Piagam Asean boleh dijadikan mangkin keamanan yang berharga

10 12 2007

Sidang Puncak ASEAN Ke-13

DILIHAT dengan mata kasar, Asia Tenggara seakan tidak mampu menawarkan apa-apa kelebihan berbanding China atau India dalam menarik minat pelabur.

Apatah lagi dengan adanya ketegangan dan pertumpahan darah yang ‘mewarnai’ rantau ini, terutamanya di Myanmar, selatan Filipina dan selatan Thailand, yang sejak lama dibelenggu pergolakan politik dan ketidakstabilan ekonomi.

Namun, tidak ramai mengetahui bahawa rantau ini sebenarnya mempunyai pasaran yang lebih luas berbanding India – dari segi Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).

Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, Filipina, Brunei, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos, yang kesemuanya membentuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau Asean, menikmati GDP terkumpul lebih AS$1 trilion ($1.48 trilion) dengan jumlah rakyatnya sekitar 560 juta.

Memang tidak dinafikan, kesemua 10 negara Asean mempunyai dasar pemerintahan berbeza: Myanmar diperintah oleh junta tentera; Laos dan Vietnam adalah negara berfahaman komunis; Kemboja, Malaysia dan Thailand, berlandaskan prinsip Raja  Berperlembagaan; Brunei berpegang kepada sistem beraja mutlak; Singapura berasaskan demokrasi berparlimen; dan Indonesia dan Filipina pula berbentuk kesatuan berpresiden.

Namun, perbezaan itu bukan satu halangan besar bagi Asean untuk bersatu.

Perlahan-lahan tetapi dengan penuh yakin, Asean mengamalkan teori saling bergantungan yang cukup kompleks (Complex Interdependence Theory), istilah yang
dikenalkan dua saintis politik ulung dunia, Robert Keohane dan Joseph Nye, demi menghadapi cabaran globalisasi.

Kerjasama erat pemimpin dan rakyat Asean dalam aspek sosial, politik, ekonomi, dan ketenteraan membolehkan rantau ini menikmati kemakmuran yang berpanjangan.

Kesepaduan itu jugalah yang mengimbangi kuasa politik Asia Tenggara, sekali gus mengurangkan pergeseran politik antara negara.

Hasilnya, ia membuka jalan kepada Asean untuk meluaskan hubungan ekonominya dengan tiga gergasi Asia – China, Korea Selatan dan Jepun – menerusi pelaksanaan Perjanjian Dagangan Bebas (FTA).

Dan piagam yang bakal diluluskan pemimpin Asean esok seharusnya disifatkatkan sebagai anjakan – yang mengarah kepada penakatan bersama.

Selain daripada memastikan Asean tidak menyokong tindakan merampas kuasa dan pencerobohan, piagam ini juga bertujuan melindungi rantau ini daripada senjata nuklear dan pemusnah raya lain serta campur tangan asing.

Dalam erti kata lain, piagam ini memainkan peranan cukup besar sebagai mangkin keamanan yang amat berharga.

- Berita Harian, 19 November 2007, Isnin





Kata-kata pedas, tohmahan semuanya hanya… cubaannn

10 12 2007

“Saya tak ampunkan awak dunia akhirat!”

Kata-kata yang dilemparkan kepada saya pada April 2004 masih terngiang-ngiang di telinga saya sehingga kini.

Ucapan yang dilahirkan dalam nada cukup keras itu disuarakan seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan laporan-laporan saya berhubung perbicaraan yang sedang dilalui suaminya.

Si suami, seorang ustaz yang cukup dikenali ketika itu, tidak mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dengan seorang lelaki untuk mengimport tiga paket ’sayuran hijau’ yang dipercayai ganja dan minta dibicarakan.

Namun, belum sempat hukuman dijatuhkan ke atasnya, suami wanita itu telah meloloskan diri dan kini dipercayai bersembunyi di luar negara.

Tidak dinafikan, luahan pedas wanita itu adalah hukuman paling berat yang saya terima daripada seseorang sejak menjadi wartawan Berita Harian, lapan tahun lalu.

Ini tidak termasuk tiga surat peguam yang tiba di meja saya yang dikirimkan mereka yang tidak berpuas hati terhadap tiga laporan berita bagi tiga kes berasingan yang saya hasilkan sebelum ini.

Alhamdulillah, tiada satu pun surat tuntutan peguam itu yang menyebabkan pihak majikan terpaksa mengeluarkan kenyataan maaf atau ganti rugi bagi pihak saya memandangkan segala apa yang ditulis dan dilaporkan dalam akhbar ini adalah di atas landasan kebenaran.

Baru-baru ini pula, banyak kritikan pedas daripada pembaca dan asatizah berhubung saranan saya agar para asatizah mencontohi cara cendekiawan agama, Cik Karen Armstrong, mengupas isu dan konsep ‘ihsan’.

Amat dikesalkan apabila maklum balas mereka berubah menjadi satu tohmahan.  

