Mesti bijak kemudi kapal

30 01 2009

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

DI SELA-SELA kesibukan tugas, saya sempat bersembang di alam maya, dengan seseorang dari kaum Hawa – kawan lama.

Beliau juga seperti wanita muda lain, belum berumahtangga, dan gigih meniti tangga jaya.

Saya bertanya padanya, pada usia yang mula menjangkau 30 tahun, mengapa masih belum berumahtangga?

Jawabnya, masih belum temui pasangan yang sesuai – baik di mata mahupun di hati.

U memilih sangat… nanti jadi anak dara tua,” seloroh saya.

Jawapannya pada seloroh saya itu ringkas, tapi amat bermakna.

Katanya:

I tak kisah, dia Jawa ke Boyan ke atau ada darah Benggali ke, yang penting I inginkan seorang lelaki yang mampu memberikan kestabilan kepada keluarga di masa-masa yang tidak stabil, dan kestabilan itu bukan sekadar sediakan duit je untuk I dan keluarga.

“Lebih penting lagi, kalau nak jadi suami dia harus mampu memberi kestabilan dari segi emosi dan psikologi.

“Masa ni, I belum ketemu lagi calon macam tu.

“Ada beberapa Mamat Melayu yang I date dalam setahun dua ni, baik graduate (lulusan universiti) dan bukan graduate, tapi dorang lebih sibukkan soal cinta, baru jumpa… dah sibuk nak pegang tangan, jeles (cemburu) tak bertempat.

“Pantang fon I bunyi, sibuk nak tau siapa call (hubungi), siapa sms (kirim khidmat pesanan ringkas).”

Alamak ai!

Berat betul jawapan cik kak ni pada sendaan saya tadi. Dalam baik, saya terkesan juga dengan kata-katanya.

Saya tak nafikan, Mamat Melayu bila bercinta memang tangkap lentok, romantik habis!

Jangan cakap kahwin, belum apa-apa lagi si Mamat dah sibuk suruh si Minah panggil dia ‘papa’, dan dia panggil si Minah, ‘mama’.

Geli!

Sesetengahnya lebih sibuk bercinta tapi tak peduli gaji yang kekal kecil sejak bertahun-tahun.

Tak senang nak pertingkat diri, tidak bersedia bekerja lembur apabila keadaan memerlukan, lebih senang membiarkan anak-anak bersendirian tanpa belaian kasih bapa, hingga apabila mereka dewasa hidup jadi tidak keruan.

Lebih buruk lagi ada sesetengah Mamat Melayu meninggalkan tanggungjawab memberi nafkah saat bercerai.

Memalukan.

Dalam hati ni berkata, mungkin ada benarnya aduan atau sungutan kaum Hawa baru-baru ini bahawa sesetengah lelaki Melayulah yang menjadi punca permasalahan sosial dalam masyarakat kita.

Saya tanya lagi pada rakan saya tu, apakah jawapannya tadi sebagai menidakkan kemampuan lelaki Melayu dalam mengemudi atau melayari bahtera keluarga ?

Jawabnya:

I impikan seorang lelaki yang kuat semangat, tetapi pada masa yang sama, tahu daya kekuatannya terhad, tetapi masih tetap mencuba, memberi kebahagian, keamanan dan memastikan keselamatan keluarganya terjamin.

“ Mungkin I silap, tapi nampaknya, Melayu sekarang kurang daya tahan, lembik.”

Adoi!

Tatkala itu juga beliau ajukan lagi soalan kepada saya:

“Apakah yang harus dilakukan nakhoda bila kapalnya berhadapan dengan ribut?

“Dia terjun ke laut untuk selamatkan diri dia sendiri aje dan biarkan kapal dan anak-anak kapal terkapar-kapar melawan badai dan akhirnya tenggelam?

“Atau, dia memimpin anak-anak buahnya dan berusaha mengharungi cabaran getir itu semampunya?”

Aduh!

Terkena lagi kaum Adam kita, kata hati saya.

Rakan saya kemudian menyambung hujahnya:

I fikir lelaki secara keseluruhannya punya kemampuan jadi nakhoda yang baik.

“Tetapi sebagai nakhoda, u harus tahu kekuatan diri u, kapal u dan kemampuan anak-anak buah u, tapi jadi nakhoda yang terbaik pun tak guna kalau sendiri tak sedar kapal tu sebenarnya bocor!

“Tak guna jadi nakhoda kalau dari awal impi nak bersenang-senang atas kapal tapi tak mau usaha pastikan keselamatan kapal terjamin.

