Seni, masa, Melayu dan ‘jual teater’

28 08 2009

Oleh
Chairul Fahmy Hussaini

“KAU nak belajar berlakon, habis lepas dapat sijil tu kau nak makan apa?”

Masih terngiang-ngiang di telinga soalan itu yang dilontarkan sang bapa saat saya mengajukan hasrat untuk mengikuti pengajian drama dan pementasan teater di salah sebuah institusi kesenian di sini sekitar 20 tahun lalu.

Kejadian tersebut berlaku pada awal tahun ‘90-an ketika saya dan ramai rakan lain begitu dibuai semangat untuk memartabatkan seni pentas Melayu, sekali gus ‘menjual teater’ – seperti yang dilaungkan seniman teater, Lut Ali, ketika itu.

Lut diketahui berhijrah ke Australia.

Namun disebabkan sikap degil, saya tetap berusaha mencedok ilmu berkenaan seni pentas walaupun tanpa mengikuti pengajian secara khusus.

Berbekalkan azam walau tanpa wang sesen pun, saya bersama enam rakan lain menubuhkan kumpulan teater kami sendiri, Isadra – Semua Yang Terlibat (Isadra), dan bernaung di Balai Rakyat Eunos, Bedok Reservoir Road.

Diam tak diam, Isadra mampu bertahan sekitar enam tahun.

Sepanjang waktu itu, kami bukan saja memenangi pelbagai piala dan anugerah terbaik menerusi penyertaan dalam pertandingan teater Melayu anjuran sekolah-sekolah, balai rakyat mahupun pertubuhan seni Melayu setempat, malah berjaya mementaskan Anak Nazar Tujuh Keramat di Panggung Victoria.

Naskhah tersebut adalah salah sebuah karya terbaik Kalam Hamidi, tokoh teater Melayu ulung Singapura. Pak Kalam sendiri memimpin kami.

Azroy Sultan, kini bertugas sebagai pengarah kanan drama televisyen, adalah Panglima Khalid – ‘hero’ pementasan tersebut.

Sememangnya, menimba ilmu dan ‘mencuri’ pengalaman mereka adalah satu pengalaman paling berharga.

Sememangnya, Panggung Victoria dan Drama Centre di bukit Fort Canning (sebelum dirobohkan pada 2002) sering menjadi gelanggang permainan penggiat teater Melayu.

Sayangnya, Isadra melabuhkan tirainya tidak lama selepas itu.

Sebabnya, dengan hanya berbekalkan semangat tanpa ilmu lebih mendalam dan peluang yang terhad, saya dan rakan-rakan lain belum mampu ‘menjual teater’, apatah lagi mencari rezeki daripadanya.

Tetapi suasana kini berubah.

Walau perlahan, perkembangan dan pembangunan teater Melayu Singapura kian menampakkan kemajuan.

Penggiat seni semakin gigih berusaha memenuhi impian atau harapan yang dilaungkan Lut Ali, agar Melayu dapat ‘menjual teater’.

Ini dapat dilihat dengan beberapa persatuan teater Melayu kini terdorong mementaskan sesebuah karya secara profesional, yakni secara sistematik dan tersusun.

Penulis naskhah teater komited menghasilkan karya yang kental, manakala sang pengarah lebih berdisiplin dalam memilih pelakon berwibawa dan bukan tangkap muat demi menyajikan persembahan yang ampuh dan berbobot.

Penugas kewangan dan belakang tabir pula memastikan aturan pembelian tiket dan gaji setiap yang terlibat diurus dan dilunaskan secara telus.

Kesemua ini membantu meningkatkan tahap profesionalisme seni teater Melayu, sekali gus memartabatkannya ke tahap lebih tinggi.

Jika 20 tahun lalu, penggiat teater sukar mencari rezeki dengan hanya berteater, kini sekitaran seni pentas yang lebih galak, sejajar dengan usaha pemerintah menjadikan Singapura sebagai Kota Kebangkitan Seni (Renaissance City) membuatkan pencarian rezeki dalam bidang ini lebih terbuka.

Yang penting, seseorang penggiat seni tidak duduk diam tetapi gigih merebut peluang yang ada.

Umumnya, penggiat seni juga menghadapi cabaran serupa para pekerja dalam bidang-bidang lain, untuk ‘hidup’ dalam zaman serba bersaing ini, seseorang itu mesti mempertingkat kemahiran diri dan menjadikan dirinya serba berkebolehan.