Seorang penulis, yang mengaku dirinya sebagai mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir, menggunakan nama samaran Azahariyun Graduate’ mengirimkan pandangan beliau lewat e-mel kepada saya baru-baru ini dan berkata:

“Besar kemungkinan awak kekurangan didikan agama mahupun mendengar ceramah
atau motivasi daripada cendekiawan Islam sejak kecil. Tapi masih belum terlambat masih ada masa.”

Tohmahan yang beliau lempar amat besar sekali.

Sedih agaknya hati ibu apabila mendapat tahu anaknya dikatakan sedemikian.

Susah payah beliau menghantar anaknya belajar mengaji sehingga khatam Al-Quran, mempelajari tajwid dan ilmu berzanji dan pastikan saya tamat pendidikan madrasah.

Tetapi saya tidak marah atau berdendam dengan segala tuduhan dan tohmahan
kerana bagi saya kesemua ini adalah pancaroba dan asam garam hidup yang mewarnai dunia seorang wartawan…

- Berita Harian, 19 Julai 2007, Khamis

Ini merupakan salah satu daripada siri komentar khas yang ditulis para wartawan Berita Harian yang merakam detik-detik pahit manis, jerih-payah mereka sepanjang bertugas dalam bidang kewartawanan sebagai meraikan ulang tahun ke-50 akhbar ini, yang pertama kali diterbitkan pada 1 Julai 1957.





Boleh asatizah kita pelajari sesuatu dari Karen Armstrong?

10 12 2007

MENDENGAR ceramah Cik Karen Armstrong yang menekankan tentang pentingnya kita menanamkan sikap ihsan dan menghormati mereka yang beragama lain dan kemampuannya mengupas isu-isu besar yang dihadapi dunia hari ini membuat hati ini berdetik.

Alangkah bagusnya jika para asatizah kita dapat melakukan sedemikian rupa.

Ini kerana saban waktu kita menghadiri majlis ceramah di masjid mahupun di tempat-tempat awam masyarakat kita asyik diperdengarkan kupasan ‘panas’ para asatizah  mengenai isu-isu yang menyentuh halal/haram, dosa/pahala, syurga/neraka.

Baru-baru ini, ibu saya bercerita tentang majlis ilmu yang dihadirinya di salah sebuah masjid di kawasan timur, ustazah yang berceramah adalah seorang popular, mapan dan  ramai pengikut.

Sayangnya, sedang dunia semakin berubah dan pelbagai isu genting perlu ditangani masyarakat dunia, si ustazah tadi, kata ibu, asyik bersyarah tentang pentingnya ‘bagi kaum Hawa yang lanjut usia agar ingat keadaan diri mereka yang sudah lanjut, janganlah muda’kan diri dengan bermekap, bergincu dan memakai pakaian yang tidak sesuai dengan umur mereka.

Mendengar ceritanya, saya menggeleng kesal.

Mengapa masih ada asatizah yang berpendirian sedemikian dan mengetengahkan topik-topik sedemikian?

Hati ini berkata, patutlah sesetengah pak haji terpikat dengan pembantu rumah sendiri atau asyik ke Batam atau Bintan sikit hari!

Ini kerana selepas kerja dan pulang ke rumah, mereka tak dapat tidak terpaksa  menatap wajah isteri yang pucat tak berbedak dan pakaian yang macam gebar saja kelihatannya – dengan bucu tudung pula sampai ke pusat!

Bukankah lebih baik andainya asatizah kita dapat membicarakan sesuatu konsep agama secara lebih meluas, seperti yang dilakukan Cik Armstrong yang mencuit hati hadirin semasa mengupas isu penting yang sering kita anggap sebagai ‘biasa’ – sikap ihsan dan kasih sayang.

Gaya penyampaiannya bersahaja, tidak menengking atau meninggikan suara tidak tentu pasal.

Isinya, tentang bagaimana kita perlu mengamalkan sikap ihsan demi meningkatkan toleransi dalam kehidupan kita.

Perutusannya mudah, kita harus menghormati orang lain sebagaimana kita ingin mereka menghormati kita.

Dalam konteks yang sama, asatizah kita dapat mencontohi cara beliau.

Misalnya, mengetengahkan kepada para jemaah mereka bagaimana agama Kristian, Buddhis atau Confucius menerapkan nilai kasih sayang, misalnya.

Dengan pendekatan sedemikian, lambat laun masyarakat Muslim kita akan lebih memahami bahawa dunia ini sebenarnya mengandungi pelbagai warna – bukan hijau
semata-mata.

- Berita Harian, 23 Jun 2007, Sabtu

Komentar ini menerima kritikan pedas pembaca dan golongan asatizah yang tersinggung sambil menyifatkan langkah pandangan wartawan sebagai   memperkecilkan usaha para asatizah dalam berdakwah.

Cik Armstrong  pernah menjadi biarawati Katolik dan kini berkuliah di London dan merupakan pakar di bidang pengajian agama-agama samawi, termasuk Islam dan telah menulis banyak buku mengenai Islam. Beliau menyampaikan kuliahnya di sini baru-baru ini.