“Buat apa jadi nakhoda tak bertanggungjawab, u beri impian kosong kepada anak-anak kapal ada pelangi di hujung pelayaran, tapi walhal tak lama lepas angkat sauh, kapal pun tenggelam.”

Hmm… saya mula menggaru kepala yang tidak gatal dan fikiran mula memikirkan kata-katanya itu.

Tidak dapat tidak, saya akui hujah rakan saya itu kental dan bernas.
Entah kenapa, mungkin kerana kesibukan tugas sembang kami terhenti di situ sahaja.

Namun, ia tidak menghentikan perbincangan itu dari terus bermain di fikiran.

Dari sembangnya itu, saya merungkai satu mesej penting:

Sebagai Adam kita mesti mampu mengemudi kapal dan bersedia meredah gelora dunia, jangan sampai bahtera keluarga karam, dan bila kita sendiri tewas pada keadaan itu, janganlah jadi pengecut dan larikan diri.

Namun tatkala sibuk menulis pojok ini, saya perasan yang kita dah pun masuki Tahun Baru.

Jadi bagi kaum Adam, apa azam kita kali ini?

Saya syorkan, kita belajar semula erti: malu dan harga diri.

Berita Harian | Ekstra
30 Januari 2009
3 Safar 1430H
Jumaat





Elak jadi katak yang direbus di zaman gawat

26 01 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

KEMELESETAN ekonomi bukan satu igauan tetapi hakikat perih.

Kelmarin, seorang rakan lama (ditemui selepas lebih dua dekad meninggalkan bangku sekolah) berkata baru dibuang kerja.

Selama 10 tahun beliau bekerja di syarikat kejuruteraan jitu. Tetapi pampasannya?

Cuma setengah bulan gaji untuk setiap tahun beliau bekerja.

Ini bermakna jika beliau bergaji $2,000 sebulan misalnya, beliau hanya menikmati pampasan sebanyak $10,000 ($1,000 darab 10).

Ditolak caruman 20 peratus ke Tabung Simpanan Pekerja (CPF), beliau hanya membawa pulang $8,000.

Dengan kos kehidupan yang melambung, secukup manalah pampasan itu!

Minggu lalu pula, seorang lagi rakan yang baru setahun bekerja di sebuah syarikat utama di sini dimaklumkan kontraknya selama setahun tidak akan disambung.

Mujur beliau berjaya mendapat pekerjaan baru – juga secara kontrak – tidak berapa lama kemudian.

Kededua rakan saya itu perlu menanggung isteri dan anak yang bersekolah.

Cerita mereka bukan suatu yang asing.

Menurut pemangku Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong, jumlah pemberhentian kerja tahun ini mungkin melepasi paras 30,000 – seperti yang dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998.

Tahun lalu sahaja, lebih 10,000 orang diberhentikan kerja.

Benar, lebih 30,000 pekerjaan dijangka diwujudkan dalam tempoh kegawatan ekonomi sekarang.

Namun persoalannya, adakah para pekerja Melayu/Islam kita yang diberhentikan itu mempunyai kelayakan untuk mengisi pekerjaan yang ditawarkan itu?

Bak kata seorang rakan, ini soalan cepumas.

Jawapan saya mudah: mengapa tidak?

Satu perkara yang tidak ramai sedari ialah sokongan padu pemerintah kepada warga yang menganggur atau menghadapi risiko diberhentikan kerja, agar dapat berdikari lagi.

Ini dilakukan menerusi pelaksanaan Program Kemahiran bagi Peningkatan dan Ketahanan (Spur).

Selayang pandang, Spur tidak ubah seperti program lain yang menarik warga pekerja atau penganggur mempertingkatkan diri.

Namun sebenarnya, Spur memang satu pelaksanaan bernas.

Menerusi program $600 juta itu, para pekerja boleh menikmati subsidi kursus peningkatan kemahiran lebih tinggi – sehingga 90 peratus.

Lebih menarik lagi, penganggur berkemahiran rendah yang mengikuti Spur akan diberi elaun.

Meneliti secara mendalam, kita akan dapati Spur sebenarnya satu pendekatan secara senyap pemerintah memberi ‘perlindungan’ kepada kedua-dua golongan – pekerja dan penganggur – daripada menjadi mangsa kemelesetan. Ia macam insurans pengangguran secara tidak langsung.

Seharusnya peluang ini dimanfaatkan, apatah lagi ramai tenaga kerja Melayu/Islam tergolong dalam kumpulan kolar biru dan bergaji kecil.

Tambahan pula keadaan ekonomi dijangka menjadi lebih tenat selepas perayaan Tahun Baru Cina.

Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) baru-baru ini merubah ramalan pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) daripada -2 dengan 1 peratus kepada -2 sehingga -5 untuk 2009.

