenyataan media dua halaman itu, ajaran kumpulan ini, terutama yang menyentuh konsep ‘Jamaah’, ‘Baiah’ dan ‘Keamiran’, ‘amat eksklusif dan melampau kerana menafikan kesahihan agama kaum Muslimin yang mengamalkan ajaran Islam’.

Malah, di sidang media di ibu pejabat Muis pagi semalam, Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, turut menyatakan bahawa pentafsiran hadis dan ayat Quran mereka juga didapati bercanggah dengan pendapat ulama muktabar, yakni yang diiktiraf dunia Islam.

Ini boleh membawa kepada kekeliruan hukum Islam dan unsur taaksub yang memecahkan belahkan masyarakat dan keluarga.

Kumpulan yang dianggotai sekitar 1,000 orang ini juga mengamalkan konsep ‘Fathonah Bithonah Budiluhur’, yang bermaksud, seseorang boleh berdusta dalam ajaran dan dakwah mereka bagi menyelamatkan diri ataupun jemaah.

Lebih berbahaya, kumpulan ini yakin mereka satu-satunya jemaah yang sah di kalangan umat Islam dan hanya merekalah yang akan masuk syurga.

Dari segi pengajian, mereka menggunakan kitab berbahasa Arab tanpa sebarang penerangan bertulis dan sebahagian besar tenaga pengajar kumpulan ini tidak memiliki kelayakan rasmi dan tidak tersenarai dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) di sini.

Mereka juga tidak bersandarkan kepada pandangan ulama Ahlus Sunah Waljamaah dalam menghuraikan teks bahasa Arab.

“Atas dasar ini, Jawatankuasa Fatwa merumuskan ajaran-ajaran yang diasaskan oleh Nur Hasan Ubaidah adalah berbahaya dan tidak boleh diamalkan atau disebarkan serta boleh membawa kepada kesesatan dan penyelewengan,” tegas Mufti.

Ajaran Quran-Hadis Jemaah yang dibawa Nur Hasan Ubaidah Lubis Amir atau juga dikenali sebagai Madigol/Madekal atau Muhammad Madigol bermula di Kediri, Jawa Timur, Indonesia, melalui penubuhan Darul Hadis pada 1951.

Disebabkan kontroversi ke atasnya, nama Darul Hadis diubah kepada Islam Jemaah (IJ), kemudian Lembaga Karyawan Islam (Lemkari), sebelum ditukar lagi kepada Lembaga Dakwah Islamiyah Indonesia (LDII).

Nur Hasan dikatakan meninggal dunia pada Mac 1982.

Kewujudan Quran-Hadis Jemaah dan perkembangannya di sini telah didedahkan secara terperinci oleh Berita Minggu pada 4 April 2010.

Menurut Mufti, pihaknya menjalankan penelitian terperinci selama setahun dengan meneliti laporan Berita Minggu itu selain bahan penulisan yang digunakan kumpulan tersebut dan temu duga yang dijalankan ke atas anggota terbabit.

Mereka juga telah membincangkan berkenaan ajaran kumpulan ini dalam lapan mesyuarat fatwa yang berlangsung antara Oktober 2010 dengan November 2011.

Menurut Mufti lagi, dalam pertemuannya dengan pihak pengurusan dan tenaga pengajar kumpulan di Pasir Panjang itu, mereka akur akan keprihatinan yang diutarakan dan mengisytiharkan akan meninggalkan ajaran-ajarannya.

“Jawatankuasa Fatwa memandang serius terhadap pengisytiharan ini demi memastikan bahawa unsur-unsur yang boleh membawa kepada kekeliruan hukum dan penyelewengan dibasmi dan dihentikan penyebarannya oleh kumpulan Islam Jemaah/Quran-Hadis Jemaah,” menurut kenyataan itu lagi.

Berita Harian
Jumaat, 18 Mei 2012
26 Jamadilakhir 1433H

============================

Berita Minggu
Ahad, 4 April 2010
20 Rabiulakhir 1431H

Kahwin Anjing

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini

SEBUAH kumpulan yang dipercayai telah bergerak secara tersendiri di Singapura sejak lebih 30 tahun lalu, kini menimbulkan persoalan di kalangan beberapa bekas anggotanya yang sangsi akan kebenaran amalan dan fahamannya di sisi Islam.

Dikenali sekarang sebagai Quran-Hadis Jemaah, ia dipercayai mempunyai sekitar 3,000 pengikut dan beroperasi dari dua pusat – satu di Pasir Panjang dan satu lagi di Bedok.

Corak kegiatan kumpulan itu didedahkan kepada Berita Minggu (BM) oleh beberapa bekas anggotanya yang keluar daripada menjadi anggota beberapa tahun lalu. Pemeriksaan lanjut BM menunjukkan kumpulan tersebut beroperasi secara eksklusif dengan sistem tersusun, mempunyai ‘amir’ dan teraju kepimpinannya sendiri.

Antara amalan-amalan mereka yang menimbulkan beberapa persoalan oleh bekas anggotanya dan beberapa ustaz setempat yang diwawancara BM adalah mereka menunaikan sembahyang Jumaat hanya di rumah-rumah dan bukan di masjid dan tidak menjalankan sebarang aktiviti di masjid-masjid kerana menganggap ‘orang masjid’ sebagai ahli bidaah.

Kumpulan itu juga tidak menggalakkan anggotanya mengahwini orang Islam dari luar kelompok mereka. Perbuatan menikahi ‘orang luar’ ini dianggap seperti menikahi anjing atau babi kerana kononnya ‘orang luar’ itu ‘najis’, bukan Muslim ‘tulen’ seperti mereka.

Satu lagi amalan yang memaparkan mereka eksklusif, menurut beberapa bekas anggota mereka, adalah pelaksanaan ‘Nikah Dalam’ atau ‘Nikah Siri’, yakni ijabkabul yang dilaksanakan oleh ‘Amir’ atau ‘Imam Kelompok’ atau ‘Imam Daerah’ terlebih dahulu, sebelum menikah sekali lagi dengan kadi bertauliah di sini, serta pelaksanaan infaq sebanyak 10 peratus ke atas anggota yang bekerja, di mana wang itu kemudiannya disalurkan kepada kepimpinan mereka.

Menurut Encik Azrul (bukan nama sebenar), 50 tahun, beliau sertai kumpulan yang bergerak secara eksklusif ini pada 1982 setelah ia bertapak di Singapura pada 1976.

Menurut beliau, kumpulan asal Indonesia ini mulanya dikenali dengan nama Darul Hadis sebelum diubah kepada Islam Jemaah (IJ), kemudian Lembaga Karyawan Islam (Lemkari), sebelum ditukar lagi kepada Lembaga Dakwah Islamiyah Indonesia (LDII).

“Tetapi di sini ia dikenali sebagai Quran-Hadis Jemaah dan dipimpin seorang Wakil Daerah atau Wakil Kelompok. 

“Dari tahun ke tahun kumpulan ni berkembang. Kalau tak salah saya, pada satu peringkat jumlah anggota mencecah sampai dua tiga ribu orang, sampai ada dua markas – satu di kawasan barat di Pasir Panjang dan satu lagi di kawasan timur di Bedok,” dedah Encik Azrul, yang pernah membantu mengutip ‘infaq’ dari ahli kumpulannya.

Menceritakan lebih lanjut, seorang lagi bekas anggota itu, Encik Khalil (bukan nama sebenar), 62 tahun, berkata Quran-Hadis Jemaah sebenarnya mengikuti ajaran yang dibawa Al-Imam Nur Hasan Ubaidah Lubis Amir @ Madigol/Madekal atau Muhammad Madigol.

Nur Hasan, yang berpulang pada Mac 1982, mendirikan Darul Hadis di Kediri, Jawa Timur, pada 1951.
Kontroversi yang menyelubunginya telah menyebabkan nama kumpulan itu ditukar beberapa kali.

“Kalau awak orang baru, dia orang tarik awak dengan belajar mengaji, belajar Al-Quran dan Hadis. Apabila awak dah tertarik, awak kena bai’at baru boleh ikut pengajaran secara kelompok.

“Setelah agak lama belajar baru mereka selitkan pasal bai’at, imam, infaq, macam tu lah,” ceritanya.

“Mengikut mereka, tidaklah Islam seseorang Muslim itu kecuali dengan berjemaah dan dikatakan tidak berjemaah seseorang itu kecuali ber-Amir, dan Amirnya adalah Nur Hasan dan selepas kematiannya, (diganti pula oleh) Abdul Dhohir, anak dia. Selepas Abdul Dhohir meninggal pada 2006 atau 2007, diganti pula oleh adiknya, Abdul Aziz.

“Ajaran Islam Jemaah atau LDII ni bagi saya menyimpang kerana segala tafsiran Al-Quran dan Hadis datangnya dari Amir saja. Tafsiran dari ulama atau kitab yang lebih muktabar tidak diterima,” dedah Encik Khalil lagi, yang menganggotai kumpulan tersebut lewat tahun 80an.

Menurut seorang lagi bekas pengikut Islam Jemaah, Encik Murad (bukan nama sebenar), 50-an tahun, LDII kini cuba ‘tukar kulit’.

“Mereka nafi LDII sekarang ‘adalah penerus ajaran Islam Jemaah’ tapi saya masih belum yakin.”

Ketika ditemui BM, orang yang dipercayai mengetuai kumpulan tersebut mengakui bahawa mereka menuruti ajaran LDII, namun enggan memberikan komen.

 

 


Tindakan

Informasi

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,077 other followers

%d bloggers like this: