Peranan Asean demi manfaat rantau dan juga jagat

26 07 2008

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

JIKA Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, sebelum ini memberikan gred ‘C’ kepada Asean atas kelakonan dan kemampuan institusi itu menangani pelbagai isu rumit menyentuh Myanmar, namun dengan berakhirnya Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) dan Forum Serantau Asean (ARF) kelmarin, ia kini wajar diberi gred yang lebih baik sedikit – ‘B’.

Asasnya cukup mudah: Asean sebagai institusi penting rantau ini yang ditubuhkan pada 1967 telah berjaya mengekalkan keharmonian politik dan perpaduan serumpun sepanjang empat dekad, berbanding rantau lain dengan institusi mereka sendiri, selepas berakhirnya Perang Dingin.

Meskipun ia dikecam hebat kerana gagal mendapatkan Myanmar menuruti gagasan demokrasi yang ditunjangi Barat, ini tidak bermakna Asean harus dilihat sebagai sebuah institusi lemah atau bak ‘singa tidak bertaring’.

Satu perkara yang harus diakui masyarakat antarabangsa, Asean telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan Myanmar membuka pintu bagi kemasukan bantuan asing selepas berlakunya taufan Nargis yang meranapkan sebahagian negara itu pada Mei lalu.

Dan Asean jugalah yang berusaha membuka ruang agar Myanmar menerima kehadiran wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Profesor Ibrahim Gambari.

Selain itu, pelbagai usaha juga telah dilakukan Asean sejak penubuhannya lebih empat darsawarsa.

Namun perkembangan institusi utama Asia Tenggara lewat setahun dua inilah yang perlu diberi perhatian teliti.

Paling utama sekali adalah pelaksanaan Piagam Asean dan kegigihan pemimpinnya dalam membangunkan mutu kehidupan masyarakat serantau, menerusi kemajuan ekonomi, sosiobudaya dan modal insan.

Pelaksanaan Piagam Asean cukup penting kerana Asean adalah sebuah institusi yang memayungi kepentingan dan kesejahteraan lebih 568.3 juta warga di rantau ini.

Dengan keupayaannya membentuk mekanisme dan rangka kerja undang-undang lebih kukuh, ia mampu menjadi sebuah organisasi relevan.

Dengannya, Asean akan mampu menangani serta menghurai konflik yang dihadapi antara negara anggota.

Contohnya, konflik Myanmar dan juga pertikaian Thailand-Kemboja sekarang ini.

Sepanjang mesyuarat baru lalu juga, isu hak asasi turut dibincangkan dengan sebuah badan hak asasi manusia dijangka dibentuk di bawah piagam itu.

Apa yang perlu difahami ialah Asean berusaha melakukan yang terbaik untuk warga di rantau ini mengikut cara dan rentaknya yang tersendiri – yang disenangi dan diterima kesemua 10 negara anggota.

Lebih daripada itu, Asean juga cuba meluaskan peranannya – dengan mendampingi masyarakat Asia menerusi pelaksanaan ARF.

Dan persetujuan yang dicapai daripada 27 negara anggota untuk memulakan latihan serantau dalam bantuan kemanusiaan bencana alam, menunjukkan pergerakan Asean mahupun pelaksanaan ARF bukan sesuatu yang sia-sia.

Dan kesediaan Korea Utara untuk menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asean menunjukkan besarnya pengaruh institusi ini dalam mempromosikan keamanan jagat.

Bak dinyatakan Encik Yeo, langkah negara komunis itu menandatangani perjanjian tersebut “sebagai simbol penting kerana ia menunjukkan kesediaan Korea Utara untuk menjalin hubungan lebih luas dalam ehwal antarabangsa”.

Namun selain cabaran ‘kecil’ yakni mendapatkan pengesahan atau ratifikasi daripada tiga negara – Indonesia, Filipina dan Thailand – bagi melengkapi persetujuan tujuh negara lain dalam melaksanakan Piagam Asean, institusi itu hari ini sebenarnya berhadapan satu lagi cabaran besar:

Memenuhi jangkaan setiap pihak – baik PBB mahupun Barat.

Untuk itu, Asean perlu meningkatkan pencapaiannya, dari ‘B’ ke ‘A’.

Sabtu, 27 Julai 2008
23 Rejab 1429H
Berita Harian | Komentar

About these ads

Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,077 other followers

%d bloggers like this: