Dari tepi pagar masjid, sambil bertahmid, aku asyik memerhati

20 12 2007

Waktu:
07:45 pagi, Khamis
10 Zulhijjah 1428H
20 Disember 2007
Tempat:
Di luar pintu masuk
Masjid Darul Ghufran
Tampines Avenue 5
Masa:
Hari Raya Aidiladha

Masa itu orang berbondong-bondong
jalan pantas-pantas demi mengejar
masa yang hampir waktu
solatul Aidiladha

di kalangan mereka
ada mengepit sejadah
ada ditemani surihati
ada juga memimpin
jari-jari mungil
si kecil
atau juga jejari
warga yang meniti senja

antara yang berbondong-bondong
memasuki ruang masjid
ramai yang bertahmid
ada juga bicara
lewat telefon bimbit
tanpa peduli takbir…

antara yang memasuki masjid itu
hadir bersama jatidiri Melayunya
bersongkok, berbaju kurung,
lengkap sampin dan capal
cukup serinya sebagai tetamu
di rumah Allah

ada juga tibanya tidak tentu arah
celaru akalfikir dan malu rasa jiwa
untuk mengaku Melayunya dia
canggung bangsa sendiri 

dalam sela-sela keributan
bondongan manusia
muncul sekumpulan warga
wanita kesemuanya
dengan pakaian biasa-biasa
ada ditemani anak-anak
segelintir bertongkat, berpayung
hampiri pagar masjid
lalu diam

kelihatannya
mereka senang di situ
membiar masa masuk waktu
tidak sekali peduli
keheningan pagi syahdu
dimengerti kebesaran Illahi
lewat solatul Aidiladha

tidak mereka peduli
khutbah yang mengajak
Muslim mengukuh kesatuan
mengerat persamaan
tidak juga mereka peduli
pada segan atau malu yang tercela

lebih mereka peduli
pada wang yang diterima
secara meminta-minta

Merdeka Melayuku?

Alang Budiman
20122007, 1327hrs