bila susukan kera dapat nama…

18 03 2008

Siang tadi, satu laman berita melaporkan yang syarikat-syarikat minyak menaikkan harga petrol dan diesel.

Berita tu memang tak mengejutkan, ia bukan suatu yang baru, tapi bila fikirkan harga makanan dan harga pengangkutan yang terus melambung…. aduh!

Apa nak jadi ni? Rata-ratanya semuanya naik… kelihatannya nasib kita, diri kita sebagai warga di negara ‘mana-mana’ seakan tak diambil kira? Kita harap sokong, tapi nampaknya sokong tak peduli dokongan padu kita. 

Macam mana ni? Kita ni nama saja warga bermaruah tapi nampaknya maruah kita tak dipeduli langsung, lebih teruk lagi, harga diri kita semacam diinjak, dikotak-katik, diketepi, dicampak, dibuang jauh…. 

Apa yang jelas, sang-sang berkuasa di tiap negara ‘mana-mana’ macam acuh tak acuh dengan nasib kita. Maruah kita pada mata mereka macam tak sampai sesen nilainya. Yalah, apakan tidak, segala-galanya kini semakin mahal.

Sampai kata nenek yang uzur, ”nilai duit sekarang dah jadi macam nilai duit Jepun masa perang dunia kedua dulu…. angka besar-besar tapi tak ada harga langsung”.

Betul juga.

Yang peliknya… bila rakyat mengeluh dan bersuara tentang nasib diri dan keluarga yang terumbang-ambing, gara-gara kenaikan harga yang mencerut leher, sang-sang berkuasa beri penerangan bermacam bentuk, bermacam cara.

Yang tak malunya, sang-sang berkuasa dan si wakil-wakilnya, berani ke depan – kata yang bantuan dah dihulurkan sampai berlaksa-laksa jumlahnya.

Tetapi hakikatnya, bila kita teliti semula semua cakap-cakap mereka, kita akan dapati segala sumbangan dan bantuan itu bukan hanya tak mencukupi tapi sebenarnya ‘tahi gigi’.

Keihsanan sang-sang berkuasa begitu didamba rakyat tapi sayangnya, mereka buat ‘tak dak’ saja. Alasan yang diberikan, rakyat mesti kerja, mesti pertingkat diri bagi penakatan hari muka.

Haha… yang sebenarnya rakyat tak bodoh dan dah lama sedar – nasib mereka tak sebaik kera di hutan yang sejak lama disusu didodoikan.

Kita di rumah, mati kelaparan!

alang budiman
Selasa, 18 Mac 2008
10 Rabiulawal 1429H
2043:40 malam