Kita masih dirantai masalah lama

18 04 2009

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SAYA menerima dua panggilan telefon baru-baru ini meminta bantuan bagi hal yang sama.

Isunya: Mencari tempat berteduh pasangan Melayu/Islam yang ‘terkandas’.

‘Terkandas’ dalam erti kata:

  • pasangan itu dihalau atau dibuang keluarga gara-gara melahirkan anak luar nikah;
  • beban hutang yang menimbun sehingga rumah tergadai atau dirampas; atau
  • lari daripada pemiutang haram atau sebagainya.

Saya anjurkan kepada mereka agar menghubungi beberapa badan kebajikan setempat dan memohon kerjasama mereka agar diberi pasangan-pasangan yang saya sifatkan sebagai ‘terkandas’ ini tempat teduh sementara.

Kedua-dua rakan tadi bersetuju dan menghubungi badan-badan Melayu/Islam yang diketahui mempunyai rumah peralihan.

Tidak berapa lama kemudian, kedua-dua mereka kembali dengan jawapan yang telah saya jangka:

Menghampakan.

Badan-badan yang dihubungi itu, atas pelbagai sebab tersendiri, tidak mampu atau bersedia menawarkan tempat berteduh sementara bagi pasangan atau individu Muslim yang terdesak memerlukan tempat bermalam sementara.

Kededua rakan mengeluh panjang, saya tidak terkecuali.

Mereka kemudian mengutarakan satu soalan yang amat relevan:

Apakah semangat keihsanan badan-badan ini sekarang senipis kulit bawang sehingga sanggup membiarkan pasangan atau individu yang ‘terkandas’ terus-terusan tidur di kolong blok ataupun di tepi-tepi laut, bergelandangan bak orang Badwi di padang pasir?

Saya tidak rasa demikian tetapi merasakan permasalahan utama terjadinya keadaan ini disebabkan beberapa faktor:

  • Pertama, kurangnya pengertian tentang pentingnya memberi tempat berteduh sementara bagi yang benar-benar terdesak dan memerlukan, selain sikap rahmah, kasih dan ihsan pada diri pemimpin atau pentadbir rumah-rumah kebajikan itu
  • Kedua, ketidakmampuan pemimpin badan-badan ini berfikir di luar pemikiran lazim (thinking out of the box) bagi mencari huraian segera ke atas masalah sosial yang semakin menggigit masyarakat kita sekarang
  • Ketiga, akibat terlalu lama memegang tampuk kepimpinan, para pemimpin tidak lagi tangkas untuk bergerak pantas bagi menangani isu-isu masyarakat yang kian hari kian rumit dan mencabar

Ketiga-tiga faktor di atas menimbulkan kebimbangan besar kerana ia menggambarkan wujudnya kegenjotan ketara pada sistem jaringan keselamatan masyarakat kita selain ketidakupayaan pemimpin sedia ada membuat perubahan drastik pada saat keadaan memerlukan.

Meneliti keadaan ini, saya terfikir akan fungsi rumah-rumah peralihan kelolaan badan-badan Melayu/Islam masa ini.

Pernah dilaporkan di dada akhbar ini pada Disember tahun lalu, rumah-rumah peralihan kelolaan badan Melayu/Islam di sini: Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 23 Geylang, Rumah Peralihan Taman Bacaan khusus bagi penagih Wanita (Jamaica Road, dekat Sembawang) dan Darul Islah kelolaan Jamiyah (Pasir Panjang) kini lengang.

Keadaan ini terjadi kerana para penagih kini menjalani hukuman penjara lebih lama.

Saya juga percaya dek keberkesanan pihak berkuasa dalam melaksanakan hukuman lebih berat selain gigih mencekup dan menyumbat penagih ke penjara, ketiga-tiga rumah peralihan tersebut rasa-rasanya hanya menampung tidak sampai pun 100 penagih dadah hari ini.

