Bodoh sangatkah Melayu?

31 03 2008

Bodoh sangatkah Melayu
sampai mudah termakan janji palsu?

Bodoh sangatkah Melayu
sampai tak tahu mana intan mana kaca?

Bodoh sangatkah Melayu
sampai mudah ikut telunjuk melulu?

Bodoh sangatkah Melayu
sampai tidak terasa apa-apa? 

Bodoh sangatkah Melayu
sampai berdekad-dekad kesiangan? 

Bodoh sangatkah Melayu
sampai gagal menunjang kuasa?

Bodoh sangatkah Melayu
sampai terjual pusaka bangsa? 

Bodoh sangatkah Melayu
sampai tak sedar diri dihenyak?

Bodoh sangatkah Melayu
sampai mudah dikotak-katik?

Bodoh sangatkah Melayu
hingga gagal perkasa bangsa? 

Bodoh sangatkah Melayu
sampai tak sedar diri tergadai?

Bodoh sangatkah Melayu
sampai pertiwi ditawan?

BODOH SANGATKAH MELAYU?

alang budiman
Isnin, 31 Mac 2008
23 Rabiulawal 1429H
17:37:55 ptg





Biar jelas

28 03 2008

Dalam sebuah akhbar hari ini ada cerakin tentang ‘Melayu Baru’. Ah! isu lama dan basi kata akalfikirku.

Tidak! Jawab isi hati… Hmm…

Aku amati cerakin itu, yang ditulis seorang mantan guru dan pada suatu waktu tidak lama dulu, pernah memimpin masyarakat Islam Singapura. Ia memperkata tentang gagasan Melayu Baru. Ceritanya bukan baru, tentang idealisme dan semangat masyarakat yang ingin bangkit dan menjadi lebih berjaya dari generasi terdahulu.

Sememangnya.

Cuma, diri ini amat terkilan bila meneliti kupasannya berhubung konteks ‘baru’ bagi masyarakat Melayu Singapura. Ini kerana si penulis tidak mengemukakan pandangan atau hujah lebih mendalam dan menyeluruh dari segi sosio-politik-ekonomi bangsanya.

Apa yang dilakukan penulis hanyalah dengan mengitar semula ‘hujah’ lama seorang menteri Melayu yang disuarakan pada 2002.  Apa yang diinginkan adalah satu cerakinan yang mengupas secara mendalam kejayaan atau kegagalan masyarakat Melayu Singapura hari ini.

Dengan cara demikian, masyarakat akan lebih memahami jatuh-bangun dan hala tuju mereka dalam mencapai matlamat selaras dengan idealisme dan semangat ‘Melayu Baru’ - baik dari segi pencapaian ekonomi, kemantapan sosial dan kedudukan politiknya.

Kupasan yang bernas dan tidak berbelah-bagi amat penting memandangkan masyarakat Melayu Singapura, dari susur sejarah sehingga hari ini, dianggap sebagai anak jati negara ini. Keistimewaan mereka itu malah diiktiraf Pemerintah sehingga ia memaktubkan keistimewaan dan hak bangsa Melayu dalam Perlembagaan Negara.

Ketiadaan kupasan yang mendalam dan bernas menyebabkan masyarakat Melayu akan sentiasa tertanya-tertanya tentang kedudukan mereka hari ini – 43 tahun selepas merdeka (1965-2008).

Soalan yang sering bermain di fikiran, hanya satu:

  • Apakah masyarakat Melayu hari ini telah melepasi hambatan sosial, kekangan ekonomi dan halangan politik dan kini boleh berbangga sebagai ‘Melayu Baru’?

Kegagalan penulis untuk memberikan perincian dan gambaran lengkap akan jatuh-bangun masyarakat Melayu Singapura mengenjotkan kupasan cerakinannya.

Ini seharusnya dielakkan.

alang budiman
Jumaat, 28 Mac 2008
20 Rabiulawal 1429H
17:24:06 ptg





Soalan itu – haruskah aku menjawabnya?

25 03 2008

SOALAN itu bertandang lagi, buat ke berapa ratusan kali agaknya.

Tak perlu dijawab! Itu desis kata hati.

Entah mengapa hati ini terpanggil untuk menjawab soalan yang satu itu, apalagi soalan yang diajukan tidak begitu sukar sebenarnya. Apa yang diinginkan hanyalah jawapan yang mudah, telus dan tulus.

Tetapi entah mengapa, ia tidak ku jawab dan sejak itu ia terus memburu dan menghantui ku.

Kali ini ia menghendaki jawapan segera. Ia membentak, menginginkan sesuatu yang pasti, tanpa mempeduli di mana aku dan keadaanku…

Jangan dijawab! Menjawab soalan itu bererti kau akan terperangkap. Kau akan terpaksa menjawab soalan-soalan lain hasil daripada jawapan yang satu itu! Sang hati ini berkata lagi.

Aduh! …. kata hati itu benar sekali.