Satu perkara yang perlu kita sedari, kemelesetan ekonomi telah menjejas hampir semua sektor utama yang menjadi nadi pembangunan negara ini.

Ini menunjukkan Singapura tidak terlepas daripada kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia.

Jadi apa tindakan kita?

Tampaknya sesetengah orang kita macam bersikap agak berbeza dalam hal ini.

Lebih ramai bercerita pasal nasib penduduk Gaza dan bersolat hajat bagi mendoakan kesejahteraan mangsa serangan Israel itu – seolah-olah tahap kekhuatiran yang serupa tidak terpancar pada kemelesetan ekonomi kini. Padahal soal periuk nasi bukan soal mudah.

Mungkin, dalam kalangan kita lebih suka mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’.

Pendekatan semacam ini sebenarnya membawa bersamanya satu risiko besar.

Ini kerana mengambil sikap sudah terhantuk baru terngadah akan menyebabkan kita terlewat untuk mengejar peluang yang wujud sekarang.

Susur saja halaman Forum akhbar ini sejak beberapa bulan lalu. Boleh dibilang jari surat mengenai peri penting peningkatan kemahiran atau daya saing dalam sekitaran pasaran yang mendesak.

Terdapat dua kemungkinan dalam hal ini.

Sama ada masyarakat Melayu/Islam kita ‘tidak kisah’ dengan soal pemberhentian kerja, atau merasakan ia sebagai satu dugaan hidup ‘biasa’ yang perlu diharungi.

Andai ini persepsi sebenar, maka ia satu kesilapan besar yang perlu dielakkan.

Apa yang perlu disedari ialah dalam menghadapi kegawatan ekonomi hari ini – yang terburuk pernah dicatatkan dunia – masyarakat Melayu/Islam Singapura perlu elak daripada menjadi katak yang direbus.

Maknanya, elak daripada menjadi katak yang berasa selesa berada dalam mangkuk sambil menikmati air sejuk tanpa menyedari cuaca panas di luar.

Akhirnya air itu perlahan-lahan mendidih dan menggelegak. Katak itu hilang daya dan tenaga untuk melompat keluar daripada mangkuk tersebut.

Usahlah dek krisis ekonomi, nasib kita bak katak itu.

Berita Harian | Komentar
26 Januari 2009
29 Muharam 2009
Isnin – Tahun Baru Cina





Sebab PBB masih gagal membawa perdamaian

16 01 2009

PANDANGAN

Oleh CHAIRUL FAHMY HUSSAINI

SERANGAN Israel ke atas wilayah yang ditadbir parti Harakat Al-Muqawamat Al-Islamiyyah atau Gerakan Pejuang Islam (Hamas) di Jaluran Gaza, Palestin, hampir melepasi minggu ketiga.

Hampir 1,000 penduduk kawasan itu telah terkorban – sepertiga kanak-kanak.

Sehingga kini Israel terus membedil secara besar-besaran wilayah yang pernah didudukinya selama 38 tahun – tanpa sedikit pun mempedulikan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar gencatan senjata dilaksanakan.

Hamas juga gigih membedil demi mendapatkan semula tanah Palestin daripada jajahan Israel.

Persoalannya sekarang, mengapakah PBB – sebagai badan utama yang memayungi kesejahteraan manusia sejagat – gagal mendapatkan kerjasama atau mempengaruhi kedua-dua pihak agar berhenti daripada menyerang satu sama lain?

Dilihat dari sudut sains politik dan perhubungan antarabangsa, kegagalan itu disebabkan perbezaan dalam dukungan ideologi politik antara ketiga-tiga pihak.

Secara teorinya, penubuhan PBB diasaskan ideologi institusi liberalisme (liberal institutionalism), manakala penakatan Israel dan Hamas pula bersandarkan realisme (realism).

Secara asasnya, pendukung ideologi institusi liberalisme ini melihat hubungan antara negara bukan hanya bersandar pada politik malah kerjasama ekonomi dan integrasi antara masyarakat dan negara.

Jalinan kerjasama sedemikian, menurut mereka, mampu menjadikan dunia lebih aman, dengan masyarakat berlainan bangsa dan negara hidup rukun bersatu padu.

Jika ini hujah mereka, mengapa dunia terus digegar peperangan demi peperangan?

Dalam konteks hidup hari ini, mengapa PBB gagal mendapatkan kerjasama Israel untuk menuruti perintah gencatan senjata menerusi resolusi yang dikeluarkan badan dunia itu?

Hal ini turut disuarakan cendekiawan sains politik, Profesor John J. Mearsheimer, menerusi tulisannya, The False Promise of International Institutions (Janji Palsu Institusi Antarabangsa).