Ini bermakna, badan-badan yang mentadbir rumah-rumah peralihan itu mempunyai skop yang luas untuk menangani masalah baru yang timbul – pasangan atau individu ‘terkandas’ yang memerlukan tempat perlindungan sementara.

Peliknya, mengapa ini tidak segera dilakukan?

Menurut laporan, Rumah Peralihan Pertapis boleh menampung 200 penghuni, Darul Islah dan Taman Bacaan masing-masing dapat menempatkan 100 penghuni.

Ini bermakna, seramai 400 orang dapat berteduh di bawah bumbung ketiga-tiga rumah peralihan itu dalam satu-satu masa.

Tentu sekali, ruang yang cukup luas itu mampu dimanfaatkan buat sementara waktu oleh mereka yang disebutkan sebagai ‘terkandas’ tadi.

Di mana sangkaknya?

Dari segi perundangan, ketetiga rumah peralihan ini telah diwartakan sebagai rumah peralihan bagi penagih dadah.

Namun, memandangkan keadaan telah berubah dan keperluan rumah peralihan untuk penagih tidak lagi sepenting dan segenting dahulu, wajar para pemimpin badan-badan ini membuat rayuan kepada pihak berkuasa demi memenuhi keperluan lebih runcing.

Bukankah dalam menjadi masyarakat cemerlang, kita diseru bersikap proaktif dan senantiasa relevan dalam menghadapi tuntutan masa?

Sayangnya, ini tidak berlaku dan ia menuntut jawapan jelas pada satu soalan wajar daripada pemimpin kita: Mengapa?

Hakikatnya, kepimpinan hari ini memerlukan pendekatan yang lebih responsif bersesuaian dengan suasana masyarakat.

Jangan nanti, apabila pasangan bermasalah tadi ‘merujuk’ kepada badan bukan Melayu, kita pula dipersalahkan.

Komentar | Berita Harian
Sabtu, 18 April 2009
22 Rabiulakhir 1430H





Usah bual di telefon sewaktu…

17 04 2009

SUARA ADAM

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

SAYA malas nak berpantun atau berkias. Cukup dengan menyatakannya di sini secara terus terang kepada kaum Adam kita.

Cik abang oi! Boleh tak jangan berbual kat telefon masa buang air kecil, apa lagi masa tengah buang air besar? Iyalah, kalau penting sangat pun hal yang ingin diperbualkan, tak boleh ke tunggu lepas selesai sahut panggilan alam?

Mentang-mentang dunia makin pantas, makin maju, segala kemudahan dalam dunia jadi lebih ringkas, takkan hal sahut seruan alam pun nak jadi 2-dalam-1?

Saya bukannya apa, naik menyampah tengok dah makin ramai kaum Adam kita yang selamba aje masa masuk tandas.

Sebelah tangan pegang telefon bimbit sambil berbual, sebelah tangannya lagi, memastikan ’si burung punai’ memancut di tempat yang betul. Bagi yang ‘advance’ sikit, langsung tak pedulikan jiran sebelah-menyebelah, terus saja berbual masa tengah ‘memberut’.

Ceh! Tak sopan langsung…

Ada saja cerita dikongsinya, tapi semuanya bukan penting sangat pun. Tak terbayang dek saya bagaimana perasaan pihak di sebelah sana kalau dia tahu orang yang sedang berbual dengannya tu, tengah ’sedap’ melepaskan hajat.

Yang hairannya, yang di sebelah sana tu tak dengar ke bunyi ‘broot-brettt’ yang ‘mengaum’ dari sebelah sini?

Nak kata bebudak, cik abang kita dah besar panjang…

Jadi macam mana ni? Malulah sikit cik abang oi…

Bukankah bangsa kita ni dikenali kerana adab apa lagi tatasusila, kesopanan dan kesantunannya. Jadi mengapalah kita ketepikan semua tu?

Pelikkan? Kita didik anak-anak tentang adab bertandas tapi kita sendiri tak betul. Jadinya, bak ketam mengajar anak berjalan lurus. Malulah!

Itu satu hal. Ada seperkara lagi yang membuat saya geram dan ingin sekali dikemukakan di pojok ini.

Ini perihal cik abang-cik abang kita yang sibuk ber’SMS’ masa tengah menunggang motosikal!

Mulanya saya fikir, kesibukan trafik hingga membuat kenderaan membuntut satu sama lain disebabkan kemalangan di depan. Rupanya disebabkan sekor mamat ni yang memandu motosikalnya dengan amat perlahan, adalah dalam kelajuan 35-40 kilometer sejam (kmh).

Bila saya toleh ke arahnya, dia kelihatan leka memicit butang-butang telefon bimbit, mengirim SMS – tanpa mempedulikan keadaan sekeliling.

Saya rasa macam nak turunkan tingkap kereta dan menjerit saja ke arahnya:

“Cik abang oi! Mana letaknya akal tu?

“Apa? Dah tak ada masa lain lagi dah nak ber’SMS’? Kita nak hidup lama oi!”

Kalau cik abang tak sayang nyawa tak apa… tapi janganlah korbankan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Selain golongan ini, sebenarnya ada dua lagi golongan yang membuat darah pengguna jalan raya lain boleh menyirap.

Satu golongan terdiri daripada mamat penunggang motosikal yang melekapkan telefon bimbit di telinga. Muat pulak telefon tu disumbatkan ke dalam topi keledar yang agak sempit tu!

Golongan ni sedap berbual kat telefon sambil menunggang.

Macam orang sinting, berbual sendiri dan ketawa sendiri, sambil menunggang motosikal.

Golongan kedua pula berkisar pada mamat yang suka SMS masa memandu, baik kereta mahupun van.

Kes yang ini lagi haru, masa tengah ber’SMS’, pandu perlahan, sampai kereta lain ’sangkut’ di belakang.

Tapi sebaik selesai kiriman pesanan, terus angkat kepala, tekan minyak dan menderu laju. Hai… orang-orang macam ni pun ada…

Tapi bila saya fikir-fikir balik, saya tak nafikan, jangan cakap si mamat saja buat kerja-kerja tak senonoh macam ni.

Si Minah pun agaknya sama…

Ekstra! | Berita Harian
Jumaat, 17 April 2009
21 Rabiulakhir 1430H
14:18:35 ptg





pertemuan, aku dan bisikan sukma

16 04 2009

Sedang tekun menyiapkan pojok untuk terbitan mendatang, seorang rakan sekerja muncul di sebelahku untuk menyampaikan pesan.

Kata si penyampai, “Kamu punya temujanji, di sekian hari sekian masa sekian tempat,” ujarnya ringkas dan berlalu pergi.

Aku terpempan sekali lagi. Untuk kali keduanya, undangan datang silih berganti. Hmm… secara tiba-tiba aku diingati mereka-mereka, hati ini mula berdetik.

Lebih terkejut setelah mengetahui mereka-mereka ini menanti hadirku walau semalam telah lama berlalu.

Rindu?

Ku toleh kiri, ku toleh kanan. Akal menari-nari, memikirkan bagaimana suasana yang bakal ku lalui itu. Pojok yang sebentar tadi ku tulis, terbengkalai seketika.

Aku meneliti semula kedua-dua undangan tadi dan dada mula berdegup kencang, diri mula terasa hairan, bibit-bibit rindu terhadap mereka yang mula bersarang di dada sejak dua purnama lalu tiba-tiba lahir bak satu realiti dan kini menawanku menerusi dua undangan itu?

Akukah yang mudah tertawan atau mereka yang ditawan rinduku hingga tidak semena-mena terjaga dan mengutus undangan itu?

Aku tidak mampu meneka tapi pastinya, pertemuan ini kini membangkit anganku!

Oi!!!!!!!! Ini bukan fatamorgana….
Oi!!!!!!!! Ini hakiki… bukan mimpi…
Oi!!!!!!!!

Haha!

Alang Budiman
Rabu-Khamis
15-16 April 2009
20 Rabiulakhir 1430H
1821 ptg, 14:44:31 ptg