Lebih Dinamislah…

24 05 2008

SUARA ADAM

“Era sekarang perlukan Adam bercita-cita tinggi, berpendidikan tinggi, pekerjaan lebih baik dengan azam terus maju”

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

TERMASUK kejadian yang berlaku minggu lalu, sudah ke berapa kali agaknya saya bertemu dengan sang Adam yang bangga menceritakan pengalaman kerja mereka.

Minggu lalu misalnya, seorang daripadanya ghairah menceritakan pengalamannya bekerja sebagai pemandu teksi selama lebih 20 tahun.

Memang tidak dinafikan cerita yang dikongsinya sepanjang perjalanan, dari rumah saya di Tampines sehingga ke balai berita di Toa Payoh North, menarik dan tidak menjemukan.

Nasibnya baik, perjalanan kami jadi tersekat-sekat dek kesesakan lalu lintas akibat kemalangan yang berlaku di PIE menuju Jurong.

Jadi, beliau dapat terus bercerita: tentang penumpang mabuklah, tentang telatah si bapuklah, remaja berasmara dalam teksinyalah, artis yang tidak mahu naik bas atau MRT-lah dan pelbagai lagi.

Cukup menarik hingga ada ceritanya itu buat saya tak kering gusi.

Tetapi apabila saya bertanya, di sebalik itu semua, bagaimana rasanya menjadi pemandu teksi hari ini berbanding masa lampau, beliau dengan pantas menjawab: kehidupan pemandu teksi hari ini sebenarnya lebih mencabar berbanding dulu.

Saya diam dan mendengar saja keluhan dan kritikannya.

Beberapa minggu sebelum ini pula, saya ketemu seorang rakan.

Seorang jiran lama yang saya tidak ketemu hampir tujuh lapan tahun lamanya.

Beliau kini bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, ini kali ketiga beliau bertukar majikan dan ini yang terbaik kerana biarpun bekerja 12 jam sehari, beliau cuma bekerja lima hari sahaja dalam seminggu.

Apabila tidak bekerja, beliau dapat teruskan dengan hobinya – memancing.

Bila saya bertanya khabarnya, beliau berkata segalanya baik-baik saja sebelum melahirkan keprihatinan tentang kos hidup yang semakin meningkat dan kesukarannya menyara keluarga disebabkan gajinya yang kecil.

Memang jika dilihat dengan mata kasar, tiada masalah apa pun baik dengan si pemandu teksi tadi mahupun jiran lama saya itu.

Tetapi apabila difikirkan dengan mendalam, saya rasa terkilan.

Sebabnya?

Sang Adam kita mudah puas hati dan ‘bangga’.

Mereka ‘bangga’ jadi pemandu teksi selama 20 tahun dan sedia berkongsi pengalaman.

Mereka ‘bangga’ jadi pengawal keselamatan selama bertahun-tahun.

Saya juga percaya, ada di kalangan Encik Adam kita yang cepat puas hati dan ‘bangga’ – jadi peon atau ‘mat despatch’ dari zaman bujang hingga berkahwin dan bercucu.

Memang ia pekerjaan yang murni dan gaji yang diterima itu ‘halal’.

Tetapi itu bukan soalnya.

Hakikatnya sekarang, era masa kini memerlukan sang Adam kita bersikap lebih dinamis, punya pendidikan serta pekerjaan lebih baik, cita-cita tinggi dan azam terus-terusan untuk maju dan berjaya.

Memang tidak dinafikan, untuk menjayakannya ia memerlukan Encik Adam kita membuat satu anjakan berani, keluar daripada kepompong keselesaan dan bersedia membuat lompatan lebih jauh.

Sebabnya mudah saja.

Globalisasi telah menyebabkan kebanjiran pendatang asing ke negara ini.

Pendatang asing ini mampu melakukan apa saja tugas yang kita lakukan, termasuk tugas saya sebagai wartawan!