Profesor Mearsheimer mentakrifkan ‘institusi’ sebagai badan jagat yang melakar peraturan atau undang-undang yang menentukan bagaimanakah seharusnya sesebuah negara itu bersaing dan bekerjasama antara satu sama lain.

“Institusilah yang menetapkan perlakuan sesebuah negara dan mereka jugalah yang mengharamkan perlakuan-perlakuan tertentu,” ujarnya.

Peraturan ini, menurutnya, ditentukan menurut persetujuan antarabangsa yang ketetapannya diterima secara formal.

Apa yang pasti, setiap negara yang menganggotai institusi antarabangsa dikehendaki menyetujui peraturan yang telah dilakarkan itu.

Namun, sesebuah negara anggota bebas membuat pilihan – sama ada ingin menuruti peraturan yang telah ditetapkan itu ataupun tidak.

Andainya sesebuah negara anggota memilih untuk tidak menuruti ketetapan peraturan badan yang dianggotainya itu, tiada banyak pilihan apatah lagi ‘hukuman’ yang boleh dilaksanakan ke atas negara anggota yang ‘ingkar’ – kecuali mengecam dan mencela atau menyarankan sekatan ekonomi.

Ini kerana badan dunia seperti PBB, secara hakikatnya, bukanlah badan yang mempunyai kuasa mutlak untuk memerintah negara-negara dunia.

Bagi pendukung realis, inilah kelemahan utama PBB sehinggakan banyak negara mengambil kesempatan atas kelemahan ini untuk kepentingan mereka sendiri.

Keutuhan PBB lebih runcing dengan adanya kuasa veto pada lima negara kuasa besar – Amerika Syarikat, Russia, Britain, China dan Perancis.

Kuasa veto ini menyebabkan PBB sering dilihat masyarakat dunia bagai harimau tanpa kuku, apalagi taring, untuk mencakar dan membaham mereka yang memperkosa prinsip agungnya – iaitu keamanan jagat.

Disebabkan kelemahan ini, para pendukung realisme merasakan kewujudan sebuah badan seperti PBB, meskipun baik, tidak akan mampu mencapai objektifnya.

Sesebuah negara, menurut prinsip realisme, akan bertindak dalam apa cara sekalipun, semata-mata untuk penakatan dan meluaskan pengaruh dan jajahan mereka.

Realis secara umumnya melihat keadaan politik dunia sebagai ’suram’ dan sistem antarabangsa sebagai ‘medan pertempuran’ di mana setiap negara cuba mengambil kesempatan atas kelemahan negara/wilayah lain.

Hal ini malah turut diakui pendukung institusi liberalisme bahawa sesebuah negara itu pada dasarnya akan membuat sesuatu tindakan – baik atau buruk – berdasarkan kepentingan mereka sendiri.

Cendekiawan sains politik terkemuka, Profesor Alexander Wendt, malah berpendapat terdapat tiga faktor yang ‘diandaikan’ oleh sesebuah negara, iaitu menganggap sesebuah negara lain sebagai seteru, pesaing ataupun sebagai rakannya.

Bagi setiap anggapan ini pula terdapat budayanya yang tersendiri bersandarkan tiga faktor lain iaitu kepentingan, keterpaksaan dan kewajaran.

Ini, jika dilihat dalam konteks konflik Israel-Hamas, mendedahkan kepada kita betapa politik, secara sendirinya, amat rapuh.

Ini kerana sejarah peradaban manusia menunjukkan bahawa sesuatu kaum atau sesebuah negara lazimnya bersedia bertindak ganas ke atas sebuah negara atau wilayah lain demi penakatan dan peluasan kawasan jajahan mereka – seperti yang tercatat dalam kisah Perjanjian Westphalia pada 1648.

Para sarjana politik sering menganggap perjanjian damai yang dicapai di Eropah pada tahun itu menjadi titik-tolak pada pelaksanaan sistem politik moden – corak pemerintahan yang kita lalui hari ini.

Di bawah sistem Westphalia, kepentingan, matlamat atau agenda sesebuah negara mengatasi kepentingan seseorang individu atau pemerintah.

Sistem ini seakan-akan ‘menghalalkan’ tindakan sesebuah negara atau wilayah menggunakan pengaruh termasuk segala kekuatan ketenteraan bagi menumpaskan lawan – tanpa perlu melenyapkan mereka – demi mencapai hasrat politik yang terpendam.

Mungkin hal yang sama dapat kita lihat menerusi konflik ini.

Berita Harian | Komentar
16 Januari 2009
19 Muharam 1430
Jumaat