Dah tiba masa kita hargai bapa…

29 06 2009

SUARA ADAM

Bersama Chairul Fahmy Hussaini

HARI Bapa baru sahaja berlalu. Bagaimana sambutannya di kalangan masyarakat kita?

Rasanya, suam-suam kuku.

Ini berlaku mungkin kerana merayakan Hari Bapa itu sendiri, yang dipercayai mula-mula diadakan pada 5 Julai 1908 di sebuah gereja di West Virginia, Amerika Syarikat, bukanlah sebahagian daripada amalan masyarakat Melayu kita.

Tetapi apabila memikirkan lebih mendalam lagi, ia mungkin berpunca daripada tanggapan lazim orang- orang kita bahawa sumbangan dan pengorbanan bapa itu tidak seberapa, tidak sehebat sumbangan ibu yang melahirkan, mendidik dan mendewasakan anak-anaknya.

Hmmm…

Mungkin telah tiba masa, sumbangan bapa dalam memperkukuh dan memakmurkan institusi keluarga selama menjadi seorang suami dan ayah, diberi pengiktirafan lebih bermakna.

Ini wajar dipertimbangkan memandangkan, Adam, meskipun tidak melahirkan, tetap memikul tanggungjawab yang sama hebat seperti sang Hawa.

Selain perlu bekerja keras bagi memastikan nasi terus terhidang di meja, Adam sebagai seorang Bapa yang bertanggungjawab, perlu juga memikirkan akan kemakmuran rumah tangga dan pembesaran anak- anaknya.

Ramai mungkin beranggapan, tanggungjawab seseorang Adam saat menjadi bapa, lebih mudah berbanding si ibu. Ini satu tanggapan yang salah dan sempit.

Pertama sekali, kemantapan kewangan demi memastikan rumah tangga yang dibina tidak goyah apabila digugat cabaran ekonomi.

Kedua, memastikan rumah tangga yang dibina merupakan sebenar- benarnya rumah, bukan khemah di tepi laut.

Ketiga, dalam mencari nafkah, memastikan dirinya punya kelebihan dan mampu mengharungi cabaran alam pekerjaan.

Apatah lagi, sedang masa memakan usia, seseorang bapa itu menghadapi risiko diberhentikan kerja – disebabkan kemasukan tenaga kerja lebih muda yang menikmati gaji lebih rendah.

Dalam hal ini, si bapa bukan saja perlu terus bekerja, tetapi harus juga bersengkang mata bagi meningkatkan penguasaan ilmu dan kemahiran demi menepis risiko kena retrench.

Keempat, dalam memastikan nasi dapat terus disuap ke mulut setiap ahli
keluarga, si bapa turut disuakan dengan cabaran yang amat runcing – kos
kehidupan yang semakin meningkat.

Bayangkan tekanan yang dihadapi sang bapa yang saban bulan menikmati jumlah gaji yang sama – disebabkan ‘gaji mati’ dek tidak menikmati kenaikan pangkat atau syarikat tidak menikmati keuntungan besar.

Tekanan lebih besar akan dirasai si bapa yang bergaji hari. Dengan kos makanan, pendidikan, pengangkutan dan perubatan yang terus melambung, bebanan yang dirasai si bapa terus bertambah.

Lebih berat bebanan yang ditanggung seseorang Adam itu bila isteri dan
anak-anak hadapi tekanan masyarakat dalam aspek kebendaan.

Tidak sukar untuk kita menafsir tuntutan ‘kemewahan’ hari ini – telefon bimbit terkini, kereta model terbaru, hiasan dalam rumah serba indah dan sebagainya.

Ini belum termasuk tanggungjawab si bapa terhadap kedua-dua ibu bapanya dan mungkin adik-beradiknya yang juga memerlukan perhatian beliau.

Percayalah, seseorang Adam yang bertanggungjawab – saya percaya adanya ramai Adam sebegini di kalangan kita – akan berusaha menunaikan setiap tuntutan ini.

Jadinya, Hari Bapa wajar diraikan dengan lebih meriah lagi.

Tetapi, tidak perlu rasanya, Hari Bapa dijadikan suatu acara komersial di
kalangan para peniaga Melayu. Ini kerana sesuatu yang bersifat ‘duitan’ akan
mudah terlepas daripada ingatan.

Cukup dengan sambutan secara tersendiri dan bersifat peribadi yang diraikan
sesebuah keluarga itu sesama sendiri. Apa yang diinginkan pada hari itu bukanlah sajian makanan yang melimpah-ruah atau hadiah berbakul-bakul.

Tetapi cukup dengan sajian makanan istimewa yang digemari si bapa dan disertai dengan luahan kasih mesra yang cukup bermakna:

“Terima kasih ayah.”

Berita Harian | Ekstra
26 Jun 2009
3 Rejab 1430H
Jumaat





tidak perlu ditangisi…

26 06 2009

perginya raja pop…
Michael Jackson (1958-2009)

Tidak perlu ditangisi
pemergian dia
sebagaimana perginya
si anak-anak murba
di darfur, habsyah dan rwanda

Tidak perlu ditangisi
pulangnya dia
kerana persis anak-anak itu
kita yang memaksanya pergi

Perlu apa ditangisi
matinya mereka dan dia 
kerana yang membunuh jiwa mereka
dan ini, seni yang mendukung nadinya
adalah kita

Tidak perlu ditangisi
matinya dia
kerana kita mempercepat ajal
mereka dan dia…

Alang Budiman
26 Jun 2009
3 Rejab 1430H
09:06:22 pagi
Jumaat





Teladan MM Lee pada kunjungan ke M’sia

20 06 2009

PANDANGAN

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

PELBAGAI iktibar terpapar pada kunjungan lapan hari Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew ke Semenanjung Malaysia yang berakhir Isnin lalu.

Pertama, sebagai pemimpin yang kaya pengalaman dan sebati dengan selok-belok politik dua hala, MM Lee tetap tidak duduk diam – demi memahami segala apa yang tersurat dan tersirat menyusuli ‘tsunami politik’ yang melanda negara jiran pada Mac tahun lalu – dan kesannya ke atas Singapura untuk jangka panjang.

Kunjungan beliau ke Semenanjung juga bertujuan merapatkan lagi hubungan yang sekian lama terjalin – menyedari pertalian yang ada persis keadaan di laut, ada pasang dan surut serta ombak dan badainya.

Kerana itu, ia perlu sentiasa dipupuk, dibaja dan dipelihara.

Jelas, usaha MM Lee melangkah ke seberang pada saat usia mencecah lewat senja menonjolkan ketokohannya sebagai pemimpin politik ulung.

Dan untuk memastikan kunjungannya ini memberi manfaat kepada kepimpinan generasi muda, beliau membawa sama pemimpin pelapis, terdiri daripada Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam; Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen; Pemangku Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Laksamana Pertama (Kerahan) Lui Tuck Yew; dan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pendidikan), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Membawa mereka bersama, kata MM Lee, ialah bagi membolehkan pasukan muda yang akan memimpin Singapura kelak lebih saling mengenal hati budi barisan pemimpin seangkatan mereka.

Dengan terjalinnya hubungan yang rapat,mereka kelak mampu menyelesaikan sebarang masalah atau meredakan ketegangan yang mungkin timbul dari masa ke masa, dengan hanya ‘mengangkat gagang telefon’ dan mengelak daripada mengirim Nota Orang Ketiga (TPN).

Sememangnya, ‘Bapa Singapura Moden’ menampilkan pandangannya jauh pada usia lewat senjanya.

Kedua, semasa wawancaranya dengan pihak media, MM Lee berulang kali menekankan pentingnya kedua-dua pihak menjalin kerjasama yang menyeluruh dan bersifat jangka panjang agar membolehkan kedua-dua negara beroleh manfaat seimbang lagi adil.

Bagi yang kurang memahami, makna di sebalik harapannya itu ialah pengertiannya tentang bentuk hubungan politik Singapura-Malaysia yang sejak dahulu cepat rapuh.

Saat berlaku pergeseran, walau secalit debu, republik ini dengan pantas akan dicap sebagai ‘adik’ yang kurang ajar dan biadap terhadap ‘abangnya’.

Di sebelah sini pula, Malaysia akan dianggap sebagai ‘abang’ yang suka membuli dan menghukum ‘adiknya’ secara sewenang-wenangnya.

Air dan pasir jadi saksi.

Jadi bagi MM Lee, mengapa tidak episod ini dihentikan dan sikap serta penerimaan ‘abang-adik’ dibuang jauh dan dibuka lembaran baru, bak pepatah ‘buang yang keruh ambil yang jernih’.

Apatah lagi, kematangan politik menuntut agar kedua-dua negara bersikap lebih profesional dan mengelak daripada bertelagah secara kebudak-budakan.

Apa yang disuarakan MM Lee nyata datang daripada isi hatinya yang jelas menginginkan suasana baru terhadap hubungan politik Malaysia-Singapura demi manfaat generasi hari muka.

Mungkin pendekatannya ini, walau dilihat sang pengkritik sebagai agak lantang atau sekadar suatu mimpi, sebenarnya menggambarkan daya kepimpinan beliau yang objektif – mengetepikan sikap sentimental.

Aspek ketiga yang boleh dipelajari daripada kunjungan MM Lee ini menyentuh kesediaan dan kefasihannya menggunakan bahasa Melayu sepanjang perbincangan yang diadakan semasa dua pertemuan berbeza dengan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Haji Abdul Hadi Awang, dan Mursyidul Am parti itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

Dimaklumkan, MM Lee langsung tidak menggunakan khidmat penterjemah dalam kedua-dua pertemuan itu.

Walau secara rendah diri MM Lee menyatakan kepada penulis bahawa penguasaan bahasa Melayunya ’sudah kaku’, tidak dapat tidak, kita harus mengakui kemampuannya menggunakan bahasa kebangsaan dengan kedua-dua tokoh penting pembangkang di Malaysia itu sebagai mengagumkan.

Secara tidak langsung, beliau memberi peringatan begitu halus kepada pemimpin politik muda hari ini agar ‘apabila masuk kandang kambing mengembek’ dan tahu ‘menguak apabila masuk kandang lembu’ kerana pendekatan sedemikian mampu membantu mempertingkat keyakinan antara mereka serta menyuntik kemesraan pada hubungan dua hala, mentelah lagi kedua-dua negara walau kini berbeza tetapi asalnya daripada rumpun yang sama.

Banyak lagi pelajaran dan iktibar yang boleh dicatatkan.

Apa yang nyata, Encik Lee bukan seorang ahli politik yang senang duduk di pejabat membaca laporan anak buahnya tentang keadaan di Semenanjung.

Sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan mempunyai pemerhatian tajam, beliau menganggap kunjungan ini satu keperluan demi memastikan pengamatan dan penilaiannya tidak tergugat atau tercalar dek kefahaman yang menyerong atau kurang tepat, demi penakatan negaranya.

Komentar | Berita Harian
Sabtu, 20 Jun 2009
26 Jamadilakhir 1430H