Kalau soalan itu dikau jawab bermakna orang akan tahu apa yang tersurat dalam hati, apa yang tersirat di sebalik kata-kata itu. Jadi jangan dijawab!

Kata hati membentak lagi seakan memberi gambaran akan padah yang mungkin menyua.

Tapi aku perlu jujur. Aku tidak harus lari dari kebenaran yang hadir sama dalam jawapan itu. Aku tidak harus menidakkan hak soalan itu untuk ditanya. Aku tidak harus melangkah pergi, berlari ke belakang, bacul dalam menghadapi apapun keadaan hasil daripada jawapanku pada soalan yang satu itu.

Tapi hasil jawapan itu nanti kau akan diburu, diperangkap dengan soalan-soalan lain yang bertalu-talu. Kau tidak akan dapat mengelak dari memberi jawapan yang akan menjerat diri dan keadaan mu sendiri. Kau tidak akan dapat merubah nasib dan kedudukan sedia ada dengan memberi jawapan itu, walau sejujur mana sekalipun.

Kau akan lemas!

Aku bingung…. sekali aku cuba menafikan kemungkinan-kemungkinan itu, ia kembali menjelma dan cuba memagar diri ini. Soalan itu, tidak pernah disangka akan menyebabkan aku lemas dan rimas, atau berasa sesak dalam sekitaran yang sama-samar. Tidak sekali aku terfikir, soalan yang satu ini akan menyeret ku ke lembah yang aku sendiri tidak mengerti.

Soalan yang satu ini membuat aku sesat!
Soalan yang satu ini membuat aku lemah!
Soalan yang satu ini membuat aku terpukul!

Soalan ini andai tidak dijawab, boleh menyebabkan aku gila!!!

Soalan ini andai tidak dijawab akan terus membayangi hidupku. Andai tidak kulahirkan jawapannya, ia akan terus bermain di benak ini sehingga mati. Dan aku akan jadi mangsanya, dek keras kepalaku sendiri untuk tidak menjawabnya.

Jangan dijawab, atau dirimu musnah! Amaran itu dari isi hati bergema dalam diri….

Tapi aku bukan manusia yang bukan-bukan. Aku sekadar ingin menjadi seorang yang berani tampil dan menjawab soalan itu. Aku hanya memberi jawapan yang sejujurnya. Aku hanya ingin menyatakan sesuatu yang pasti dan bukan bohongan yang menjadi manisan hidup sesetengah kita. Aku cuma mahu dimengerti sebagai antara mereka, individu yang tetap pendiriannya – hasil daripada jawapan yang aku berikan.

Apalagi… ayah dan ibu mengajarku sejak ku kecil lagi…. nasihat mereka masa itu, “orang bertanya kau mesti jawab, ya nak…”

Dan aku masa itu mengangguk, menyatakan aku mengerti nasihat dan ajaran mereka. Jadi, mengapa aku tidak dibenarkan menjawab soalan yang satu ini? Mengapa aku dikekang dari memberi jawapan yang benar dan tiada dustanya? Mengapa aku dinafikan sekeras-kerasnya hakku untuk menjawab soalan yang tidak terperinya ini.

Aku berjanji. Aku bersumpah!

Berikan aku peluang itu. Izinkanku menjawab soalan itu!

Percayalah… aku tidak akan berbohong bila menjawab soalan itu. Aku akan berkata sebenar-benarnya. Amanah itu akan aku pikul dan tunaikan. Aku tidak akan berdusta, sebagaimana aku menzahirkan: Tiada tuhan selain Allah, dan Muhammad itu RasulMu.

Jangan dijawab kerana tiap patah yang kau zahirkan bererti kematian!

Kata isihati membuat aku terlopong, ternganga sama sekali. Mengapa mesti kematian memburuku? Mengapa mesti kematian menjadi hukuman buatku sedang aku cuma ingin menjawab soalan itu, sejujurnya.

Beginilah…. kalau dikumpulkan warga dari seluruh pelusuk dunia. Andai dihimpunkan tiap binatang dan mergastua, jika diseru segala jin dan yang halus lagi perkasa, jika dipanggil kesemua khazanah alam laut dan aku dikelilingi semua, akan tetap ku jawab soalan yang satu itu, sejujurku!

Tapi kau lupa! Tiada siapa yang berani menjawab soalan yang satu ini:

Apakah engkau pernah berbohong?

Tidakkah kau sedar? Baik si alim mahupun sang yang berkuasa. Mereka lari dari menjawab soalan yang satu ini. Mengapa engkau berdegil dan mahu memperjudi nasib, mempertaruh nyawamu.

Dengar kata kami! Ini kata hatimu! Percaya kami, kerana kami mahu menyelamatkanmu!

Tuhan…………… aku menyeruMu…. tolong aku ini!

alang budiman
Selasa, 25 Mac 2008
17 Rabiulawal 1429H
18:22:23 petang