Lebih penting lagi, pendatang asing ini sedia melakukan tugas-tugas ini dengan gaji lebih rendah.

Saya tidak hairan dan saya juga percaya, akan tiba masanya nanti, pemandu teksi di negara ini atau pekerjaan sebagai peon atau ‘mat despatch’ nanti dipikul mereka yang berasal dari India atau Bangladesh mahupun China.

Padahnya amat buruk jika Encik Adam kita gagal menyedari hal ini.

Realitinya, Encik Adam kita perlu punya sikap malu yang lebih menebal, daya juang lebih tinggi dan bersedia untuk kembali ke sekolah untuk pertingkat diri.

Usia bukan penghalang untuk kita menimba ilmu.

Satu yang pasti, anak mak cik yang ‘cun’ lebih rela tak kahwin dengan Encik Adam kita atau kahwin dengan jejaka asing yang punya pekerjaan baik dan bergaji besar.

Dan Encik Adam kita?

Terpaksalah jadi bujang trang tang tang…

Berita Harian | Ekstra!
Sabtu, 24 Mei 2008
18 Jamadilawal 1429H





Erti percaturan terbaru Dr Mahathir

22 05 2008

Oleh Chairul Fahmy Hussaini

BERITA mengenai tindakan mantan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, keluar daripada parti Umno begitu mengesankan.

Suka atau tidak, langkah beliau itu akan mengocakkan lagi keadaan tidak menentu politik seberang tambak.

Yang jelas, langkah Dr Mahathir, 83 tahun, mengundurkan diri daripada Umno menunjukkan beliau sudah ‘putus harap’ terhadap kemampuan kepimpinan Umno mentadbir negara, termasuk memelihara ketuanan Melayu, di Malaysia.

Antara persoalan yang bermain di fikiran ramai:

  • Mengapa Dr Mahathir perlu berbuat demikian?
  • Apakah tidak ada cara lain?

Hal ini tidak boleh dijawab dengan mudah. Langkah Dr Mahathir itu berkait rapat dengan prinsip politik yang dipegangnya sekian lama.

Ramai mungkin beranggapan tindakannya itu mengikut ‘kata hati’ kerana rasa marah atau kecewa berkaitan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Ia tidak benar.

Keputusannya untuk keluar daripada Umno sebenarnya satu strategi atau percaturan politik seorang veteran.

Beliau mendedahkan sedikit sebanyak asas politik yang mendorongnya membuat percaturan itu menerusi tulisannya bertajuk Ketuanan Melayu bertarikh 16 Mei di lamannya, www.chedet.com.

Beliau menulis: “Saya realis yang berpegang pada kenyataan.”

Apa yang dilahirkannya itu ringkas tetapi membawa makna yang amat besar dan dalam.

Rakyat Malaysia dan juga dunia perlu menerima bahawa asas politik yang dipegang pemimpin yang memodenkan Malaysia sepanjang 22 tahun pentadbirannya adalah seorang realis.

Sebagai seorang realis, kepimpinan beliau amat condong pada kuasa nyata (real politik) dan disokong dengan institusi keselamatan, kemampuan ketenteraan dan kemantapan ekonomi.

Namun, ini tidak bermaksud pemerintahan secara zalim atau penindasan terhadap kaum yang lemah.

Umum juga perlu tahu bahawa realisme merupakan satu cabang politik yang secara asasnya adalah untuk memastikan penakatan sesuatu kaum, atau negara.

Dalam bukunya, The Tragedy of Great Power Politics (Tragedi Politik Kuasa-Kuasa Besar), cendekiawan politik, Profesor John J. Mearsheimer, berkata antara cara memastikan kedaulatan sesebuah negara itu terjamin adalah dengan memastikan pengaruh politiknya kekal. Cara ini sekali gus dapat mengurangkan sebarang kemungkinan kuasa itu dicabar atau dirampas oleh sebuah kuasa besar lain.

Ini bermakna adalah penting memastikan kuasa yang ada digunakan sepenuhnya demi memastikan ia tidak jatuh ke tangan orang lain.

Hal ini bertepatan dengan hujah dan pendirian Dr Mahathir yang dikongsi beliau dalam tulisannya itu – bahawa adalah menjadi tanggungjawab Melayu untuk menjamin kedaulatan dan ketuanan di tanah tumpah darah mereka sendiri.

“Hari ini kuasa politik pun sudah terlepas daripada tangan orang Melayu. Dan orang bukan Melayu tidak lagi menghormati orang Melayu dan institusi-institusi Melayu.

“Segala-gala yang dianggap sebagai hak istimewa orang Melayu disoal dan dicabar. Dan orang Melayu tidak membuat apa-apa untuk menangkis semua ini dan mengukuhkan kedudukan mereka.”

Mungkin tidak keterlaluan jika kita membandingkan pendekatan politik Dr Mahathir dengan pendekatan realist Niccole Machiavelli (1469-1527), menerusi wacana politik teragung ahli diplomat Italy itu, The Prince (Putera).

Dalam wacana itu, Machiavelli menggambarkan kemampuan si ‘Putera’ berdarah raja sebagai mudah mengekalkan kuasanya kerana rakyat sudah biasa dengan Putera berketurunan raja. Sang putera itu hanya perlu mengekalkan institusi sedia ada.

Namun tidak begitu halnya dengan seorang Putera yang ‘baru’ beroleh kuasa. Beliau perlu membangunkan sebuah institusi pemerintahan yang baru dan memastikan ia diterima rakyat di samping memantapkan kekuasaannya bagi jangka panjang.

Pokoknya, kata Machiavelli, “Seorang putera yang bijak harus menonjolkan dirinya sebagai seorang yang berkuasa, dan memastikan kuasa itu bukan di tangan orang lain; beliau juga harus berusaha mengelak daripada dibenci”.

Beliau juga mengatakan: “Adalah lebih baik untuk digeruni dan disayangi, tetapi jika seseorang itu tidak mampu memperoleh kedua-duanya, adalah lebih baik digeruni daripada disayangi.”

Apa yang dinyatakan Machiavelli cukup menarik kerana asas hujahnya masih dapat dilihat dengan jelas hingga ke hari ini.

Dalam meneliti petikan kata-kata itu, kita akan mendapati bahawa kemampuan Dr Mahathir sepanjang 22 tahun pemerintahannya berjaya memastikan kuasa yang ada padanya, yakni, ketuanan Melayu dan kedaulatan Tanah Melayu, tidak jatuh ke tangan orang lain, terutamanya kepada parti bukan Melayu.

Lebih penting lagi, sepanjang masa membangunkan Malaysia, ketokohan dan kewibawaan Dr Mahathir bukan saja diakui dunia, malah hakikat keperibadian politiknya turut terserlah.

Sebagai realis, beliau pantang dicabar.

Berita Harian, Mukasurat 8
Komentar | Pandangan
Isnin, 22 Mei 2008
16 Jamadilawal 1429H





padamu cinta

21 05 2008

padamu cinta
adalah seri dan keayuan

padamu cinta
adalah pesona

menggoda jiwa
padamu cinta
sesubur benih kasih
lahirnya secantik bidadari

padamu cinta
sejalur rindu
seindah warna-warni pelangi

padamu cinta
selembut bayu
sedingin embunan
semurni air kali
mendasari nurani

padamu cinta
seharum mawar
semerbak kemboja
sewangi kasturi

padamu cinta
adalah kehangatan
adalah kemesraan
adalah keikhlasan
ketulusan

padamu cinta
sucinya seputih awan
maraknya semerah saga
hangatnya seterik mentari
terangnya seindah rembulan
menghangat romantis anganku!

padaku cinta
adalah segalanya

kilauanmu cinta
adalah Nur Illahirrabbi

Alang Budiman
Rabu, 21 Mei 2008
15 Jamadilawal 1429H
12:55:55 tghmalam