Maknanya, seseorang pengkarya mesti mampu menghasilkan karya pentas berbagai genre, manakala sang pengarah dan pelakon harus berupaya mempertingkat mutu serta gaya pengarahan dan lakonan.

Hakikatnya, sedang gemuruh tepuk sorak hadirin saat tirai dilabuh menjadi impian setiap penggiat seni, perjalanan hidup kita dalam mencari sesuap nasi dalam bidang seni tidak seindah itu.

Ekstra! | Suara Adam
Berita Harian
Jumaat
28 Ogos 2009
7 Ramadan 1430H





Perihal nama, pangkat dan kedudukan…

22 08 2009

Titisan tinta 

Chairul Fahmy Hussaini

MENJADI lumrah bahawa nama, pangkat dan kedudukan mewajahi status seseorang. Apatah lagi dalam keadaan hari ini, ketiga-tiga faktor ini penting dalam memastikan letakduduk kita dalam hierarki masyarakat.

Disebabkan dunia sekarang yang serba bersaing soal nama, pangkat dan kedudukan seseorang kini hampir tidak lagi dikecapi bersandarkan keikhlasan.

Ada beberapa individu Melayu kita (saya iktiraf mereka sebagai ‘pemimpin panjang sejengkal’) tidak malu-malu memastikan namanya mesti sentiasa dikaitkan dengan pingat atau darjah kebesaran yang diterima sebelum ini.

Jika beliau penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) maka beliau mahu penerimaan pingat itu sentiasa disertakan di akhir namanya, misalnya: Encik Anu Bin Polan, PBM, dalam apa jua catatan – baik dalam kad undangan, sebutan di  majlis-majlis keramaian awam atau di media massa.

Jika beliau menerima satu lagi anugerah, misalannya, Bintang Bakti Masyarakat (BBM) maka ia perlu juga disertakan di akhir namanya, menjadi Encik Anu Bin Polan, PBM & BBM.  

Makin banyak anugerah, makin panjang namanya.

Malah, jika seseorang menerima darjah kebesaran dari negara luar, umpamanya gelaran Datuk atau Dato’ dari salah satu negeri-negeri di Malaysia atau Brunei, maka diinginkan namanya mulai dikenali masyarakat dan rakyat negara ini sebagai Dato’ Anu Bin Polan.

Ada akan menyatakan, tidak salah bagi seseorang itu diiktiraf nama, pangkat dan kedudukannya atas sumbangannya kepada masyarakat.

Pandangan sebegitu tiada salahnya, tetapi bila kita meneliti duduk perkara, bukankah lebih baik sumbangan yang dihulurkan – baik kudrat mahupun wang ringgit – diberikan secara ikhlas tanpa perlu mendesak atau memaksa sumbangan dan penerimaan anugerah itu diakui oleh masyarakat?

Ini perihal pangkat dan kedudukan.

Ini belum lagi menyentuh kelakukan segelintir sang politikus yang bersungguh-sungguh mahukan setiap aktiviti atau ’sumbangan’ mereka kepada masyarakat mendapat sorotan media.

Ini perihal nama…

Jadinya, sebagai seorang yang bermaruah kita perlu jujur pada diri sendiri, apakah segala yang disumbangkan dilakukan kerana keikhlasan atau demi meraih pangkat dan kedudukan?

Tepuk dada tanya selera.

Sabtu, 22 Ogos 2009
1 Ramadan 1430H
11:29:14 pagi





perjalanan ini

11 08 2009

(dari Mesir ke Palestina)

I

DIMULAKAN dengan bismillah dan langkah kanan dan ratipan seribu Ya Latiff, seruan ikhlas dari dasar hati buatmu Ya Rabb… sekali mencari yang zahid. Bertawakal pada nur-Mu, Ya Rahman, pencarian ini adalah yang tulus menyedari laluan yang dilalui bukan jalan lurus.

Permulaan ini satu pengabdian, satu!

Dari tapak-tapak kecil di sebuah kota asal pulau, langkah-langkah ini Ya Malik, sebagai menghargai anugerah zat-Mu yang bertemali sejak zaman poyangku.

Ya Kudus… dari setiap helaan nafas ini tidak sekali ada penyesalan. Setiap langkah adalah munajat, paksi keimanan. Sekali ku lontar… gema nama itu adalah laungan buatmu Kekasih… mengisi tiap inci dan sudut ronggadada.

Engkau lebih mengerti, sang Kekasih, bahawa kerinduan ini tidak mampu ku tawan dengan dakapan, hanya penyerahan… tuntas!

Tiba di kota tua, sekali pernah didiami raja-raja, pembawa petaka, mengusik sukma.

Ya Rabb, kematian bukanlah yang akhir. Ia satu permulaan dan aku di sini menyusuri laluan masa itu, mengenangi azabmu pada Firaun.

Maha suciMu… sekali aku mengimbas keperkasaannya, sekali aku menginsafi keunggulan diKau.

Di lapangan ini aku saksi indahnya ciptaanMu. Di tengah-tengah dada malam Ya Khalik, aku menyorot setiap laluan waktu Islamku dan mengerti, Engkau Ya Rabb, adalah kasih yang kekal dan akulah yang kerap tewas dikucup bibir masa, lemas dibuai leka dakapan waktu hingga mengenepimu, matahatiKu.

Sehari sesudah, diri menyusur Sungai Nil dan tidak sekali aku melupai Musa – penyubur benih kasihMu.

Kesungguhannya menjulang keesaanMu Ya Rabb, mengusik matajiwaku. Memikirkan kesetiaannya, munajatnya di Bukit Sina, mengingini diKau mewajahi zatMu, buat aku terpana dalam mengerti fitrah cintanya.

Hari berlalu dan aku keesokannya ke rumah sakit Palestina, Mesir. Menemui anak-anak itu belasan ujian, dari kampungan Gaza kata mereka, senang menyambut hadirku dengan senyuman yang dibuat-buat  – bagi menutupi sendu.

Tanyaku pada mereka, mengapa ini kejadian?

Jawab mereka, kami rata-rata dalam perjalanan pulang pak, bila bom-bom itu gugur dan apinya menyambar. Kami parah sedang yang lain mati terbakar, butiran peluru menembusi lengan dan paha, balas mereka dengan senyuman duka, menyembunyi nestapa.

Aku tidak mampu bersuara.

Ya Ghaffar, perjalanan ini kuteruskan…

II

Aku di Baitulmukaddis. Memula langkah dalam keadaan serba celaru. Ya  Muhaimin, mengapa sebesar ini ujianmu, apakah Palestina ini yang kekal sehingga akhirnya? Apakah ini hukumnya pada yang tidak sekali mensyukuri kurniaanMu?

Aku terpukul.

Aku menyusur laluan itu dan tiba di perkarangan Al-Aqsa.

Heningnya begitu mencengkam dadajiwa. Ya Mutakabbir, mengapa tidak setenang ini di luar sana? Azan itu, mendayu memanggil ku. Laungannya buat aku terpana. Di lelangit kubah, adalah penangkal keimanan cerminan Izzati. 

Allah Maha Besar…
Allah Maha Besar…

Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Di Kau…

Subhanallah… kekata lahir dari bibir, luahan sanubari.

Aku berdiri dekat tangga di bawah pohon yang lama mendepani Kubah As-Sakra, melihat sekeliling dan diri kerdil ini begitu memahami betapa keheningan di bumi Aqsa adalah mukjizatMu.

Ya Rabb, solat dan sujudku tika itu bukan hanya pengabdian tetapi pengharapan tuntas: Kembalikanlah keamanan di Palestina!

Aku tidak mampu lagi menyaksi gugurnya satu persatu jiwa bangsa.

Cukuplah…

 Ya Wahab, aku dambakan keamanan di sini, di bumi ini. Hulurlah kasihMu walau seberkas cuma.

Aku melangkah, menyusuri tiap inci ruang rumahMu, yang seketika meraikan mikraj Rasulullah.

Tuhan… Seandainya di luar sana setenang di sini, tanpa hiruk-pikuk yang bertemali, ia kan begitu mewajahi keihsananMu?

III

Pulangku dan di bumi ini, terasa benar rindu.

Ya Rahim, apakah kita kini menjauh setelah Aqsa ku tinggalkan? Atau perasaan itu lahir atas kehilangan yang dirasai?

Terngiang-ngiang di telinga kata-kata itu, diucapkan anak-anak Palestina.

Pak, tempat ini kata ninda, adalah peninggalan poyang yang seharusnya diwarisi.
Tapi kini tidak lagi setelah ia dirampas tanpa ihsan dan pengertian.
Pak, mengapa ini terjadi atas kami?

Ya Khaliq, ku pohon curahkan setitis kasihMu buat mereka.

Aku tidak mampu menangis lagi…

Alang Budiman
11 Ogos 2009
20 Syaaban 1430H
Selasa, 21:13:44 mlm